Pengalaman Sesat Semasa Memburu di Sarawak

209 7 0
                                    

Salam sejahtera para pembaca FS. Terima kasih kepada FS kerana sudi publish cerita yang tak seseram mana pun.. Selama ini aku cuma seorang pembaca senyap sahaja. Seronok membaca tetiba hati tergerak nak kongsi pengalaman yang aku pernah lalui yang aku ingat sampai aku mati. Taklah seram sangat, tapi aku saja nak berkongsi.

Pertama aku nak kenalkan diri. Aku adalah seorang bakal guru dari negeri Bumi Kenyalang. Aku belajar di sebuah IPG kira-kira 80 kilometer sebelum bandar Sibu 38 kilometer selepas Bandar Sarikei. Aku sebenarnya seorang Iban. Suku Remun untuk lebih spesifik. Aku berasal dari sebuah daerah yang terletak kira-kira 45 kilometer sebelum bandar Kuching.

Aku seorang anak kampung, faham-fahamlah kan anak kampung bila balik kampung buat apa kan?. Aku ni jenis yang kaki memburu, memancing sebut sahaja apa-apa kerja kampung aku boleh buat. Taklah pakar mana tapi mahirlah sikit-sikit. Jenis aku, aku suka sesuatu yang penuh cabaran dan juga seram. Jadi keluar masuk hutan untuk memburu pada waktu malam tu aku dah biasa. Pada satu hari di bulan Disember 2018, masa tu cuti sekolah. Oh ya lupa, sistem siswa pendidik di IPG adalah sama seperti sistem di sekolah. Maksudnya bila cuti sekolah, kami akan cuti. Kot-kot ada yang tak tau IPG tu Institut Pendidikan Guru lah. Dulu Maktab Perguruan. Berbalik kepada cerita, pada satu malam tu ayah aku ajak aku pergi memburu. Beliau kata malam tu malam yang sangat sesuai. Jadi aku pun bersiap simpan semua jenis kelengkapan dan asah parang.

Tepat jam 9 malam aku dan ayah aku pun pergi ke kawasan hutan yang terletak kira-kira 3 kilometer dari kampung. Hutan ni taklah dia hutan yang tebal dan penuh dengan kayu-kayan yang berusia ratusan tahun. Arah selatan hutan ni ladang sawit milik penduduk kampung kami. Arah timur pula, kebun-kebun getah dan sawah penduduk kampung. Arah barat adalah sungai besar, Sungai Batang Sadong. Arah utara dia pulak, ladang sawit dan kebun-kebun keci. Jadi hutan ni ada denai- denai yang mudah untuk diikuti. Memandangkan aku dah biasa dengan hutan ni jadi taklah takut mana. Lepas je baca doa (aku Kristian) aku dan ayah aku pun jalan ke arah utara dari tempat parkir motosikal. Dah namanya rezeki kan, kebetulan selepas lalu sebatang titi kecil, aku ternampak mata musang yang aku kira adalah seekor musang pandan sebab bau dia kuat. 'Poommmmmm' letupan senapang patah yang berusia 45 tahun menggegarkan malam yang sunyi. Tewaslah seekor haiwan nokturnal yang enak jika digoreng kicap bagi pedas kaw kaw punyaa. Lepas tu aku simpan musang tersebut dalam kotak motosikal.

Ayah aku tanya aku' Nak teruskan?'. Aku jawab 'ya'

Bermulalah episod seram, selepas tu aku dan ayah aku teruskan perjalanan ke utara. Kira-kira 1 jam perjalanan, aku terdengar bunyi seekor haiwan yang mendengus. Dalam fikiranku itu mesti babi hutan, mungkin dia dah terhidu bau aku atau ayah aku. Namun, sebaik sahaja aku menyuluh ke arah tempat itu, aku nampak bayang-bayang hitam dan berbulu lebih tinggi dari aku berdiri di sebalik sepohon kayu ara. Aku fikir mungkin akar kayu ara kot. Sebab aku rabun ahahahahaha. Jadi aku tak peduli, baca doa sikit-sikit dan teruskan perjalanan sampai ke sebuah tempat yang aku rasa pelik dan seram.

Tempat tu sekelilingnya ditumbuhi pokok-pokok renek setinggi 5-8 kaki. Pokok-pokok renek tu seakan-akan membentuk satu gerbang. Ayah aku berhenti betul-betul di depan 'gerbang' tersebut. Dia toleh ke belakang. Masa tu jarak aku dengan ayah aku dalam kira-kira 7 kaki. Ayah aku ternampak satu lembaga yang tinggi mengekori dari arah belakang dengan mata yang merah menyala. Tapi ayah aku diam. Sebab tips dalam hutan kalau nampak benda yang pelik-pelik, jangan tegur. Aku pulak buat tak tahu apa-apa cuma aku rasa bulu roma aku meremang bermula daripada peristiwa aku tersuluh 'haiwan' di pokok ara tadi.

