BAB 6 - Bhgn. 2

30 5 0
                                    

Imbas kembali ...

"Tunggu sebentar!" Miksalmina memberitahu beberapa orang tentera yang sedang bertugas. Mereka memberi laluan kepada Miksalmina lantaran menghormatinya sebagai salah seorang kepercayaan istana Daqyanus.

"Kawan, ada kata-kata terakhir kamu?" Miksalmina bertanya sambil mendongak melihat susuk penganut Nasrani itu sedang tergantung.

Dengan suara yang langsung tidak takut, penganut Nasrani itu berkata, "Inilah nasihat terakhir aku kepada semua orang yang akan dibunuh. Tuan aku ialah Nabi Isa putera Mariam, seorang Nabi dan Rasul Utusan Allah. Aku tak takut terbunuh, kerana aku yakin aku akan diangkat ke syurga seperti mana Nabi Isa dan para Hawariyyun yang dibunuh dahulu.

"Iman ini dan kepercayaan terhadap Allah Tuhan Yang Esa akan terus kekal di dunia ini, walaupun apa sahaja yang cuba dibuat untuk menyekatnya. Bahkan kematian ini bukannya penghalang. Wahai kaumku! Ingatlah ajaran Nabi Isa! Tuhan kita ialah Allah, Tuhan Yang Esa, tiada dua!

"Biar mati digalang salib, namun mengakui berhala-berhala itu sebagai sembahan dan tuhan tidak sama sekali. Wahai tentera! Lekaslah, jangan kamu tangguhkan kematian aku. Allah dan syurga sedang menunggu aku!"

**********

Martelius turut bercerita tentang nasib yang dialami oleh seorang pendita Yahudi yang diikat dan disebat oleh tentera suruhan Daqyanus.

"Di sana terdapat satu komuniti Yahudi yang masih berpegang teguh dengan ajaran Nabi Musa dan mereka percaya sepenuhnya kandungan kitab Taurat," kata Martelius.

"Apa kamu lihat dan pelajari, Martelius?" Miksalmina lekas-lekas bertanya.

Martelius lalu bercerita ...

"Lepaskan atuk aku! Tolong lepaskan!" Rayu seorang anak lelaki kepada tentera yang sedang menyebat seorang tua. Sedangkan budak lelaki kecil itu dipegang kejap oleh dua wanita dewasa agar tidak berlari ke tempat penyebatan itu.

"Jangan pergi, anakku! Nanti kamu juga akan disebat mereka," rayu seorang wanita, mungkin ibunya.

"Atuk. Itu atuk aku!" Rayuan budak itu tidak dihiraukan oleh tukang sebat.

Martelius bertanya kepada ketua tentera di situ, "Apa yang sedang terjadi? Mengapa menyebat orang tua itu. Tak kasihankah kepadanya?"

Ketua platun itu menjawab, "Kami sedang mengumpul cukai seperti arahan istana. Tapi lelaki itu enggan membayarnya."

"Adakah dia tidak mahu membayarnya atau memang dia tak mampu?" Soal Martelius lagi. Dia kasihan melihat orang tua itu menyeringai kena sebat.

"Itu bukan soal aku. Yang penting ialah orang tua itu wajib membayar cukai seperti titah Sire!"

"Bebaskan dia," dengan berani Martelius memberi arahan. Dia adalah seorang ketua platun tentera Tarsus.

"Mengapa aku perlu mengikut arahan kamu?"

"Aku seorang ketua platun tentera Rom, rapat dengan ketua istiadat istana Daqyanus. Aku lebih senior daripada kamu."

"Tidak! Aku hanya menerima arahan dari Daqyanus sahaja. Taat setia aku hanya padanya, tuan aku arahkan kutipan cukai tambahan Ini juga adalah dikri istana. Andai ada rakyat yang tidak mahu, maka mereka akan dihukum dengan hukuman sebat! Arahan kamu tak layak untuk aku patuhinya!" Lelaki itu membantah saranan Martelius.

"Kamu masih berdegil? Bebaskan lelaki tua itu," Martelius bertegas tatkala hampir dengan lelaki ketua platun itu.

Lelaki itu sekadar mencebek, lalu berpaling sebelum berkata, "Nampaknya kata-kata tidak sesuai untuk kamu," lalu dia menarik pedangnya dari sarung.

Lantas terjadi pertarungan duel. Pedang berlaga dengan bunyi berdenting. Saling mencantas dan mengelak.

Akhirnya duel itu dimenangi oleh Martelius yang lebih berpengalaman. Tetapi dia tidak membunuh tentera itu. "Aku harap ini menjadi ingatan untuk kamu. Kamu arahkan orang-orang kamu bebaskan lelaki itu dan pergi dari sini."

Sebaik sahaja hunusan pedang Martelius dialihkan dari tengkok lawannya, ketua platun itu bermain helah. Lalu ia menikam Martelius di satu sisi perut, kemudian dia lari bersama platunnya.

Martelius yang cedera dibawa ke rumah lelaki Yahudi itu.

DI SEBALIK HIJABWhere stories live. Discover now