BAB 1

7.6K 103 0
                                    

AJAL maut jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Yanie sedar itu. Jenazah arwah walid dan uminya sudah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Batu 8 di kampung. Yanie mengesat air mata yang mengalir. Sudah diseka tapi air matanya tetap degil. Mengalir aje kerjanya!

"Yanie, kita balik ya dik. Hari pun dah senja ni," ujar satu-satunya si kakak. Namanya Nurul Iftitah. Yanie panggilnya Kak Ifti.

Nurul Izyanie. Kisah ini tentang dia. Anak bongsu. Anak yang paling degil dan yang paling manja. Sebab itu Yanie agak terkejut mendengar berita kemalangan walid dan uminya. Kak Ifti memang seorang yang tabah. Maklumlah, anak sulung. Tanggungjawab anak sulung memang berat.

"Yanie...." Suara Kak Ifti kedengaran lagi. Yanie mengangkat muka. Jauh betul dia termenung. Perlahan dia bangun dan melipat tikar untuk dibawa pulang.

'Nanti Yanie dan kak Ifti akan datang lagi,' bisiknya di dalam hati sambil merenung pusara kedua orang tuanya.

Jarak rumah mereka dengan tanah perkuburan tidaklah sejauh mana. Sekangkang kera orang kata. Tidak sampai lima minit berjalan kaki. Rumah mereka rumah yang paling hujung. Sebab itulah Yanie takut kalau keluar malam. Jenguk luar tingkap pun sudah nampak kawasan perkuburan ini. Macam manalah kehidupan dua beradik ini selepas ini? Dua anak dara yang hanya tinggal berdua di hujung kampung. Nak harapkan keluarga yang lain macam tak ada harapan aje.

Arwah walid Yanie anak sulung dari tiga adik beradik. Pak ngah duduk di Seremban dan mak ucu ada di Perak. Jauh bebenor dari Pahang ni. Sebab itulah mereka tak nak pindah. Nanti, siapa nak tengok pusara walid dan umi mereka. Arwah umi mereka pula anak tunggal. Nenek dan datuk kedua-dua belah pihak juga sudah lama pergi menghadap Ilahi.

"Yanie okay ke?" Suara Kak Ifti sekali lagi mencantaskan lamunan panjang si adik. Yanie hanya tersenyum tawar. Tidak mahu Kak Ifti risau.

"Kita kena redha. Allah lebih sayangkan walid dan umi." Nasihat Kak Ifti. Yanie diam mendengar.

"Masuklah. Kenapa tercegat dekat luar tu." Suara mak ngah isteri kepada pak ngah melaung memanggil mereka berdua. Yanie membuka selipar dan membontoti Kak Ifti masuk ke dalam. Semua adik beradik arwah walid bertandang ke rumah. Malam ini nak dibuat kenduri tahlil.

"Kau orang pergi masuk berehat dulu. Malam ni masa tahlil biar ada tenaga," arah mak ngah.

"Tak apalah mak ngah. Kami nak tolong siapkan persiapan untuk malam ni," jawab Kak Ifti dengan senyuman tawar.

"Ikut suka kau oranglah. Mak ngah ke dapur dulu. Apa-apa hal panggil mak ngah." Wanita hujung 40-an itu melangkah ke dapur. Yanie dan Kak Ifti duduk bersila di lantai ruang tamu. Mengemas apa yang patut.

"Yanie..." panggil Kak Ifti perlahan. Yanie mengangkat muka.

"Akak rasa macam nak putuskan pertunangan dengan Abang Malik," beritahu Kak Ifti perlahan. Mulut Yanie terlopong.

"Kenapa pula kak?"

"Kalau akak kahwin nanti, siapa yang nak jaga Yanie? Akak tak nak Yanie terbiar. Yanie tanggungjawab akak sekarang. Akak sanggup tak kahwin sehingga ada orang yang boleh jaga Yanie. Akak nak putus sebab tak nak Abang Malik tunggu terlalu lama. Dia berhak kahwin dengan perempuan lain," Yanie tersenyum mendengar bicara Kak Ifti. Tangan Kak Ifti digenggam Yanie.

"Yanie dah besarlah,kak. Dah 26 tahun pun. Kak Ifti dengan Abang Malik dah lama rancang tentang perkahwinan ni. Tak akanlah sebab Yanie Kak Ifti nak batalkan semua. Yanie pandai jaga diri. Kak Ifti tak payahlah nak batalkan."

"Tapi..." Kak Ifti mahu membalas tapi cepat sahaja Yanie memotong.

"Lagipun, besar harapan arwah walid dan umi yang nak tengok Kak Ifti naik pelamin. Yanie tak apa-apa. Kak Ifti jangan risau ya." Yanie cuba meyakinkan Kak Ifti.

