"Eh kejap... kenapa Sarjan cakap ada sembilan orang ahli geologi yang bersetuju? Bukan mereka ada sepuluh orang ke?" soal Zakwan apabila perasaan akan hal itu.

Kali ini Ermina pula yang menyambung, "Nama seorang ahli geologi yang jumpa pulau tersebut ialah Malik. Haris, sahabat baiknya yang kemukan pendapat untuk bersembunyi daripada dunia namun, Malik tamak duit dan kuasa. Dia membuat andaian kalau dia jual Teranium, dia akan jadi orang paling kaya di dunia.

Akan tetapi, disebabkan keputusan majoriti tidak memihak kepada dia, dia terpaksa akur dan menjadi musuh dalam selimut. Haris telah membawa masuk 1000 orang terpilih untuk dijadikan rakyat Holmes.

Seramai 100 daripadanya merupakan golongan saintis dan pakar teknologi yang dipercayai dan ditugaskan untuk mengkaji kebolehan Teranium. Disebabkan kristal itu begitu asing auranya, banyak kepakaran diperlukan untuk menganalisis Teranium.

Bakinya iaitu penduduk Holmes yang lain, merupakan ahli keluarga dan sukarelawan yang direkrut menjadi ejen JUSTICE untuk melindungi Holmes dan Teranium.

Malik dan Haris dilantik sebagai ketua untuk mengetuai agensi JUSTICE manakala lapan orang ahli geologi lagi dilantik sebagai pemantau Projek 046 iaitu projek untuk mengkaji kelebihan Teranium.

Akan tetapi, tiada sesiapa pun yang dapat mengesan niat Malik yang jahat. Dia menghasut beberapa ejen JUSTICE secara senyap untuk berpihak kepadanya dan memburuk-burukkan nama Haris. Kesannya, hampir semua ejen JUSTICE menyimpan dendam terhadap Marsyal Haris.

Saya pasti kamu bertiga sudah dengar tentang peperangan dahsyat dua bulan lepas yang mengorbankan ramai ejen JUSTICE, rakyat Holmes, saintis dan pakar teknologi termasuklah Marsyal Haris. Kami berenam sahaja ejen JUSTICE yang terselamat daripada peperangan itu.

Kami terselamat pun disebabkan Marsyal Haris yang suruh kami lari membawa Teranium ini jauh daripada Malik," ujar Ermina lalu mengeluh perlahan.

Air mata yang bertakung di tubir mata terpaksa ditahan untuk tidak menitis keluar apabila mengingati kembali detik-detik terakhirnya bersama Haris.

Haris merupakan seorang yang istimewa buatnya. Lelaki itu, adalah idolanya, mentornya dan dialah orang yang paling dia sayang.

"Kami beruntung kerana kami berenam adalah ejen terpilih yang dilatih oleh Marsyal Haris. Jadi, kami tidak terpengaruh dengan tipu daya Malik," ujar Arash sebelum keadaan menjadi sunyi sepi.

Dengan itu, tamatlah kisah sejarah JUSTICE oleh ejen-ejen senior.

"Begitu ceritanya..." Ayra, Zakwan dan Rayyan mengangguk perlahan.

"Eh, baru perasan Leftenan Adira dan Koperal Hans tiada ada dengan kita. Mereka pergi mana ya?" soal Ayra apabila sedar Adira dan Hans tiada bersama mereka.

"Oh, Koperal Hans mungkin sedang belajar untuk gunakan Teranium memandangkan dia anak salah seorang daripada 10 ahli geologi tersebut. Dia lebih arif tentang Teranium berbanding kami. Leftenan Adira... saya pun tak pasti dia ke mana," balas Arash kurang pasti.

"Sarjan Ermina boleh carikan dia?" soal Arash kepada Ermina. Ermina mengangguk lalu meminta izin untuk beredar daripada meja tersebut.

Ermina menapak anak tangga menuju ke tingkat dua banglo itu. Bilik Adira diketuk beberapa kali namun, tiada sahutan daripada Adira.

Dia menyangka Adira mungkin berada di balkoni kerana sejak kebelakangan ini, gadis itu sering meluangkan masa di sana.

Tepat sangkaannya, apabila matanya tertancap pada kelibat Adira yang sedang berdiri di balkoni memandang langit malam. Dengan pantas, dia mendekati Adira.

"Ri dah rahsiakan apa yang patut."

Langkah Ermina terhenti apabila terdengar suara Adira seperti sedang bercakap dengan seseorang.

Ermina bersembunyi dan memasang telinga di sebalik sliding door untuk mendengar setiap butir bicara Adira yang sedang bercakap dengan seseorang melalui telefon pintarnya.

"Ye, Ri tahu tapi nantilah Ri fikirkan macam mana." Adira mengeluh berat. Pelipis kepalanya diurut perlahan.

'Dia cakap dengan siapa? Siapa Ri? Setahu aku, nama dia ialah Adira bukannya Ri,' gumam hati Ermina dengan penuh tanda tanya.

"Maaf sebab Ri sudah rosakkan rancangan abang. Abang tak marah pada Ri kan... Abang Farhan?"

Terbeliak luas mata Ermina tatkala terdengar Adira menyebut nama Farhan. Dia tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dia dengar. Pipinya ditampar perlahan untuk memastikan dia tidak bermimpi.

'Adira sedang bercakap dengan Farhan? Farhan, anak Malik. Si fulan tak siuman itu? Dia panggil Farhan, abang?'

"Jangan risau abang, Ri akan balas dendam atas pemergian papa. Kita akan pastikan JUSTICE dapat hukuman yang setimpal. Mereka sudah cari pasal dengan orang yang salah. Mereka tak patut bunuh papa kita. Tunggu sahajalah bila Ri kerjakan mereka cukup-cukup," ucap Adira kemudian mengukir senyum sinis.

Tak lama kemudian, dia menyentuh butang merah pada skrin telefon pintarnya. Perbualan mereka akhirnya tamat.

Adira mengeluh berat. Anak matanya bergerak memandang langit malam.

"Papa... Ri rindu papa," lirih Adira sayu. Matanya dipejam untuk membayangkan wajah arwah papanya. Tika itu, mutiara jernih hangat bertakung di tubir matanya.

Ermina terkesima. Otaknya sedang memproses segala kejutan yang dia sedang terima.

'Adira anak Malik? Dia... tak mungkin...' Tiba-tiba Ermina berasa tidak sedap hati. Terasa seperti ada sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka sebentar lagi.

Dan lebih buruk lagi, dia tidak tahu apa yang harus dilakukan sekarang!

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now