6. DIKURNIAKAN EMPAT ORANG ANAK

29 1 0
                                    


Selang beberapa tahun kemudian, rumah aku diserikan dengan kehadiran dua orang anak lagi; seorang perempuan dan seorang lagi lelaki, menjadi empat orang kesemuanya. Bertambah meriah rumah aku. Juga bertambah belanja kami sekeluarga.

Rumah yang didiami oleh keluarga aku itu terletak di belakang rumah kakak aku. Oleh kerana berhampiran, kedua-dua anak lelaki aku sering berada dan bermain-main di rumah Mak Tehnya. Mereka lebih rapat dengan Mak Teh dan Pak Tehnya justeru kerana kakak dan abang ipar aku tidak dikurniakan anak.

Dalam satu peristiwa, anak lelaki kedua aku yang berumur empat tahun bermain-main di bawah rumah. Memang semua rumah di kampung dibangunkan dengan mempunyai banyak tiang, iaitu rumah ditinggikan supaya air banjir tidak mudah mencecah lantai rumah. Anak keduaku terjumpa bekas berbentuk lonjong yang menyimpan katak-katak umpan memancing Pak Tehnya.

"Syoh! Keluarlah katak. Jangan duduk di dalam bekas ini, nanti kau mati. Syoh, syoh!" aku mendengar anak kedua aku bercakap-cakap berseorangan di bawah rumah.

"Apalah yang sedang dibuatnya," aku berkata sendirian.

"Abang Dir, apa yang Johari sedang buat di bawah rumah? Saya dengar dia halau sesuatu," kata aku kepada abang iparku yang sedang menjahit pukat yang rosak di beranda rumah.

Abang Kadir selajur turun ke bawah rumah. "Budak bertuah ini! Habis dihalau katak-katak umpan memancing aku keluar. Tiada seekor pun yang tinggal," kata abang Kadir sayu-sayup dari bawah rumah.

Aku tersenyum apabila mengetahui apa yang anak kedua aku halau keluar itu. Rupa-rupanya katak yang dibuat umpan memancing ikan haruan dan toman. Tanpa perasaan marah sedikit pun, Pak Tehnya pun ke batas-batas sawah di hadapan rumah bagi mencari katak-katak baharu. Aku melihat dia terbongkok-bongkok menangkap anak-anak katak berwarna hijau dan dimasukkan ke dalam bekas yang menjadi permainan anakku tadi.

Anak sulungku pula sangat gemar aktiviti apa sahaja yang berkaitan dengan ikan. Apabila tiba musim menenggala tanah sawah padi, kerbau atau lembu jantan digunakan bagi membajak tanah sawah yang ada air.

Peralatan waluku yang dipijak oleh abang Kadir ditarik oleh kerbau. Jadi bekas tarikan itu menyebak air ke kiri dan kanan. Justeru itu kawasan di tengah-tengahnya agak kering. Banyak ikan seperti ikan haruan, puyu dan keli yang melompat-lompat ingin melarikan diri tetapi terperangkap di antara selut-selut. Apa lagi, anak sulungku akan menangkap ikan-ikan tersebut menggunakan satu perangkap diperbuat daripada rautan buluh.

TAKDIR DAN TADBIR ILAHIWhere stories live. Discover now