Buat kali terakhir, dia menatap wajah Haris yang matanya sudah terpejam rapat. Rentak ombak dada Haris sudah berhenti. Tiada lagi bunyi deruan nafas yang tercungap-cungap daripada Haris.

Hati Malik pilu melihat bekas rakan baiknya sudah pergi buat selamanya. Segala memori yang mereka cipta bersama, terpaksa dipadamkan daripada kotak memori. Tiada lagi Haris di dunia ini untuk dia berkongsi masalah dan derita.

Itu semua kisah lama yang harus dibuang dan dibakar sehingga rentung.

"Kau cari pasal dengan orang yang salah, Haris. Kalau kau bagi aku Projek 046 tu, kau takkan mati dibunuh aku." Bunyi derapan tapak kaki Malik meninggalkan tempat itu bergema di seluruh ruang bangunan yang sudah hancur sepenuhnya. Mayat-mayat yang bertaburan di atas lantai dipijak begitu sahaja tanpa dihiraukan.

Malik memandang cecair merah pekat yang membanjiri lantai. Dia menggeleng perlahan sebelum mendongak ke hadapan. Bahunya terangkat sedikit ke atas berserta fikirannya sudah melayang jauh entah ke mana.

"Bagus kerja papa kali ni." Seorang lelaki yang kelihatan berusia pertengahan 20-an menyilang tangan rapat ke dada. Wajahnya tidak tumpah seperti wajah Malik. Pupil mata mengekor setiap langkah Malik yang sedang berjalan ke arahnya.

"Berapa lama kamu berdiri di situ, Farhan?" soal Malik sambil menepis debu-debu yang terlekat pada jaket kulit. Lamunan dia sebentar tadi terus mati apabila terpandang anak sulungnya itu.

"Cukup lama untuk dengar papa membebel pada Haris. Kesian Farhan tengok Haris. Nyawa di hujung tanduk pun masih sempat dibebel," jawab Farhan dengan wajah kosong.

Wajah pucat Malik itu ditatap lama sebelum pupil matanya dilirikkan ke bawah. Tidak sanggup pula dia memberitahu khabar buruk kepada papanya itu.

"Suka hati papa la nak buat apa. Nanti bila umur Farhan sudah senja macam papa, baru kamu tahu betapa seronoknya memberi nasihat percuma kepada orang yang tak reti bahasa," balas Malik seraya memeluk erat bahu anak lelakinya itu. Senyuman yang menampakkan lesung pipit di pipi kanan terukir pada wajah Malik.

"Bagus juga kerja kamu hancurkan pangkalan JUSTICE ni. Siapa sangka, organisasi perisik rahsia paling hebat di dunia boleh kalah dan hancur dalam tangan kita berdua. Terbuktilah bahawa mereka hanya sekadar kuat dengan nama bukannya dengan fizikal dan mental. Dasar lemah." Terbit rasa bangga dalam hati Malik menikmati kemusnahan di depan mata.

Apabila hati sudah terlalu hitam mendambakan kekayaan dan kuasa, akal juga seperti tidak boleh berfikir secara waras lagi.

Segala sifat berperikemanusiaan yang mungkin tercalit dalam dada terpaksa dibuang jauh. Bagi Malik, itu semua tidak penting kerana dia benar-benar sudah terbabas jauh daripada landasan yang benar.

Dia berasa sangat puas. Puas kerana misinya untuk membalas dendam akhirnya sudah berjaya.

"Farhan ada sesuatu nak bagitahu papa," beritahu Farhan dengan wajah yang sangat serius. Bibir bawah digigit perlahan.

"Apa dia?" soal Malik. Tiba-tiba hatinya menjadi tidak senang melihat wajah cemberut Farhan. Dia dapat rasakan berita yang bakal dia dengari selepas ini akan membuatkan dia tidak senang duduk.

"Ada sekumpulan kecil ejen JUSTICE berjaya melarikan diri dan saya tak dapat mengesan mereka. Saya percaya yang kumpulan tu ada barang yang kita mahukan," tutur Farhan perlahan. Jari-jemarinya sedang bertarung antara satu sama lain untuk menghilangkan rasa gelisah.

"Macam mana mereka boleh terlepas?" Suara Malik naik seoktaf. Kadar pernafasannya mula laju apabila menuturkan soalan itu dek kerana menahan marah. Dia ingat rancangan dia akan berjaya namun, ada juga yang terlepas daripada kekejamannya.

"Saya rasa Haris dan ejen-ejen yang sudah mati itu hanyalah untuk tarik perhatian kita sahaja. Nampaknya, strategi mereka untuk jauhkan kita daripada Projek 046 telah berjaya walaupun pengakhirannya mereka semua terkorban." Ekpresi muka Farhan dikawal supaya dia kekal bertenang.

Dia benar-benar tidak mahu dimarahi atau mengecewakan papanya pada waktu-waktu begini.

Malik memandang anak lelakinya itu tanpa berkelip. Ada sesuatu yang masih tidak diluahkan oleh Farhan. Bahu anak lelakinya itu ditepuk perlahan.

"Tapi," tutur Farhan perlahan sebelum sempat Malik berkata sesuatu, "Farhan dah suruh anak kesayangan papa yang seorang tu buat apa yang patut. Dia akan dapatkan semula Projek 046."

Mendengar satu berita gembira yang keluar daripada mulut Farhan, wajah Malik kembali ceria. Itulah apa yang dia mahu dengar. Harapan untuk merampas semula Projek 046 kembali kuat dalam genggaman.

"Bagus. Macam inilah baru anak papa." Rambut Farhan diusap perlahan oleh Malik. Matanya menjadi sepet tatkala dia tersenyum. Niat yang tadinya mahu menampar anak sendiri terus hilang begitu sahaja.

"Dan ada lagi satu hal lain yang papa kena tahu." Farhan menyeluk tangan masuk ke dalam poket. Kening kanan terangkat ke atas tatkala satu senyuman penuh makna terukir senang di bibirnya.

"Apa dia?"

Sudut info
Pangkat-pangkat di agensi JUSTICE

Marsyal
⬆️
Jeneral
⬆️
Komander
⬆️
Kapten
⬆️
Leftenan
⬆️
Sarjan
⬆️
Koperal
⬆️
Ejen

JUSTICE : Projek 046 Where stories live. Discover now