Bab 207-Manusia Kabus

2.5K 43 2
                                    

SELESAI sembahyang subuh dan berdoa, datuk segera mendekati saya yang berada di saf belakang. "Ada apa, hal tuk?" "Aku nak balik dulu, kalau nak ikut balik pun boleh, nak duduk di masjid pun boleh, terpulanglah kepada kamu," ungkapan dari datuk membuat saya tergamam sejenak. Biasanya, jarang datuk mahu memnggalkan masjid secara tergesa-gesa.

"Sayaikut balik tuk," itu keputusan dari saya. Datuk anggukkan kepala sambil tersenyum. "Harun macamana tuk?" Susul saya lagi.

"Dia nak dengar kuliah subuh yang disampaikan oleh seorang ulama terkenal dari Kota Tuo (Kota Tua)-Padang Sumatera Barat," jelas datuk. Memang tidak di duga Harun Fadillah membuat keputusan mengejut. Saya dan datuk keluar dari perut masjid, sampai dekat pintu Harun Fadillah muncul.

"Baliklah dulu, saya tahu ada kerja yang mesti memanda buat di rumah. Lagipun memanda sudah memulakan puasa sunat," bisik Harun Fadillah ke telinga datuk.

"Memang betul apa yang kamu cakapkan," jawab datuk. "Tamar, apa yang kamu perlukan minta saja pada pembantu rumah," Harun Fadillah renung muka saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala.

Dan langkah pulang pun bermula. Disaat sedang asyik mengekori datuk dalam dingin pagi, berkawankan kabus nipis terasa datuk memperlambatkan langkahnya. Kemudian terus berhenti.

"Kenapa Tuk?"

Tiada jawapan yang saya terima. Sebagai cucu yang sudah dilatih supaya cepat berfikir dan bertindak bila keadaan terdesak. Saya segera mempertajamkan pancaindera. Ada bebayang manusia dalam kabus yang menghalang langkah perjalanan datuk. Manusia itu bertubuh besar, memakai songkok putih, berkain pelikat berkotak besar dalam warna hijau putih. Baju melayu telok belangga yang dipakainya koyak di bahagian bawah. Di bahu kanan terselipang kain hitam menutup sebahagian dada kanan. Lelaki yang tercegat di depan datuk itu, kurang jelas wajahnya.

"Balik saja ke tempat asal kamu, jangan cuba menganggu urusan orang. Aku ingatkan kamu, jangan cuba nak jadi jaguh di Tanah Deli. Nanti buruk padahnya pada diri kamu. Kalau tak mati, seksa seumur hidup." Terdengar gema suara sekeliling kami (saya dan datuk).

Sukar untuk dipastikan, apakah gema suara itu datang dazi lelaki tinggi, bertubuh besar? Sebabnya, semasa suara menolak gegendang telinga, saya seperti berada dalam keadaan khayalan dan bebayang orang itu bagaikan tenggelam timbul dalam kabus nipis.

Datuk menoleh ke arah saya sambil memberi isyarat tangan, supaya mengikuti apa saja yang bakal dilakukannya. Dalam keadaan termanggu datuk terus melangkah lalu merempuh lembaga yang menghalang perjalanannya. Tindakan datuk itu mendatangkan padah. Lembaga itu bertindak kasar. Datuk ditendang hingga jatuh terlentang. Saya juga menerima habuan, kain selendang di bahu kanan dilibaskan ke arah saya.

Kibasan kain itu membuat saya terhoyong-hayang, tidak daya mengimbangi badan. Kaki bergerak tidak teratur, badan pula terlayah ke kiri, terlayah ke kanan. Gerak langkah saya bagaikan orang mabuk. Dalam saat itu juga, saya terus berselawat seberapa yang boleh. Rasa pening mula berkurangan tubuh dapat saya imbangi. Tetapi, tidak mampu berdiri dan terpaksa duduk dipermukaan jalan pulang.

Datuk yang jatuh terlentang segera bangun dan meluru ke arah lembaga yang kelihatan samarsamar. Bila badan datuk bersentuhan dengan tubuh lembaga tersebut, saya terlihat bagaikan ada pancaran kilat dari arah selatan dan secara perlahan-lahan tubuh lembaga terbelah dua. Tubuh bahagian kiri mengeluarkan api manakala sebelah kanan pecah berderai, macam kaca terhempas ke lantai. Seluruh badan datuk dibasahi peluh.

"Tanda-tanda kurang baik, Tamar," komen datuk setelah bebayang lembaga itu hilang entah ke mana dalam kabus nipis. "Maksuddatuk?"

Datuk terus membisu. Langkah pulang yang terhenti diteruskan. Saya terus mengekorinya dengan seribu persoalan. Cahaya matahari mula bangkit dan mengembang dilangit, suasana sekitar mula cerah. Suara kicau burung mula terdengar, sinar matahari yang lembut mula menikam embun di hujung rumput lalu memantulkan cahaya bening yang menarik.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now