"Bagus Armel. Kalau begitu, kita akan bertolak tepat jam 8 pagi. Kemas semua barang," arah Arash dengan begitu semangat. Sekelip mata sahaja dia sudah bangkit daripada duduknya.

"Kita mahu ke mana Kapten?" soal Ayra ingin tahu.

"Kita akan bertolak ke pangkalan JUSTICE yang dibina secara rahsia di negara Malaysia. Marsyal Haris telah bina pangkalan tersebut tanpa pengetahuan siapa-siapa termasuklah Malik. Pangkalan rahsia di Malaysia ini adalah sebagai back-up jika JUSTICE di Holmes berjaya ditumpaskan. Hanya saya dan Marsyal Haris sahaja yang tahu akan kewujudan pangkalan ini," jelas Arash.

"Kenapa kita tak pergi pangkalan tu dari dulu lagi? Kenapa sampai perlu beli rumah banglo?" soal Rayyan.

"Lokasi pangkalan tersebut dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu. Hanya Marsyal Haris sahaja yang tahu kedudukannya yang tepat. Saya suruh Armel untuk mencari frekuensi Teranium yang ada di negara Malaysia untuk kita kenal pasti lokasi pangkalan rahsia JUSTICE tersebut," jelas Arash lagi.

Mereka semua mengangguk faham.

"Hmm... Marsyal Haris ini penuh dengan misteri. Tak pelik kalau ada pangkalan rahsia JUSTICE di negara lain juga. Agaknya berapa banyak pangkalan rahsia yang kita ada?" bisik Rayyan kepada Haura yang berdiri di sebelahnya.

"Tak silap aku, ada 10 juta," balas Haura. Rayyan memandang Haura tidak percaya.

"Banyaknya," ujar Rayyan dengan begitu kagum.

"Percayalah awak dengan mentor awak." Ermina menggeleng kepala dan anak mata diputarkan satu pusingan. Haura ketawa terbahak-bahak manakala Rayyan mencebik tidak berpuas hati.

⚔️⚔️⚔️

ARASH dan Adira berjalan di hadapan, mengetuai perjalanan mereka. Sambil berjalan, sambil mereka semua mengelap peluh di dahi. Pancaran matahari pada tengah hari itu sungguh terik nampaknya kerana awan pun tidak sudi berarak bersama mereka.

Walaupun mereka berada di dalam hutan dan banyak pokok yang menghalang cahaya matahari, bahang matahari masih panas tatkala menerpa kulit.

"Jauh lagi ke Kapten?" soal Rayyan kepenatan. Lututnya bergetar hebat. Terasa seperti akan patah sekejap lagi sekiranya mereka terus berjalan.

"Jauh lagi. Kenapa? Nak rehat dulu ke?" soal Arash tanpa berpaling ke belakang.

"Ya!" Serentak mereka semua menjawab soalan Arash itu.

"10 minit."

Sebaik saja mendapat keizinan daripada ketua, mereka semua terbaring di tanah. Nafas tercungap-cungap mencari oksigen yang hilang.

"Fuh, penat aku sampai nampak pokok-pokok ni menari," seloroh Rayyan. Retina matanya menangkap imej pokok-pokok berhampiran mereka bergoyang ke kiri dan ke kanan. Bagai ada angin daripada dua arah yang meniup pokok-pokok tersebut. Sekali lihat, seperti pokok-pokok itu sedang menari.

Jenaka Rayyan disambut dengan ketawa ahli yang lain kecuali Ayra. Wajah Ayra kelihatan cuak. Hatinya tidak tenang apabila melihat pokok-pokok itu semakin lama semakin menghampiri mereka. Seolah-olah pokok-pokok tersebut ada kaki untuk berjalan.

"Saya saja ke yang nampak pokok-pokok tu seperti sedang bergerak ke arah kita?" soal Ayra takut-takut.

Mereka semua berhenti ketawa. Apabila sedar akan maksud Ayra, mereka pantas bangun semula.

"Macam mana pokok-pokok ni boleh bergerak?"

"Saya nak kamu semua duduk rapat-rapat dan bersedia dengan senjata masing-masing," arah Arash, merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia menarik keluar Pistol MP5 yang tersarung di belakangnya.

JUSTICE : Projek 046 Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora