"Kenapa Sarjan? Ada sesuatu yang tak kena ke?" soal Arash prihatin. Dahinya berkerut seribu tatkala melihat wajah risau Ermina.

Ermina meneguk air liur yang terasa pahit itu. Perut tiba-tiba memulas. Hatinya berdebar-debar. Anak matanya cuba mengelak daripada bertentang mata dengan ketuanya itu.

"Saya..." Ermina berjeda. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan hati yang seperti mahu terkeluar daripada jasad.

"Sarjan sudah jumpa Leftenan Adira? Dia ada di mana?" soal Arash, cuba mengubah topik.

Jantung Ermina seakan-akan berhenti berdegup seketika mendengar nama Adira disebut. Tangannya menggeletar hebat. Otaknya sedang sedaya upaya mentafsir maklumat yang diterima.

"Kapten... boleh saya bercakap dengan Kapten sahaja sebentar?" soal Ermina yang akhirnya memberanikan diri untuk berkata-kata. Soalan itu menyebabkan semua mata tertumpu ke arah Ermina.

Arash mengangguk. Perlahan-lahan dia bangun lalu mengorak langkah menuju ke kawasan belakang rumah banglo itu.

"Ada apa-apa yang berlaku ke Sarjan? Kenapa muka Sarjan pucat macam nak pengsan saja?" soal Arash risau melihat Ermina yang mukanya pucat seperti tiada darah.

"Leftenan Adira," sebut Ermina perlahan.

"Kenapa dengan dia?"

"Dia... dia... saya.... saya terdengar dia cakap dengan Farhan di telefon sekejap tadi." Ermina menutur ayat itu dengan sekali nafas. Dia terlalu gementar sehingga terlupa cara bernafas yang betul.

Arash terdiam seketika. Dahinya berkerut. "Awak pasti ke apa yang awak dengar itu betul, Sarjan?"

Ermina mengangguk laju. "Saya yakin saya tak tersalah dengar. Dia gelarkan dirinya sebagai 'Ri' dan..." Ermina berjeda lagi.

"Dan?" Jantung Arash mula berdegup kencang. Daripada air muka Ermina, dia dapat rasakan ada berita buruk yang akan diberitahu oleh gadis dihadapannya itu.

"Dan Malik ialah ayah dia."

Badan Arash kaku. Lidahnya terkelu. Mulutnya bergerak-gerak cuba menuturkan sesuatu namun suaranya tersekat di kerongkong.

"Dia nak hapuskan kita Kapten," sambung Ermina lalu mengetap bibir. Anak matanya dilirikkan memandang rumput di tanah.

Dunia Arash kini berputar hebat. Otaknya tidak dapat menerima tekanan yang terlalu besar baginya. Kenyataan itu terlalu sukar untuk diterima.

Kerana Adira itu... gadis yang berjaya mencuri hati seorang Arash.

"Cuai betul aku. Aku sepatutnya tahu yang kau orang tak sebodoh seperti yang disangka," tegur satu suara daripada belakang mereka.

"Leftenan Adira." Ermina tersentak apabila melihat Adira yang tersenyum sinis memandang ke arah mereka. Sudahlah hari sudah malam. Kegelapan yang mengelilingi gadis itu menambahkan lagi keseraman wajah Adira yang merenung tajam mereka berdua.

"Apa yang kau sudah buat Adira? Kenapa?" Tiada lagi panggilan pangkat Leftenan untuk Adira. Wajah Arash kecewa memandang si pembelot.

"Aku bukan Adira," nyata Adira. Ketawanya bergema kuat di ruang itu.

"Habis? Kau siapa? Syaitan?" Arash mencapai pistol yang tersangkut kemas pada tali pinggangnya. Dia sudah tidak boleh bersabar.

"Aduh!" erang Arash kuat, memegang tangan yang masih berbalut dengan kain kasa. Tiba-tiba sahaja dia diserang dengan sakit yang berdenyut-denyut pada lukanya.

"Kau masih lemah untuk lawan aku Arash. Kecederaan kau belum pulih sepenuhnya lagi." Adira menggeleng kepalanya laju. Tangannya disilang rapat ke dada.

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now