BAB 8

37 0 0
                                    

YAZID menoleh. Terasa ada yang sedang mengekorinya. Seseorang. Atau sesuatu. Dia meneruskan langkah menghampiri tangga rumah. Sekali lagi terasa seperti diperhatikan dari jauh. Yazid pantas berpaling.

"Daud?"

Daud tersengih sambil mendekati Yazid.

"Kau... kau buat apa kat sini?"

"Aku lalu kat sini, aku singgahlah."

Yazid mengerut dahi. "Err... eh, jemputlah naik ke rumah. Sila..." Kasut sudah ditanggalkan. Yazid melangkah naik dan menolak daun pintu. "Sila, sila..."

Daud menanggalkan kasut dan turut melangkah naik. Matanya liar memerhati segenap sudut rumah itu.

"Cantik rumah kau. Aku dah lama mengidam nak ada rumah kampung macam ni." Daud terus memerhati lagi. "Susah dah nak jumpa rumah kayu di kampung-kampung sekarang ni pun."

"Rumah pusaka arwah atuk aku. Sekarang dah jadi milik mak aku," jelas Yazid. "Duduklah. Nanti aku panggilkan mak aku."

"Tak lama lagi jadi milik kau pula. Baguslah kau. Tak payah lagi beli rumah. Kau pun sorang aje anak mak kau, kan?"

Yazid hanya tersenyum, melangkah ke dapur mendapatkan emak. Sebentar kemudian, Yazid kembali ke ruang tamu diikuti emak di belakang bersama sedulang berisi dua cawan kopi dan sepiring biskut tawar.

"Jemputlah minum. Ada biskut aje ni ha..." Emak meletakkan salah satu cawan berisi kopi di hadapan Daud. Mata emak sempat menjeling tingkah laku Daud.

"Ini kawan Zid, mak. Satu tempat kerja. Tiap-tiap hari kami basuh kereta pelanggan sama-sama."

Emak mengangguk mendengar penjelasan Yazid. "Asal mana?"

"Kuala Kangsar, mak cik. Bawa diri ke sini nak cari nafkah."

"Tinggal anak bini dia kat kampung. Apa yang difikir agaknya? Daud, aku rasa kerja kat kampung tu lagi banyak kau boleh buat."

Daud menggeleng. "Kalau ada banyak, aku dah jadi jutawan. Tapi orang macam aku ni, kerja apalah sangat nak tampung belanja isteri dan anak-anak. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekurang-kurangnya, kat KL ni ada banyak peluang. Sepuluh kali ganda lagi banyak dari kampung. Kat sini, buruh binaan saja gaji dah cecah ribu. Untung. Betul tak, mak cik?"

"Betul. Tapi kenapa tak bawa isteri dan anak-anak tinggal kat sini aje? Kan senang nak jaga?" soal emak.

Daud tersengih. "Kos satu famili nak tinggal kat sini tinggi juga tu, mak cik. Saya tak terdaya nak sara anak sekolah kat sini."

Emak mengangguk untuk ke sekian kali. Kemunculan Daud di rumahnya agak mengejutkan Yazid. Namun perasaan salah sangka itu dibuang jauh-jauh. Mungkin dia sendiri tidak menyedari Daud memanggil namanya.

"Dah lama ke kamu kenal kawan kamu Daud tu?" soal emak selepas agak lama Daud meminta diri untuk pulang.

"Baru lagi. Dalam dua bulan." Yazid pandang emak. "Kenapa, mak?"

Emak diam seketika. "Mak tengok cara dia macam pelik."

"Pelik apa pula, mak?"

"Mak bukan orang alim yang tahu semua benda tapi... air muka dia, macam ada yang tak kena."

Yazid terdiam. Selepas Jiha, emak pula berkata begitu.

"Hati-hati dalam berkawan ni, Zid. Rambut dan kulit boleh jadi sama warna tapi dalam hati kita tak tahu."

"Ya, mak. Zid tahu. Dan Zid janji akan hati-hati. Golongan penipu ni, dari kalangan ustaz-ustaz pun ada, mak."

"Mak bukan maksudkan yang tu. Cuma... hati-hatilah, Zid. Mak ada perasaan tak baik pasal dia."

SEMBUNYIWhere stories live. Discover now