12. ANAK KEDUA, KETIGA, KEEMPAT DAN ANAK SAUDARA

36 0 0
                                    

Segala syukur hanya layak untuk Allah. Dengan anugerah rezeki dari-Nya, dapatlah digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak. Tatkala anak sulung aku di Pulau Pinang, anak kedua pula mengikuti jejak langkah abangnya. Anakku yang kedua ini dapat tawaran belajar di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam bidang Pengajian Islam. Wang yang banyak dikeluarkan lagi, ribuan ringgit juga.

Aku dan suami berasa bersyukur dan senang hati lantaran kejayaan anak-anak dalam pelajaran. Tidaklah menjadi seperti mana aku, pengajian terputus di tengah jalan. Bukan aku dan suami tidak cerdik, tetapi faktor wang menjadi batu halangan. Namun begitu, aku dan suami menerima takdir Tuhan tanpa keluhan. Sesungguhnya Tuhan mengetahui dan telah menetapkan rezeki masing-masing.

Anak lelaki kedua aku itu belajar di Universiti Malaya selama tiga tahun setengah dan berjaya dengan cemerlang. Dia terus menyambung pengajian dengan mengambil kursus lanjutan bagi menjadi seorang guru atau ustaz. Sekarang ini dia sedang mengajar di Sarawak. Sementara anak sulung aku yang tamat dari USM kini bekerja sebagai seorang pegawai di Kuala Lumpur.

Anak ketiga aku seorang perempuan. Dia tidaklah seperit aku di masa lampau di kampung asalku. Dia sudah bernikah dengan seorang peniaga. Kehidupan mereka agak lumayan, bukan sahaja dari segi kewangan malah dikurniakan tiga orang anak dalam tempoh empat tahun. Setahun seorang anak.

Menantu aku, iaitu suami kepada anak perempuanku, juga berasal Jerteh, Besut, Terengganu. Dengan modal permulaan yang dipinjam dari bapanya sebanyak RM15,000, dia mulakan langkah kejayaannya. Dia membeli sebuah lori kecil. Dengan lori tersebut dia membeli secara borong barang-barang mentah seperti sayur-sayuran, ikan, ayam, barang keperluan dapur, rempah ratus, dan makanan serta minuman dalam botol.

Dia mendapatkan bekalan barang-barang tersebut dengan melangkah sempadan negara ke Thailand. Di pekan Golok yang bersempadan dengan Rantau Panjang di Kelantan itulah dia dapatkan barang-barang yang hendak diedarkan.

Menantu aku yang baik itu bangun sebelum Suboh bagi mengumpul barang-barang yang sudah dipesan pada hari sebelumnya. Kemudian dia bawa barang-barang tersebut balik ke Besut, Terengganu bagi diedarkan kepada peruncit di pasar-pasar basah yang banyak terdapat di sekitar daerah tersebut.

Usaha jerih dia akhirnya berhasil. Sekarang dia berjaya memiliki sebuah rumah agam yang dibina secara tunai di atas sekeping tanah yang sudah dibeli sebelumnya, sebuah kereta Pajero, sebuah Honda Prelude dan tujuh orang anak-anak. Sekarang mereka menetap di Rantau Panjang, Kelantan.

Anak aku yang keempat seorang lelaki. Dia baru selesai belajar di tingkatan enam dan sedang menunggu keputusan peperiksaan. Dalam tempoh menunggu tersebut, dia mengatakan bahawa menunggu satu tamparan hebat baginya. Justeru itu semasa menanti keluarnya keputusan peperiksaan, dia mengajar di sebuah sekolah agama rakyat di Felda Kota Gelanggi Satu ini.

"Ya Allah, aku berharap sangat supaya keputusan peperiksaan STPM anak aku ini beroleh cemerlang dan dapat mengikuti jejak dua abangnya memasuki universiti. Amin ya Allah ya Rabbal 'Alamin." Itulah doa aku saban ketika.

"Ya Allah, berilah taufik dan hidayah kepada anak aku yang ketiga ini. Limpahkanlah kemudahan dan lindungilah dia dari segala kepayahan. Semoga dia tidak menjalani keperitan kehidupan seperti ditanggung oleh ibunya."

TAKDIR DAN TADBIR ILAHIWhere stories live. Discover now