Bab 202-Perempuan Berekor Harimau

2.1K 22 0
                                    

SEBUAH kereta warna hitam masuk ke kawasan rumah batu lama dan berhenti di depan pintu. Seorang lelaki berbadan tegap, tingginya hampir enam kaki. Berkulit merah dengan rambut berombak disikat lurus ke belakang. Sekali pandang macam orang Belanda.

Mia dan Haji Basilam segera menyambutnya. Mereka beriringan masuk ke ruang tamu. Datuk diperkenalkan oleh Haji Basilam dan Mia kepada lelaki tersebut. Mia beredar ke ruang dapur. Tinggallah Haji Basilam, lelaki gagah dan datuk di situ. Mereka bercakap dan berbincang dengan serius.

Setengah jam kemudian, Haji Basilam keluar dari ruang tamu terus ke tempat basikal. Saya berlari ke arahnya. "Mahu ke mana naik basikal ni?". Tanya saya. "Aku nak jemput orang kampung berdekatan. Lepas Isyak nak ada kenduri sikit." "Siapa yang datang tadi," saya menyoal. "Itulah abang si Mia."

"Abang Mia," ulang saya dengan rasa terkejut. "Kenapa terperanjat? Usah banyak cerita. Bagi tahu Andi perkara ini, kamu berdua kena pakai kemas sikit "Baik pak aji."

Haji Basilam dorong basikal kemudian melompat ke atasnya. Dan basikal pun dikayuh menghala ke kampung berhampiran. Sebaik sahaja Haji Basilam hilang dari pandangan saya, Mia keluar dari pintu dapur. "Mahu ke mana Mia," tanya saya sebaik sahaja dia melintas di depan saya. "Mahu menjemput Haji Simpul datang ke rumah malam ni, ada kenduri aku juga nak pergi ke rumah Kak Sun." Mia meneruskan langkah yang terhenti.

Sejam kemudian, Mia kembali bersama Kak Sun dan beberapa orang wanita. Tidak lama selepas itu Haji Basilam pula balik. Dan keluar semula bersama datuk dan abang Mia dengan kereta berwarna hitam. Saya tidak mahu ambil tahu ke mana mereka pergi. Itu bukan urusan saya. Tugas yang dibebankan oleh Haji Basilam pada saya ialah untuk mencari Andi Kamarool. Tugas itu masih belum saya laksanakan. Malah rasanya mahu menyusuri tepi bukit mencari Andi Kamarool.

Dengan rasa separuh hati, saya melangkah menuju ke arah kaki bukit. Kira-kira lima belas minit meninggalkan pokok bunga tanjung dan bangku antik, saya terserempak dengan Andi Kamarool yang terbaring di tepi busut jantan. Nafasnya, tercunggap-cunggap dan badannya dibasahi peluh. Andi Kamarool bagaikan tidak nampak batang tubuh saya yang berdiri tegak dihadapannya. "Andi," sergah saya.

Andi tidak menunjukkan sebarang reaksi. Walaupun sepasang biji matanya menyorot muka saya. "Andi," jerit saya sambil mengoncang-goncangkan bahunya. "Ah... "

LETIH

ANDI Kamarool seperti tersintak. Renung kiri, renung dengan wajah yang cemas dan takuttakut. Tiba-tiba dia melompat dan membuka silat. Saya diserangnya bertalu-talu. Berpeluh-peluh dibuatnya. Terpaksa melompat, meniarap dan ada ketikanya melompat tinggi.

Saya terpaksa bertindak demikian, kalau tidak berusaha mengelak. Pasti tubuh saya dihentak dengan penumbuk, ditendang atau ditampar. Mengelak dan bertahan tanpa bertindak balas, adalah cara terbaik menghadapi Andi Kamarool yang saya kira sudah dipengaruhi oleh sesuatu yang luar biasa.

Cara yang saya buat, berjaya meletihkan Andi KamarooL Kekuatannya mula berkurangan. Kalau tadi sinar matanya lembut, kini nampak garang dan merah. Urat-urat dileher bagaikan menonjol. Daging pipinya bagikan tersembul. Nafas yang dihembus, macam nafas kerbau jantan. Andi Kamarool rebah tersandar dibusut jantan. Sebelum menyentuh bahunya semula, kedua belah telapak tangan saya gosok berkali hingga terasa panas sambil membaca surah AI-Fatihah dan surrah Al-Ikhlas tujuh kali berturut-turut.

Dengan penuh yakin terhadap kekuasaan Allah yang Maha Besar, bahu Andi Kamarool saya tampar. Dengan sekali tampar, Andi Kamarool terkulai rebah. Tidak sedarkan diri buat seketika. Tidak lama berselang, sepasang kaki dan tangannya bergerak-gerak, tersintak-sintak macam ditarik sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Saya terkejut, bila melihat semacam asap nipis keluar dari celah kuku jari tangan dan kaki.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now