Bab 10

540 26 2
                                    

   Nana tersenyum sepanjang perjalanan . Walaupun lampu isyarat memerah , ia tidak memberi kesan . Walau lori menghimpit di bahu jalan , ia tidak mampu menggugat kegembiraan . Walau keretanya sudah hampir kehabisan minyak , Nana langsung tidak mempedulikan .

   Ya , dia sedang dilanda keseronokan tahap maksima . Seronoknya seperti baru menerima keputusan peperiksaan yang cemerlang dan mendapat tempat pertama !

   Mendekati simpang ke rumah , Nana tidak sabar - sabar mahu berkongsi cerita dengan Linda . Teman baik yang tiggal serumah itu bakal menjadi pendengar paling setia.  Linda yang kuat bergosip itu juga dijangka mampu menjalankan tugas sebagai media rasmi penyebar berita kepada semua The Wannababes yang lainnya . Dijangkakan , dalam masa kurang dari 5 minit ... Dia akan menerima SMS tahniah . Pasti bertalu - talu memasuki sistem dan tidak berhenti - henti berdecit telefon bimbit miliknya .

   Nana turut menguntum senyum siput apabila terbayangkan kawan - kawan baiknya yang teramat rapat itu pasti membuat perancangan keluar makan.  Mestilah mengadakan sambutan kejayaan besar besaran! Dalam kepala terbayang keenakan daging stik di Victoria Station . Lidah sudah terasa kesedapan kek keju yang khas dibeli si Secret Recipe . Fasha , kawan baiknya yang bertaraf anak Tan Sri ... Pasti bermurah hati berbelanja apa sahaja yang dimahukan oleh Nana atas kejayaan yang dikecapi!

   "Hebatnya! Aku akan masuk TV! "

   "Seronoknya! Aku akan jadi terkenal seantero Malaysia! "

   "Paling seronok , aku dapat peluang berkenalan dengan Shahir . Memang kacak sangat orangnya! "

   Namun segalanya musnah sekelip mata apabila Nana terlihat kelibat kereta BMW milik kak Zana sudah berada di perkarangan rumah . Apa ? Kak Zana datang ? Kak Zana si pelenyap kebahagiaan itu memunculkan diri lagi ? Oh, pasti itu membawa petanda penderitaan datang berpanjangan!

   Dia menggagahkan diri untuk melangkah masuk ke ruang tamu . Dadanya tadi penuh tawa , kini bagaikan menanggung derita . Ketika mana Kak Zana dan mama begitu selesa duduk di sofa , Nana melintasi mereka dengan ketap bibir yang terketar - ketar .

   Menjeling ke meja , Nana dapat melihat hidangan mi goreng , laksa Johor dan kuih muih yang disusun atur . Linda tentunya sudah tahu lebih awal tentang kedatangan Kak Zana dan mama . Memang kelihatan bersedia dengan persiapan menghidang yang serba sempurna.  Ada cucur udang , air , sudu garfu yang berkilat dan alas meja renda.  Linda selaku teman baik juga sudah tahu sangat , betapa mamanya seorang pengkritik terhebat di dunia . Ada sahaja mahu dikomen . Ada sahaja yang tidak kena.  Memang serasi sungguh dengan Kak Zana , dua anak beranak yang sedarah sedaging dengan Nana , tetapi terlalu berbeza perwatakannya .

   "Assalamualaikum" Nana akhirnya sudah sampai ke tepi sofa . Dia kini bersalaman dengan mama dan kemudiannya secara acuh tidak acuh menyentuh tangan Kak Zana . Kak Zana yang duduk di sebelah mama begitu asyik memandang Nana sehingga tidak berkelip mata dibuatnya . Nana sedar Kak Zana sedang memerhatikan dirinya yang kini sudah jauh berubah . Namun Nana sehabis mungkin cuba berlagak selamba , pura - pura tidak menyedarinya .

   "Haa, Nana! Lambat awak balik ? Kasihan Kak Zana dan Cik Liza . Hampir satu jam mereka menunggu ." Linda menegur Nana dan pandangan matanya terselit kerlipan simpati dan amat memahami .

   "Maaf ya! Saya bukan sengaja balik lewat . Tetapi tadi rupa - rupanya ada proses saringan . Ada 26 peserta terpilih dan kami perlu lalui ujian keserasian.  Setiap individu ambil masa hampir setengah jam . Itu yang balik lewat sedikit daripada jangkaan "

   "So? Macam mana? Nana terpilih ataupun tidak sebagai 12 peserta terakhir ? "

   Mama Nana iaitu Puan Liza kelihatan begitu bersungguh - sungguh mahu tahu .

   "Mestilah Nana terpilih! Malah nama Nana yang disebut antara peserta terawal . Nana anak mama. Mestilah Nana cantik seperti mama! Semua pengadil pun tidak putus - putus memuji - muji Nana " Suara Nana dibuat riang di hadapan semua orang.

   Nana juga sengaja menguatkan suaranya tatkala menyebut perkataan 'cantik' . Kini gilirannya pula mahu menyindir Kak Zana , Ah hebatnya!

Mr. Right SelebritiWhere stories live. Discover now