"Betul ni?"

Kak Ifti nak main duga-duga pula. Yanie tersenyum lebar. Mengiakan kata-kata si kaka. Dia tidak mahu Kak Ifti risau.

"Terima kasih Yanie." Kak Ifti memeluk adiknya erat. Yanie tahu Kak Ifti memang sudah lama menunggu untuk diijab kabulkan dengan Abang Malik. Mereka pun dah bertunang hampir setahun. Cuma, terkilan kerana arwah walid dan umi tidak sempat mahu melihat anak-anak gadisnya berkahwin.

"Tapi, Kak Ifti kena janji yang takkan lupakan Yanie. Janji?" Yanie mengangkat jari kelingking.

"Apa Yanie cakap ni? Akak takkan sesekali lupakan Yanie. Yanie satu-satunya adik yang akak ada." Kak Ifti terus memeluk erat badan Yanie. Dua beradik itu berpelukan erat.

"Marilah kita sedekahkan Yassin untuk arwah walid dan umi. Semoga arwah walid dan umi ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Insya-Allah." Selepas keadaan kembali tenang, Kak Ifti bersuara.

Yanie mengangguk setuju. Mereka berdua dan beberapa orang jiran yang bertandang memulakan bacaan Yassin. Sesekali air mata mengalir dan cepat sahaja diseka Yanie. Sebak. Ingatlah, setiap yang hidup pasti akan mati. Itu pasti.

YANIE mengangkat dulang makanan untuk dibawa ke dapur. Jemaah masjid yang datang untuk bacaan tahlil baru sahaja pulang. Beberapa orang jiran juga sudah meminta diri untuk pulang memandangkan jarum jam sudah menunjuk ke angka 10 malam.

"Biar saya bawa," ujar Qairil, anak lelaki mak ngah dan pak ngah sambil cuba mengambil dulang dari tangan Yanie. Yanie hanya membiarkan sahaja. Dah orang nak tolong. Qairil ini sekarang sedang bekerja di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Orang pandai, jadilah doktor.

"Saya harap awak tabah." Suara Qairil membuatkan Yanie memandangnya . Mengelamun lagi. Yanie hanya tersenyum kecil.

"Insya-Allah. Thanks Ril." Yanie memandang sekilas muka Qairil. Qairil turut berbalas pandang.

"Kenapa awak pandang saya macam tu?" soal Yanie sambil bercekak pinggang. Tidak selesa dengan pandangan yang ditunjukkan sepupunya.

"Err... tak ada apa-apa." Kelam kabut juga Qairil nak menjawab. Dia terus beredar. Yanie hanya menggeleng. Pelik melihat tingkah Qairil itu.

"Yanie pergilah berehat. Barang-barang ni kita kemas esok ajelah." Tiba-tiba suara Kak Ifti pula kedengaran. Yanie hanya mengangguk. Badan juga sudah benar-benar keletihan.

"Kak Ifti pun berehatlah." Yanie memegang tangan Kak Ifti. Si kakak hanya mengangguk. "Abang Malik dengan keluarga dia dah balik ke?" soal Yanie sambil menjengah ke ruang tamu. Hanya tinggal anak-anak mak ucu dan Amira, adiknya Qairil.

"Hmm... Abang Malik kirim salam pada Yanie." Kak Ifti tersenyum sahaja.

Yanie mengangkat kening. Tak pernah-pernah bakal abang iparnya itu berkirim salam. Nak ambil hatilah tu.

"Waalaikummusalam..." jawab Yanie perlahan.

"Sudahlah. Pergi masuk bilik. Kejap lagi akak masuk," arah Kak Ifti sebelum melangkah ke mana entah. Yanie berjalan untuk ke bilik. Memang sejak dulu dia berkongsi bilik dengan Kak Ifti memandangkan rumah ini hanya ada dua bilik.

"Nak masuk bilik dah ke?" tegur Qairil.

Yanie mengangguk. Lelaki itu dilihat seperti ingin berkata sesuatu.

"Awak berehatlah. Awak nampak penat." Qairil tersenyum manis.

Yanie membalas senyumannya.

'Apa kena dengan sepupuku ini sebenarnya?' bisik Yanie.

"Saya masuk bilik dulu ya. Good night Ril."

"Good night Yanie. Sweet dreams."

Yanie memulas tombol pintu bilik dan terus melangkah masuk. Badan dan fikirannya benar-benar memerlukan rehat. Ya Allah, Kau tempatkanlah arwah walid dan umi dalam golongan orang-orang yang beramal soleh. Amin. 

CALON ISTERI JUTAWAN (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now