"Nak..."

Untuk beberapa saat, hati Arash hanyut dalam kebisuan. Mungkin sedang sibuk menuai cinta tatkala retina mata menangkap imej wajah jelita milik Adira itu. Siapa sangka, sepasang mata berwarna coklat dan mempunyai lesung pipit di pipi kanan itu berjaya mencuri hati seorang Arash.

"Langit takkan beri kita jawapan kalau kita hanya sekadar lihat langit dengan pandangan kosong. Kalau nak lihat, lihat dengan hati, jangan lihat dengan mata kasar," ujar Arash. Senyumnya sehingga ke hujung telinga sebaik saja dia menutur ayat itu.

"Wah..." Adira menepuk tangan tanda kagum. Dia tidak menyangka yang Arash ini sebenarnya seorang yang begitu puitis.

"Bestkan ayat saya tu? Dah la kacak, pandai mengeluarkan ayat indah pula tu. Untung siapa dapat saya," sambung Arash lagi.

"Cis, perasan!" Adira memutarkan anak mata satu pusingan. Walaupun mulut Adira pantas menafikan namun, hatinya sedang meraup gembira. Itulah perempuan, kerap kali berkata sesuatu yang bertentangan dengan hati.

Ketawa Arash bergema kuat di ruang luas itu. Seronok dia menyakat Adira. "Apa yang awak fikirkan? Boleh saya tahu?"

Adira mengeluh perlahan. Dia memandang kosong langit tanpa fokus. Wajah yang tadinya ceria berubah sunggul. Bibir bawah digigit perlahan.

Dia melirikkan anak mata ke bawah memandang kasut pula. Jari telunjuknya bermain dengan jari telunjuk yang lagi satu. Hatinya penuh dengan emosi sebak. Badannya menggigil sejuk setiap kali angin malam menerpa kulit.

Ada sesuatu yang sudah lama terkurung dalam dada. Hanya perlu diluahkan dan dia tidak akan rasa terbeban lagi.

"Arash..." Adira berjeda. Tiba-tiba dia terasa sukar untuk bernafas. Suaranya seolah-olah tidak mahu keluar daripada kerongkong. Dia menarik nafas dalam untuk menenangkan hati yang berdegup laju seperti baru habis marathon.

Lama juga Adira mengambil udara sebelum meneruskan, "Arash tolong simpankan ini untuk saya."

Adira mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya. Objek yang bersinar yang berada atas tapak tangan Adira mendapat perhatian Arash.

"Kenapa?" soal Arash. Jelas terpancar air muka risau pada wajah Arash sebaik saja wajah sunggul Adira itu memandang sayu wajahnya.

"Loket ni amat bermakna untuk saya. Loket inilah penyebab semangat saya semakin kuat melawan apa sahaja yang menghalang jalan saya. Saya nak Arash simpankan loket ini untuk saya boleh?" minta Adira. Dia membelek loket berbentuk love itu sambil tersenyum sendirian. Ada memori tentang loket itu menyelak langsir ingatannya.

Arash mengerutkan dahi, kurang faham dengan situasi sekarang. "Kenapa awak nak saya yang simpankan? Bukan awak juga ke yang cakap loket ini yang menguatkan semangat awak untuk melawan?"

"Orang kata, kalau nak bagi sesuatu kepada orang lain, berilah harta kita yang paling kita sayang. Saya sayang loket ni dan saya nak berikan kepada awak. Saya rasa saya sudah terima semangat berlawan yang cukup dan sekarang, giliran Kapten Arash pula untuk memperoleh semangat tersebut." Adira akhirnya menghulurkan loket emas berbentuk love itu kepada Arash. Walaupun hati terasa berat, tapi ini semua untuk kebaikan.

"Bila saya dengar cerita awak semalam... saya agak terkesan. Saya tak sangka sepanjang saya tiada di sisi awak, awak banyak terluka. Awak tak bersemangat seperti dulu. Awak letakkan semua beban di bahu awak seperti apa yang sedang berlaku ini semuanya salah awak," tutur Adira perlahan.

"Saya nak awak tahu yang awak tidak berseorangan. Allah sentiasa ada dengan kita. Awak mohonlah pertolongan Dia untuk kuatkan diri awak. Saya pun ada untuk angkat beban itu bersama-sama dengan awak. Saya juga ada berdoa supaya kita semua sentiasa kuat menghadapi dugaan," ujar Adira ikhlas. Sepenggal senyum manis meniti di hujung bibir.

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now