BAB 4

182 6 0
                                    

20 tahun kemudian.

LANA mengambil botol kecil itu dari beg tangannya. Dia letakkan beg tangannya itu di atas sofa dan berjalan menuju ke dapur dengan botol dalam genggamannya. Sampai di dapur dia mengambil gelas dan menuang air ke dalamnya. Penutup botol dibuka dan Lana mengambil sebiji pil.

Selepas menelan pil itu dia menarik nafas yang panjang sambil memerhatikan keadaan sekeliling dapur itu. Kemudian dia mengambil kembali botol itu untuk meletakkan ia di dalam almari dapur. Selepas dia meletakkan botol itu di dalam almari, dia terhenti melihat isi di dalamnya.

Sekotak Corn flakes.

Hatinya menjadi gelisah. Dia kembali mengimbas kejadian pagi tadi. Seingat dia, dia meletakkan Corn flakes itu di atas meja makan.

Lana menarik nafas yang panjang lagi. Cuba untuk bertenang.

"Mungkin aku yang letak dalam almari tu."

Dia menutup pintu almari itu dan mengambil gelas di atas meja. Dia minum air di dalamnya sambil keluar dari dapur. Dia menuju ke tingkap untuk mengambil angin. Dirinya kelihatan tenang, namun kepalanya penuh dengan fikiran yang bercelaru.

Sejak kebelakangan ini, depresi dan kegelisahan yang dialami Lana semakin menjadi-jadi. Ini semua akibat beberapa kejadian pelik yang berlaku kepadanya di dalam apartmen miliknya. Sehingga membawa Lana kepada kejadian yang sepatutnya telah terkubur lama...

"Isy. Merepeklah kau ni Lana. Sampai ke situ pula kau fikir. Itu semua mainan perasaan kau aje tu. Ingat. Anxiety only happens in your mind. It's not even real. You're only afraid of your own mind Lana... Tu yang terbawa-bawa sampai ke dunia sebenar tu." Lana teringat pesan kawan baiknya, Nia.

Nia merupakan bekas pesakit sesi terapi berkumpulan yang dihadiri Lana tiga tahun yang lepas. Lana menghidapi depresi dan kebimbangan sejak sekolah menengah. Dia tidak pasti apakah punca yang menyebabkan dia mengalami gangguan fikiran itu, namun dia sukar untuk menumpukan perhatian kepada aktiviti harian dan pelajarannya.

Namun apa yang pasti, kebimbangannya sering membawa dia kepada kenangan silam. Tentang Pete. Tentang kawan-kawannya. Semuanya bercampur aduk. Bahkan dia kerap bermimpi tentang Pete, stor dan sekolah.

Dia juga terpaksa bergantung kepada pil tidur akibat insomnia dan dia agak fobia kepada tempat yang gelap... Oleh itu, Lana mendapatkan rawatan semasa dia berada di universiti sehinggalah dia masuk ke alam pekerjaan.

Segalanya berjalan dengan baik, namun apabila dia berhadapan dengan situasi yang agak tegang, dia kembali menyusun jadual untuk bertemu dengan psikiatrinya, Doktor Danish. Antara rawatan yang diambil oleh Lana ialah sesi terapi berkumpulan di mana mereka akan berkongsi dan menangani masalah mental yang dihadapi oleh mereka.

Dari situlah Lana bertemu dengan Nia. Nia mengalami depresi sejak dia kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat kemalangan jalan raya. Nia berasa menyesal kerana perjumpaan terakhir mereka diisi dengan pergaduhan dan sering menyalahkan dirinya atas kejadian yang berlaku. Lana memahami perasaan yang dialami Nia dan semenjak sesi terapi itu mereka menjadi kawan rapat.

Lana juga berkongsi kisah kepada Nia tentang trauma yang dihadapinya sejak sekolah rendah di mana dia sering membuli seorang budak gemuk yang digelar Fatty sehinggalah dia hilang tanpa dapat dikesan. Tetapi, dia tidak menceritakan sepenuhnya. Rahsia geng Diva mengurung Pete tetap disimpan kemas.

Lana mengimbau kembali perbualannya dengan Nia.


"AKU tak tahulah, Nia... Aku rasa pelik tau semenjak aku pindah kat apartmen ni. Barang-barang yang aku letak... Aku rasa macam ada orang pindahkan."

SOROKWhere stories live. Discover now