BAB 5

3.5K 102 1
                                    


ESOKNYA.

Benarlah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Baru 10 minit menunggu, dia dah rasa lelah.

"Mana mamat ni? Lambat pula dia hari ini. Macam tahu-tahu saja aku tengah tunggu dia," keluh Rania sambil matanya liar memandang ke sekeliling.

Ke memang dia tak masuk kerja hari ini? Takkan kut. Ingat ini ofis bapak dia ke nak cuti sesuka hati? Alah, tunggulah kejap. Mana tahu kut-kut dia datang nanti.

Dia mundar-mandir di laluan anak tangga itu. Sesekali dia perhatikan gelagat orang sekeliling yang melalui kawasan itu. Tup-tup matanya tertancap pada sesusuk tubuh sasa yang sedang melangkah ke arahnya.

Argh! Serius dia boleh jatuh cinta berkali-kali bila pandang muka mamat itu. Apasal handsome sangat ni? Dia memang asal daripada keturunan yang boleh buat hati perempuan cair ke apa?

"Awak," panggil Rania.

Serta-merta langkah lelaki itu mati.

"Kenapa?" Dia soal Rania balik.

"Hutang saya semalam mana?"

Rania tadah tangan depan mamat lif.

"Kau ni, hutang 25 ringgit tu pun nak berkira. Ingat aku ni pokai sangat ke tak mampu nak bayar?"

"Eh, mestilah kena kira. Ni zaman duit tau. Dengan 25 ringgit tu, macam-macam benda saya boleh beli."

"Isy, banyak cekadaklah kau ni."

Mamat itu menjeling tajam. Lantas, poket seluar diseluk. Sekeping wang kertas bernilai RM50 dikeluarkan dari walletnya.

"Nah. Keep the change. Jangan kacau aku lagi lepas ni."

Wang kertas itu diletakkan atas tapak tangan Rania sebelum dia berlalu pergi.

Rania jadi terpinga-pinga.

"Eh, awak. Tunggulah kejap."

Serta-merta langkah lelaki itu mati sebelum dia berpaling.

"Nak apa lagi? Aku dah bayar hutang aku, kan?"

"Memanglah, tapi saya tak nak baki ni. Saya cuma nak 25 ringgit yang awak hutang tu saja. Mak saya pesan, jangan ambil yang bukan hak kita. Tak berkat tau."

"Isy, cepatlah bagi baki." Giliran mamat lif pula tadah tangan depannya.

"Masalahnya, saya tak ada duit kecik sekarang. Err... apa kata kalau petang nanti saya tunggu awak kat sini?"

"Maksud kau, aku kena jumpa kau lagi?"

Rania angguk sambil kelip-kelip mata. Please mamat lif. Saya nak jumpa awak lagi tau. Tak puas lagi rasanya tatap muka awak yang handsome ni.

"Fine! Tunggu aku kat sini pukul 6.00."

Yes! Hati Rania dah berbunga-bunga. Ada can lagilah nak jumpa dia petang ni.

"Awak," panggil Rania lagi bila lelaki itu dah bersedia nak angkat kaki.

"Apa lagi?" Naik satu oktaf suaranya.

"Alang-alang dah kenal ni, boleh tak saya nak tahu nama awak? Err... nama saya Melissa Rania. Awak boleh panggil saya Rania aje. Saya kerja kat bahagian..."

"Eh, kau ingat ini sesi perkenalan ke apa? Aku tak berminatlah nak ambil tahu pasal kau."

"Okey, kalau awak tak nak bagitau nama awak, saya boleh aje tanya orang lain. Tu pun kalau awak tak kisahlah."

Rania buat muka selamba. Geram pula bila mamat itu jual mahal. Tanya nama saja pun. Susah sangat ke nak jawab?

"Fine! Nama aku Carl. Kau boleh panggil aku Carl. Puas hati? Jangan cari aku kat ofis ni okey. Aku tak ada masa nak layan kau."

Suara Carl berbaur amaran.

Rania tersengih. Akhirnya dia dapat juga nama mamat lif itu.

C.A.R.L.

Done save nama mamat itu dalam hati.

CARL. RANIA.

Pergh! Macam ngam pula dua nama ni bila bersatu di atas kad jemputan kahwin nanti. Adoi, Rania oi. Apa jauh sangat kau berangan ni? Baru kenal saja kut, dah fikir pasal kahwin.

Rania sengih sambil tampar kepala sendiri.

KERANA mamat lif bernama Carl itu, Rania jadi tak senang duduk hari ini. Dua tiga minit sekali, dia jeling jam di tangan. Tak puas dengan jam di tangan, dia jeling pula jam di dinding.

"Isy, apasal macam tak bergerak aje jarum jam ni? Nak habis bateri ke apa ni?" Dia merungut dalam diam.

Nak tunggu jarum itu bergerak ke pukul 6.00 petang, terasa amatlah lama. Terseksa zahir dan batin tau. Hebat betul penangan mamat lif ni.

"Rania, happy semacam aje hari ni? Ada orang nak masuk meminang ke?" sergah Sakinah sambil mengetuk hujung meja Rania.

"Mana ada kak. Tapi, akak doa-doakanlah. Mana tahu masin mulut akak tu, ada orang betul-betul pinang saya," jawab Rania dalam senyuman.

"Amin. Akak selalu doakan."

"Akak, nak bagitahu satu rahsia ni. Tapi, akak jangan bagitahu sesiapa tau." Bersinar-sinar mata Rania saat itu.

"Apa dia?" Sakinah menyandar di sisi meja sambil berpeluk tubuh.

"Petang ni saya ada date." Rania senyum meleret.

"Amboi! Dengan siapa tu?"

"Dengan mamat lif." Spontan dia menjawab.

"Hah? Mamat lif mana pulak kau ni?"

"Panjang ceritanya kak. Hari tu, saya ada kenal dengan sorang mamat ni dekat lif. Saya panggil dia mamat lif sebab saya tak tahu nama dia. Baru tadi saya tahu nama dia. Dia ajak saya jumpa pukul 6.00 petang ni. Dia pun kerja kat sini juga tau."

"Oh, patutlah kau kejap-kejap jeling jam. Rupanya ada date. Siapa nama mamat tu? Mana tahu kut-kut akak kenal. Dari department mana?"

"Dari department mana tu tak pastilah pulak. Tapi, dia kata nama dia Carl."

"Carl. Hurm, tak kenallah pulak akak."

"Tak apa. Nanti dah lama-lama nanti, saya kenalkan dia dengan akak."

Rania senyum senget. Berborak dengan Sakinah pasal Carl buat hatinya menggebu. Dia tak tahu kenapa. Tapi, aura Carl seolah-olah sudah berjaya membuat hatinya terpikat.

Dia tak pernah rasa begini sebelum ini. Tapi, terpikat bukan bermakna dia dah jatuh cinta. Isy, jauh panggang dari api tau. Ingat senang Melissa Rania nak jatuh cinta kepada sebarangan lelaki?

Tapi, kalau ditakdirkan dia jatuh cinta dengan Carl, kecil tapak tangan, Stadium Shah Alam dia tadahkan. Lelaki sekacak Carl, siapa yang sanggup menolaknya?

"Handsome tak dia? Ada macam bos kita tu?" soal Sakinah.

Wajah Rania yang sedang membelek fail di atas meja dipandangnya lama. Sekilas, Rania mendongak pandang muka Sakinah.

"Rasanya mamat lif saya tu berkali-kali ganda handsomenya daripada bos kita tu." Dia menjawab dengan penuh yakin.

"Eleh, kau jumpa bos pun tak pernah. Entah-entah bila kau bertentang mata dengan bos kita tu nanti, terus kau lupa mamat lif kau tu."

Sedas Sakinah kenakan Rania.

"Tak mungkinlah," bidasnya sambil tergelak kecil.

Ah, dia yakin dengan perasaannya. Datanglah lelaki handsome mana sekalipun, takkan bisa mampu menandingi ketampanan mamat lif dalam hatinya. Cewah...

CEO DEPAN MATAWhere stories live. Discover now