Bab 1

114 5 5
                                    

'DEAR Anna...'

Anak mata melorot terus ke bawah. Hujung jari menekan tetikus. Kiriman itu dibaca sepintas lalu. Sekadar mencari sesuatu yang lebih penting berbanding taipan ayat berjela-jela dari seseorang yang hanya ingin dikenali sebagai Tasha.

'Saya ada simpan rahsia besar dari kekasih.'

Klise.

Bacaan diteruskan.

'Di belakangnya, saya ada hubungan dengan seorang lelaki lain.'

Keluhan berat melepasi rengkungan. Pelipis dahi diurut perlahan. Bacaannya terhenti serta merta. Dalam pada itu, dia sudah merangka ayat lazim yang bakal dibalas kepada sang pergirim tersebut. Antaranya berbunyi; beritahu hal sebenar, jujur kepada pasangan dan buat pilihan terbaik. Kalau masih cinta, kekallah bersama.

Sejurus itu, dia bersandar lelah. Walhal hanya tulisan menjadi ganti diri, namun entah kenapa, sejak dua menjak ini dia merasakan bahawa setiap seorang daripada mereka memang wujud depan mata.

Seperti permasalahan Tasha, seharusnya dia sendiri tahu menilai ke mana hubungan itu harus belayar. Sedangkan diri tidak mampu untuk setia, bagaimana di penghujung cerita nanti? Jika terpaksa membuat pilihan, pasti akan disuruh wanita itu memilih lelaki kedua, kerana andai benar cinta itu ada, yang kedua tidak akan pernah wujud antara mereka.

Tangan mendepa luas, lantas digerakkan bagi memutuskan segala sengal-sengal yang mengigit tubuh. Hampir dua jam dia duduk melangut menghadap skrin komputer, menyusun atur bahasa jari, memberi nasihat sewajarnya dan akhir sekali membuat semakan dan penelitian terakhir sebelum memilih kiriman siapa yang bakal disiar dalam slot 'Dear Anna' bagi edisi bercetak bulan ini.

...

"HAI"

Nairah terperanjat besar. Nyaris melompat keluar jantung dari tubuh.

"Sorry." Lelaki itu tersenyum kecil.

"Encik Tajul..." Leret suara bagai mahu menyampaikan rasa geram.

Tajul tertawa pula. Selajur menarik kerusi lalu labuh punggung hampir di hadapan Nairah. Gelagat Tajul mengundang rasa dangkal. Malah dia menggesa lelaki itu untuk menjauhinya.

"Kenapa?" Tajul membega-begakan muka.

"Ini tempat kerja, Encik Tajul," gumam Nairah.

"Memanglah. Kita bukan dekat shopping complex, sayang." Barisan gigi itu ditayang lebar. Sejurus, ada hembus tawa kecil mengiringi.

Nairah mengelus udara nipis. Ekor mata mengimbas persekitaran. Ada dua tiga pasang mata menghala tepat ke arah mereka, seakan sedang cuba mentafsir secara rambang. "Orang tengok, seganlah," lanjutnya sedikit rimas.

Senyum Tajul enggan mati. Bahkan dia ralit memetakan raut manis Nairah semahunya. Tubuh menunduk sedikit.

"Segan?" Hujung bicara Nairah sengaja diulang dengan harakat lebih panjang.

Bibir Nairah terkunci rapat. Malas melayani ulah nakal Tajul. Pandangan kembali menyoroti skrin komputer.

"Apa yang nak disegankan?" Sebelah keningnya terangkat tinggi, seiring lentur bibir yang ketara lebar. "Mereka semua dah tahu, Nairah."

Lama kelamaan, lentur otot muka Nairah mengunjur ke atas sekadar mangatapi beban perasaan yang sedang bergayutan di tangkai hati. Tajul tersenyum senang. Baginya biar sedikit oles ceria mewarnai wajah sang pemilik hati, ia cukup membuatkan hari-harinya bersadur bahagia.

Dear AnnaWhere stories live. Discover now