Ayah aku tanya lagi sama ada aku nak teruskan atau tak, aku cakap 'on'. Hahahahaha. Kami pun teruskan perjalanan dan masuk ke 'gerbang'. Di dalam gerbang, tu aku terdengar macam-macam bunyi, bunyi orang batuk, bunyi orang sedang menumbuk sambal pada lesung dan yang paling seram adalah bunyi melolong diikuti dengan bunyi ketawa. Pada halwa pendengaran aku, aku dengar bunyi 'UUUUKKKK UUUUKKKK UKKKKK HEEEE HEEE HEE UUKKK HEEE UUUKK HEEEH UKKKKKK' dan pada halwa ayah aku pulak, bunyi seekor beruk. Jadi ayah aku tukar peluru dari penabur ke buckshot.

Dalam sepuluh langkah berjalan, aku tersuluh seekor ular dimana kepalanya pada bandir pokok dan ekornya di atas pokok. Pokok tu kira-kira dalam 50 kaki. Ular tu pulak bersinar perutnya berwarna emas dan badannya berwarna hitam.

Aku terdiam. Aku toleh ke hadapan dan ayah aku nampak seekor ular hitam dalam sebesar paha orang dewasa lurus sama dengan denai yang diikuti. Kami berdua terdiam. Dengan tiba-tiba ribut bertiup agak kuat dan semua ular yang aku dan ayah aku nampak tetiba hilang. Sudah!.

Ayah aku dengan selambanya ajak aku patah balik dan tinggalkan tempat tu. Tetapi masa berjalan balik, terdengar seperti orang sedang bertaboh. Bunyi bertaboh tu terus menerus sehingga lah aku dan ayah aku sampai di pinggir hutan. Ayah aku pulak ajak aku masuk ke kebun getah milik kami di sebelah kanan pinggir hutan.

Aku pun setuju. Pelikkan. Yelah dengan benda-benda pelik berlaku dan dah ada hasil masih lagi nak mencari rezeki. Bukan cari rezeki, nafsu nak rasa nikmat berburu.

Jadi, tanpa membuang masa aku pun ikut ayah aku. Di sinilah terjadinya benda pelik iaitu, aku dan ayah aku masuk ke denai yang melalui dua batang getah sebesar sepemeluk orang dewasa.

Semasa berjalan aku mula pelik sebab asyik berpatah balik ke tempat yang sama kami berdua mula masuk iaitu dua pohon getah sebesar sepemeluk. Lebih kurang tiga kali benda pelik tu berlaku, aku cakap dengan ayah aku bahawa secara rasminya kami berdua telah sesat.

Ayah aku mula mencari jalan keluar dan aku mula berdoa. Sepanjang mencari jalan keluar aku terhidu bau yang agak hanyir, seperti bau ular. Bau tu makin lama makin kuat. Ayah aku pulak dia menebas jalan dan membuat tanda. Tapi asyik berpatah balik ke tanda yang awal-awal dibuat.

Aku masa tu dah mula panas dan marah. Tanpa mempedulikan ayah aku yang sedang bingung mencari jalan keluar, aku cabar dan aku jerit. Aku kata' siapa yang ganggu aku dan ayah aku?. Kalau kau berani cubalah lawan aku.

Aku ada Tuhan. Kau dilaknat Tuhan.' Aku mula melibas parang ke arah kiri kanan atas dan bawah. Sambil-sambil melibas tu aku baca doa Bapa Kami dan Salam Maria. Secara tiba-tiba ayah aku jerit yang dia dah jumpa jalan keluar. Aku berlari dan sebaik sahaja keluar dari tempat laknat tu aku melutut dan mengucap syukur.

Semasa perjalanan balik, tiada apa-apa yang berlaku. Jadi pengajaran yang aku dapat adalah jangan tamak. Dah dapat hasil baliklah apa lagi. Lepas tu, kita kena peka dengan tanda-tanda yang Tuhan tunjuk supaya tak meneruskan perjalanan.

Tapi tu lah, kitakan manusia. Mana nak dengar nasihat. Ketiga, jangan bercakap besar melainkan kau yakin akan tindakan kau. Okaylah, setakat ni cerita aku. Nanti kalau ada kesempatan aku akan post cerita lain pulak. Semua pengalaman ni aku dapat hasil daripada hobi yang suka memburu, memancing dll.... Maaf andai cerita ni tak seseram mana. Aku sekadar berkongsi. Terima kasih.

Kredit to Cikgu C

CERITA - CERITA SERAMTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang