BAB 1

225 3 0
                                    

LISA menarik baju sejuk yang dipakai, menutup bahagian hadapan tubuh. Pandangan liar mengerling sekitar. Bimbang entah apa, sehingga dia begitu paranoid bahawa ada seseorang ingin membunuhnya. Tinggal sendirian di sebuah kota yang sangat sibuk seperti Kuala Lumpur menuntut bermacam-macam prasangka dan fikiran yang bukan-bukan.

Tangan kanan menyeluk ke dalam beg sandang yang disangkut di bahu kanan. Mata masih mengawasi persekitaran sambil kaki laju menapak melewati kawasan parkir pangsapuri berkenaan. Suasana yang agak suram dan sunyi pada waktu tengah malam begini mengundang pelbagai sangkaan yang tidak baik.

Semakin jauh meninggalkan pondok pengawal, perasaan resah itu semakin kuat. Wap panas dari permukaan tanah selepas ditimpa hujan menyerbu ke muka. Langkah Lisa terhenti apabila muncul satu lembaga di dalam gelap, kira-kira satu meter di hadapannya.

"Siapa?"

Lembaga itu hanya diam.

"Jangan dekat!" Lisa terundur apabila lembaga itu maju setapak ke arahnya. "Sa... saya jerit nanti." Sambil berusaha menutup rasa takut, Lisa paksa diri bersuara dengan berani. Tangan kanan sudah menggenggam kejap sebilah paku payung bersaiz besar di dalam saku beg sandang, bersedia untuk sebarang perkara yang tidak diingini.

Perlahan-lahan wajah seorang lelaki kelihatan apabila lembaga itu sudah berdiri di bawah cahaya lampu neon. Riaknya dingin, tiada senyuman. Pandangannya kosong merenung Lisa. Anggaran usianya mungkin sekitar pertengahan 20-an.

Lisa mengerut kening. Tampang lelaki itu kelihatan bersih. Kemas daripada sebarang misai atau jambang. Alur mata dan hidung menunjukkan rupa seorang anak kacukan. Rambut hitam, pendek dan rapi persis anggota keselamatan negara, tidak menampakkan lelaki itu punya sebarang niat jahat.

Namun, sehelai baju-T putih berlengan panjang dan seluar jean biru-hitam yang hampir lusuh di tubuh lelaki itu, menimbulkan sedikit keraguan. Paku payung sudah tergenggam kejap di tangan Lisa, bersedia untuk dikeluarkan.

"Awak siapa?" Lisa menelan liur.

Lelaki itu masih memandangnya. Tanpa menunggu, Lisa terus mengeluarkan paku payung yang sering dia bawa ke mana saja sebagai senjata melindungi diri dalam keadaan getir dan bahaya.

"Saya kata jangan dekat. Saya jerit." Perlahan-lahan kaki Lisa bergerak menjauhi lelaki itu. Namun lelaki itu masih diam, memerhatikan Lisa yang sudah seperti orang hilang akal mencuba pelbagai cara melindungi diri.

Tangan yang memegang paku payung masih diacu ke arah lelaki tersebut. Lisa berundur ke tepi perlahan-lahan, memberi laluan kepada lelaki itu. Mungkin dia sendiri yang berfikir berlebih-lebihan. Mungkin dia sudah tersalah faham. Mungkin lelaki itu hanya melalui situ. Mungkin lelaki itu adalah salah seorang penghuni baru di pangsapuri berkenaan.

Dan tidak. Lelaki itu tidak mengekorinya, hanya memandang Lisa dengan riak wajah yang sukar ditafsirkan. Lisa menarik nafas lega setelah dia bergerak sejauh beberapa tapak. Lisa memaki diri sendiri yang keterlaluan sebentar tadi.

Paku payung disimpan semula. Kaki terus laju diayun menaiki tangga. Kekurangan kemudahan seperti lif untuk bangunan setinggi lapan tingkat itu memang menguji tahap kecergasan penghuni di tingkat teratas. Dia bernasib baik hanya perlu memanjat sehingga ke tingkat tiga.

Kunci rumah dikeluarkan sebaik langkahnya tiba di depan pintu. Lisa menoleh ke kiri apabila haruman gaharu yang dibakar menerpa deria hidu. Kedudukan rumahnya yang terletak di hujung sekali itu, menghadap sebuah tokong Cina.

Dia membuang rasa yang bukan-bukan. Mungkin kali ini juga hanya ilusi dan perasaan. Kunci dimasukkan dan tombol dipulas. Terus pintu ditolak dan Lisa pantas melangkah masuk. Suis lampu ditekan. Pintu ditutup rapat.

SEMBUNYIМесто, где живут истории. Откройте их для себя