"Tak apa Kapten saya... Kapten nak ke mana?" soal Adira melihat Arash bangun dan berjalan pergi meninggalkan dia sendirian.

Adira terkebil-kebil. Kepala yang tidak gatal digaru dengan penuh tanda tanya.

Hampir 2 minit lamanya, Arash kembali dengan beberapa biji buah pisang dan rambutan yang dipetik oleh Haura dan Ermina sebentar tadi. Arash melabuhkan punggung dan menghulurkan buah-buahan itu kepada Adira.

"Makan," katanya sepatah.

Adira tidak membantah. Memang sudah lama dia tidak makan. Sejak dikurung oleh Farhan, hanya seminggu sekali sahaja dia akan diberi makan, itu pun bagi makan roti sahaja. Nasib baik air akan diberikan oleh Farhan setiap hari. Sekurang-kurang badannya mampu bertahan dengan bekalan air tersebut.

Satu persatu kulit buah-buahan itu dikupas laju. Adira menjamah buah-buahan itu dengan penuh selera. Dia ada mempelawa Arash untuk makan bersama tetapi Arash hanya menolak, katanya sudah kenyang. Dia hanya melihat Adira menjamu selera dengan senyuman yang tidak pudar walaupun sesaat.

"Adira, apa yang mereka sudah buat pada awak? Macam mana Ad boleh ada dalam hutan?" soal Arash, memulakan perbualan mereka. Soalan yang bermain dalam fikirannya sejak tadi akhirnya berjaya diluahkan.

Adira mengesat kesan comot di hujung bibir. Anak matanya mengekor Arash yang duduk 10 sentimeter jauh daripadanya. Hilang selera makan apabila Adira nendengar soalan itu diutarakan. Baki pisang dan rambutan itu ditenung lama.

Arash berasa serba salah. "Tak apa kalau Adira tak nak ceri..."

"Mereka seksa saya setiap hari," pintas Adira sebelum sempat Arash menghabiskan kata-katanya. Dia menyambung, "Mereka kurung saya dalam bilik bawah tanah. Tadi, saya rasa api kemarahan dalam diri saya sudah sampai ke puncak agaknya apabila dengar yang kamu semua sudah mati. Entah dari mana kekuatan yang saya dapat sehingga berjaya menumpaskan mereka seorang diri."

Adira menghela nafas berat. Jari telunjuk kanan bermain dengan jari telunjuk kiri. "Seusai mengalahkan mereka, saya keluar dari situ dan saya lari tanpa henti dalam hutan. Saya lari lebih dua jam tanpa henti sehinggalah saya penat. Disebabkan terlalu penat dan tak mampu untuk teruskan, saya jatuh pengsan. Saya dah tak kisah apa nak jadi dengan saya. Saya hanya berserah pada Allah untuk selamatkan saya. Alhamdulillah... Allah hantarkan Kapten untuk selamatkan saya. Kalau tidak... entah saya ni dapat lihat dunia ini lagi ke tidak, saya pun tak tahu."

Adira mendongak memandang wajah Arash yang kelihatan serba salah. Hati Adira diraup dengan rasa sebak. "Saya bersyukur yang Kapten selamat. Saya tak percaya kata-kata Adriana bila dia kata Kapten sudah mati. Saya tahu Kapten Arash sebenarnya seorang yang kuat. Tak mungkin seorang Arash akan mudah dikalahkan begitu saja."

Arash hanya tersenyum kambing mendengar pujian daripada Adira. Tidak pasti sama ada dia patut melayakkan diri untuk menerima pujian itu atau sebaliknya.

"Kapten..."

"Call me honey."

"Hah?"

"Haha... panggil saya Arash. Saya gurau saja," sakat Arash lalu ketawa terbahak-bahak melihat wajah Adira yang bertukar merah kerana malu.

"A... Ar.. Arash..." Terketar-ketar Adira menyebut nama Kaptennya itu. Tidak senang duduknya melihat sengihan yang dilontarkan oleh jejaka kacak di hadapannya itu. Rasa bagaikan semua ini hanyalah mimpi semata-mata.

"Ya," sahut Arash. Anak mata berwarna coklat, rambut berakar hitam tapi di atasnya coklat keperangan, dua lesung pipit dalam di pipi kanan dan kiri. Fokus Adira kini hanyut entah ke mana tika menatap wajah kacukan Melayu dan Inggeris itu.

JUSTICE : Projek 046 Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz