PIC 12

11K 205 207
                                    

Shah bukan bodoh, Lisa tahu itu. Dua puluh empat jam, dalam tempoh sesingkat ini, Shah sudah berjaya menjejaki dirinya. Tentu sahaja dengan bantuan Vee. Dia tidak marah kepada Vee, dia tak rasa pun Vee mengkhianati dirinya. Memang itu pun yang dia harapkan. Vee tak pernah menghampakan. Sentiasa dapat membaca dan memahami isi hatinya.

Lisa menghela nafas panjang. Memandang Shah yang sedang bermain-main dengan Noah. Tak jauh pun dari tempat dia duduk. Cuma berjarak sepuluh kaki. Sengaja dia membiarkan dua beranak itu bermesra.

Malam tadi Noah meragam teruk, mencari Shah. Noah sukar tidur kerana tiada bau Shah, tiada sentuhan tangan Shah, tiada suara serak-serak basah Shah berzikir sambil menidurkannya. Lisa tahu itu, dan Lisa amat menyesalinya. Dek kerana sikapnya yang mementingkan diri sendiri, Noah menjadi mangsa. Lisa juga turut merasakan apa yang Noah rasa. Tidurnya tak lena tanpa Shah di sisi. 'Anak, maafkan mak'.

Dia sedang menikmati makan tengah hari ketika loceng pintu berbunyi. Siapa? Vee dan Paul sudah keluar ke pejabat selepas sarapan tadi. Mungkinkah Vee ada tertinggal barang? Sebaik sahaja pintu dibuka, Shah tercegat di depan pintu. Dia terpana, namun dia juga merelakan tubuhnya ditarik ke
dalam pelukan, memaknakan erti sebuah rindu yang menggebu di dalam hati dua insan.

"Zureen isteri Hafiz "

Hanya dengan satu ayat dari Shah, hati Lisa cair, dan Lisa mempercayainya. Semudah itu? Jangan dipandang remeh akan gerak hati seorang isteri. Lisa sentiasa tahu, gerak hatinya tak pernah berbohong. Cuma semalam dia terlalu mengikut kata hati. Lisa khilaf. Syaitan sangat jahat, bersifat api. Syaitan juga telah berjanji kepada Allah S.W.T untuk sentiasa berusaha menghasut hati manusia supaya bertelagah. Lisa dan Shah adalah antara mangsa syaitan durjana itu hingga menyebabkan Lisa mengalami rasukan ablasa.

Lisa mengenepikan rasa marah dan ego yang merajai hati. Dia mahukan Shah. Dia tahu, Shah juga mahukan dirinya. Itu adalah fitrah manusia yang tidak harus dinafikan. Noah masih tidur di dalam bilik. Mereka melangsaikan hutang yang tertunggak dua hari yang lalu, di ruang tamu. Lisa tak peduli. Katalah Lisa gelojoh. Lisa tak marah. Moga-moga tiadalah kamera tersembunyi di dalam lampu mahupun di celah bingkai gambar hiasan pada dinding rumah Vee. Benarlah kata orang, seks boleh melegakan segala ketegangan. Terbang segala resah, runtuh sudah tembok kemarahan, lebur segala ego.

Lisa sayang Shah, dan Lisa akan berusaha untuk mempertahankan rumahtangga dia dan Shah. Usai berhubungan badan, Shah merungkai segala persoalan di hati Lisa. Ya, Hafiz datang kembali. Tapi sebagai seorang Hafiz yang baru. Hafiz juga sudah berubah. Bukan lagi Hafiz yang songsang. Selama ini Hafiz mencari jati diri yang telah lama hilang. Syukur, pedoman hidupnya dijumpai di sebuah pondok pengajian milik ayah Zureen. Di situlah dia bertemu jodoh dengan Zureen, si gadis pingitan yang berusia dua puluh dua tahun. Muda, namun matang.

Zureen berjasa besar pada Hafiz. Beberapa bulan yang lalu, Hafiz disahkan mengidap penyakit sirosis hati dan rawatan yang diperlukan ialah pembedahan pemindahan hati daripada penderma.

Sebahagian daripada hati Zureen ada pada Hafiz. Kini mereka berkongsi hati dan cinta. Bakal menjadi ibu dan ayah juga dalam masa beberapa bulan lagi. Zureen hamil tiga bulan. Mabuk teruk dan kerap demam. Hafiz pula sudah tiga hari dirawat di Ara Damansara Specialist Medical Centre kerana demam denggi. Fikri yang kerap menjenguk Hafiz di hospital, manakala Shah baru sekali melawat Hafiz, iaitu pada petang majlis ulangtahun kelahiran Noah yang pertama.

Kali pertama bertemu Hafiz sejak hampir dua tahun yang lalu, kedua mereka sama-sama menangis. Bukan menangis kerana melepaskan rindu, tetapi menangis kerana menyesali perbuatan masa lalu, melakukan seks sesama jenis.

Lama Shah berbual bersama Hafiz, asyik dia mendengar kisah penghijrahan Hafiz hingga tidak sedar malam telahpun menghampiri dinihari. Teringat kepada permintaan nakal Lisa, Shah segera meminta diri untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, tayar kereta Shah pecah. Hampir setengah jam Shah melakukan kerja-kerja menukar tayar. Sebab itulah dia kepenatan sebaik sahaja sampai di rumah.

SHAH & LISA (Partner In Crime)Where stories live. Discover now