BAB 9

22 0 0
                                    

IVAN melihat lelaki misteri yang sudah pengsan di atas tanah itu. Dia melutut hendak membuka penutup hidung dan mulut yang masih tersarung di muka lelaki itu. Lelaki itu tiba-tiba membuka mata, menolak Ivan sehingga terlentang dan terus melarikan diri dari situ. Ivan pantas berdiri untuk mengejar namun niat itu dimatikan saja kerana Laura dan Ganesh masih berada di situ.

Ivan memandang Laura, buka langkah mendekati mereka. Laura terundur, berdiri lebih rapat dengan Ganesh. Ganesh menala telapak tangan ke arah Ivan.

"Terima kasih sebab selamatkan kami. Tapi nampaknya encik juga ada niat yang tak baik ke atas kami. Maaf, saya tak mahu berlawan lagi," kata Ganesh yang cedera agak teruk selepas separuh nyawa melindungi Laura.

Ivan diam, dia fokus kepada loket di leher Laura sambil memikirkan cara dan mencari ruang untuk mendapatkan loket tersebut.

"Aku pun bukan nak lawan atau bunuh sesiapa." Ivan pandang Ganesh. "Orang tu dah pergi. Kau berdua tak perlu takut."

Ganesh dan Laura menghela nafas lega. Dalam situasi kedua-duanya sedang leka, Ivan yang berdiri kira-kira dua kaki jarak ari Laura, pantas menyambar rantai di leher Laura. Sekelip mata, ia sudah berada dalam genggamannya.

"Hey, that's mine!" Laura terpinga-pinga menyentuh leher yang sudah kosong.

Ivan pantas menyimpan rantai tersebut.

Laura bercekak pinggang. "So this is your trick! You berpakat dengan penyerang tadi konon you selamatkan kami tapi you sebenarnya nak merompak, kan?" Wajahnya mula menyinga. Ketakutan sebentar tadi nampaknya telah lenyap.

"Cik Laura." Ganesh menarik Laura rapat ke sisinya. Tangan kiri terus menala hujung sepucuk pistol ke arah Ivan. "Pulangkan rantai tu." Nada suaranya rendah tapi tegas.

"Aku minta maaf terpaksa ambil loket ni..."

"Aku bagi amaran. Pulangkan rantai tu." Kali ini nada suara Ganesh lebih tegas dan keras.

Tanpa mempedulikan kata-kata Ganesh, Ivan membuka langkah untuk meninggalkan situ. Kakinya terhenti bergerak apabila Ganesh memintas di hadapan. Muncung pistol kini berjarak kurang sejengkal dengan dahi Ivan.

"Aku minta cara baik," kata Ganesh.

"Aku juga mohon cara baik. Aku terpaksa ambil loket ni."

"Bagi aku sebab."

Ivan memandang Ganesh dan Laura silih berganti. Dia hanya diam.

"Kalau tak, kami anggap kau memang berniat nak merompak," kata Ganesh lagi.

"Apa? Dia memang nak merompak. Buat apa tanya alasan dia lagi? Pulangkan rantai tu! Pencuri!"

Ganesh menarik hammer. Jari telunjuk sudah menyentuh pemetik. "Kalau tak bagi tahu apa sebabnya, aku terpaksa tekan pemicu ni..."

"Sabar dulu." Pak Cik Wahid muncul meredakan suasana yang semakin tegang. Bahu Ganesh dipegang dan pistol di tangan Ganesh diturunkan. "Kami ada alasan kukuh untuk ambil loket pada rantai ni."

Laura dan Ganesh saling berpandangan.


"KRISTAL yang dibuat loket pada rantai milik Cik Laura tu, adalah batu Focal. Batu Focal adalah asalnya milik pihak Venus VII. Kami cuma nak ambil balik apa yang menjadi hak kami." Pak Cik Wahid memulakan penjelasan.

"Oh?" Laura memeluk tubuh menghampiri Pak Cik Wahid. "Seingat I, rantai tu, atuk I hadiahkan dekat I masa umur I 17 tahun. Sekarang dah lebih 10 tahun rantai tu ada dengan I. Kenapa selama 10 tahun ni, tak ada sesiapa datang ambil?"

"Bertenang, Cik Laura. Dengar dulu penjelasan saya..."

"You nak jelaskan apa? Untuk pengetahuan you, atuk I beli rantai tu, atas bidaan. Nilainya mencecah hampir setengah juta. You mampu bayar balik dekat I?"

Pak Cik Wahid menggeleng. "Itu atas bidaan. Harga sebenar kristal tu..." Kata-katanya terhenti apabila Ivan menyentuh bahunya. "Focal adalah harta kerajaan. Kerajaan berhak ambil balik tanpa memberi sebarang imbuhan, walau berapa pun harganya semasa proses jual dan beli."

"Mengarut! Selama 10 tahun I pakai rantai tu, kenapa tak ada orang kerajaan yang datang tuntut? Dan... apa namanya? Venus VII? Apa tu? Setahu I, tak ada mana-mana jabatan kerajaan yang guna nama macam tu. You jangan nak temberang I." Laura menghampiri Ivan. "Give that damn necklace back to me."

Ivan diam memeluk tubuh, tidak mempeduli permintaan Laura.

"I said, give it back to me!"

Laura merapati Ivan dan pantas menyeluk kocek kanan jaket hitam yang dipakai Ivan. Apabila Ivan menghalang, dia memeluk lelaki itu dengan kejap. Ivan keras dengan tindakannya, tetap tidak menyerahkan rantai tersebut kepada Laura.

Laura mengetatkan pelukan apabila Ivan menolak kuat. Gigi diketap menahan kekuatan lelaki milik Ivan. Pergelutan kecil berlaku antara mereka. Pak Cik Wahid dan Ganesh hanya dapat berdiam di tepi.

Pergerakan Ivan tiba-tiba terhenti dan memandang ke satu arah, menyebabkan Laura turut berhenti. Masing-masing memandang ke arah di mana Ivan sedang lihat.

Lisa yang muncul entah dari mana, menapak perlahan mendekati mereka berempat, sambil memandang Ivan dan Laura yang masih berpelukan. Apabila mendapati Laura sedang leka memandang Lisa, Ivan pantas menolak Laura. Laura hampir tersadung dan terlentang, sempat disambut oleh Ganesh.

"Saya mengganggu ke?" soal Lisa dengan senyuman yang tertahan-tahan.

Tanpa mempedulikan pertanyaan Lisa, Ivan segera berlalu. Cuba dihalang oleh Laura namun Ganesh kejap memeluknya daripada mencapai kolar baju Ivan.

"Pak cik?" tanya Lisa yang bingung dengan situasi di depan matanya.

Pak Cik Wahid berdeham. "Tak ada apa. Cuma... salah faham kecil..."

"Salah faham kecil? Itu rantai peninggalan atuk I! Berani you dua orang merompak orang waktu siang macam ni!" Laura menengking sambil ditahan oleh Ganesh.

"Okey, macam nilah, Cik Laura. Saya tak dapat buat apa-apa kalau Cik Laura tak percayakan cerita kami tapi kami bukan mereka-reka cerita. Apa yang saya jelaskan tadi semuanya benar. Saya minta maaf sekali lagi. Saya minta diri."

"You..."

SEMBUNYIWhere stories live. Discover now