Aku menggaru leherku yang gatal. Sudah beberapa kali aku memujuk diriku ini untuk tidur namun tidak diendahkan. Mungkin disebabkan suasana dingin malam ini, badanku tidak selesa.
Aku menggeliat lalu turun daripada pangkin di mana keluargaku yang serupa dari segi warna bulu hitam dan putih sedang lena menghayati mimpi.
Keadaan di kawasan perumahan itu riuh dengan bunyi katak dan cengkerik yang seperti sedang bersaing antara satu sama lain. Terdapat beberapa lopak hujan di atas tanah dan tar jalan. Kakiku kotor diselaputi dengan lumpur dan suhu rendah dari jalan tar berpindah ke kaki lalu menjalar ke seluruh badan.
Satu-satunya lampu jalan yang berada bertentangan dengan pangkin itu berkelip-kelip. Sekejap hidup, sekejap mati.
Namun ketidakhidupan lampu itu lebih lama.
Aku terus berjalan mendekati parit salah satu rumah teres itu dalam keadaan gelap. Rumput yang tumbuh berdekatan parit itu aku gigit-gigit bagi mendapatkan khasiatnya. Entah apa gatal 4 kakiku ini, mereka membawaku masuk ke tempat parkir rumah tersebut.
Terdapat dua buah kereta namun Honda CR-Z Hybrid berwarna putih menarik perhatian. Haba daripada kereta mewah itu amat menyelesakan. Bagaikan berehat dekat dengan pendiang api sewaktu salji sedang turun lebat.
Sebaris senyuman muncul. Dengan muka yang penuh keazaman, aku melangkah menuju ke tayar hadapan dan melompat masuk keatas lubang yang wujud. Baru sahaja ingin merehatkan diri di atas tayar itu, aku ternampak satu ruang kosong di bahagian enjin. Tanpa melengahkan masa, aku terus sahaja berpindah ke ruang tersebut. Aku menyelesakan diri dan bersedia untuk tidur. Haba-haba yang datang daripada bahagian enjin itu menyelubungi diriku. Mata tertutup dan aku mula dibuai mimpi.
