BAB 6 - Bhgn. 1

41 5 0
                                    

Dalam kitab-kitab tafsir Qadi al-Baidawi dan An-Nasafi, Al-Jalalain dan At-Tibyan, Elmali dan O Nasihi Bilmen serta cendikiawan Islam lain, tempat (Ashabul Kahfi) itu memang disebut secara khusus sebagai 'Tarsus'. - Harun Yahya

**********

249 - 250 Masihi, Empayar Rom

Nah, apakah mereka tahu bahawa hidup di dunia ini adalah sia-sia, tanpa berfikir secara waras? Antara lain kadangkala ia persis mimpi dan kebodohan bersalut kehitaman. Mereka kaum kafir itu inginkan kehidupan yang penuh dengan sukacita tanpa akhir.

Walhal untuk orang lain, para pemegang cemeti menyita penganut Nasrani. Demi Tuhan Yang Esa, ada juga penganut Nasrani ini rela mati daripada menyembah berhala-berhala tidak bernyawa itu.

Ia suasana perang dan huru-hara di Tarsus. Penganut agama wahyu yang diajarkan oleh Nabi Isa a.s. dan para sahabatnya digiring ke tempat seksaan, ada yang digantung dan disalib. Ada yang dikoyak kulitnya, dan dibunuh secara dibakar hidup-hidup. Ada yang dicampak untuk dibaham oleh sang singa dan harimau yang kelaparan.

Justeru ada kalanya Daqyanus mengaku sebagai tuhan. Dengan angkuh dia mendabik dada setelah membunuh dan dalam masa yang sama bebaskan orang lain.

Ada orang-orang yang kepalanya dipenggal, tetap pada tombak yang dibawa melalui pintu gerbang kota dan benteng untuk dipertonton.

Betapa kejamnya pemerintahan Daqyanus itu! Betapa para tenteranya bergelak ketawa melihat kematian yang menyayat hari itu! Sungguh, Allah tidak melihat tanpa janji balasan-Nya yang teramat pedih untuk orang-orang yang kejam itu.

Ketakutan dan kesedihan melanda hebat. Namun hati-hati orang beriman pasrah demi redha Allah semata-mata, kerana mereka yakin syurgalah tempat yang abadi. Dunia ini nilainya tidak sepadan walaupun dengan kepak nyamuk yang kerdil itu.

Enam orang pemuda Tarsus - Tamlikha, Miksalmina, Mikhaslimina, Martelius, Casitius dan Sidemius - melihat tindakan kejam serta arahan penyembahan berhala itu sangat tidak patut.

Antara mereka, Miksalmina ialah anak kepada ketua istiadat istana Maharaja Daqyanus dan ketua tentera yang disegani. Manakala lima pemuda lagi adalah keturunan warga terkenal kota Tarsus. Para pemuda itu adalah teman rapat sejak dari zaman kanak-kanak, dan semuanya dalam perkhidmatan tentera kerajaan Tarsus dan kemudiannya diserap dalam batalion tentera Empayar Rom.

Kesemua mereka tidak bersetuju untuk menyembah patung-patung itu. Dalam diam-diam mereka bersepakat untuk berbuat sesuatu, cuma belum masanya lagi, rancang Miksalmina dan Tamlikha.

Pada suatu hari, Miksalmina bersama ayahnya tiba awal untuk raikan majlis ulang tahun Daqyanus. Kelima-lima rakannya yang lain belum tiba kerana masih dalam perjalanan dari perbatasan wilayah.

Maharaja Daqyanus sedang duduk di atas singgahsana mengenakan mahkota di atas kepala. Tidak semena-mena masuk seorang hulubalang istana memberitahu, "Sire, ada bala tentara asing dalam perjalanan ingin menyerbu ke dalam wilayah kita. Mengikut risikan pihak kami, mereka bermaksud hendak melancarkan peperangan terhadap tuanku."

Miksalmina melihat betapa sedih dan bingungnya raja itu, sampai tanpa disedari mahkota yang sedang dipakainya jatuh dari kepala. Kemudian Daqyanus sendiri jatuh terpelanting dari atas singgahsana, persis ditolak seseorang dengan kuat.

Kecoh serta merta ruang penghadapan diraja itu.

Pelbagai desas-desus bersipongang halus, meniti dari telinga ke telinga.

Dengan raut wajah yang merah padam, Daqyanus berkata, "Bentara, panggil jeneral beta datang menghadap segera!" Lalu dia berlalu masuk ke kamar rahsianya.

Miksalmina berfikir, lalu berkata di dalam hatinya, "Kalau Daqyanus itu benar-benar tuhan sebagaimana menurut pengakuannya, tentu dia tidak akan sedih, tidak tidur, tidak buang air kecil atau pun air besar. Tapi kini dia bermuram durja dan terjatuh pula.

"Itu semua bukanlah sifat-sifat Tuhan Yang Esa. Tuhan Yang Esa pastinya berada di tempat lain, pastinya bukan sama dengan manusia. Bukan juga patung-patung."

Sebaik sahaja lima rakannya tiba di istana, Miksalmina bercerita mengenai kejadian itu. Lantas mereka turut terkejut.

"Mengapa itu terjadi?" Tamlikha bertanya.

Sahabat yang lain hanya menggeleng kepala.

Pada esok harinya, keenam-enam sahabat itu bertemu. Mereka berkumpul di rumah Miksalmina tatkala ayahnya berada di istana. Sementara sebatalion tentera sudah dikerahkan mengawal lokasi sempadan wilayah Rom di Timur yang dikatakan akan dimasuki oleh tentera musuh.

Teman-temannya agak hairan Miksalmina tidak minum dan makan hidangan yang ada. Lalu Tamlikha bertanya, "Miksalmina, mengapa kamu tak mahu makan dan minum?"

"Sahabat-sahabat," sahut Miksalmina, "hatiku berdetik dan fikiranku sedang berfikir. Jujurnya sudah beberapa hari semenjak aku melihat onar raja kita, aku tidak lalu makan dan minum, bahkan tidur pun tidak lena."

"Apakah gerangan yang kamu sedang risaukan?" Tanya seorang sahabat lain.

"Sudah lama aku memikirkan soal langit. Aku lalu bertanya pada diriku sendiri, siapakah yang mengangkatnya ke atas sebagai atap yang senantiasa aman dan terpelihara, tanpa gantungan dari atas dan tanpa tiang yang menopangnya dari bawah? Siapakah yang menjalankan matahari dan bulan di langit itu? Siapakah yang menghias langit itu dengan bintang-bintang bertaburan?"

Miksalmina menjawabnya, lalu memandang raut wajah para sahabatnya. Kelihatan mereka turut fikirkan perkara yang sama. Ada yang berkerut dahinya.

"Sahabat-sahabatku, siapakah yang membentang dan menghamparkan langit di atas sana? Siapakah yang menahan gunung-ganung raksasa agar tidak goyah, tidak goncang dan tidak miring? Aku juga lama sekali memikirkan diriku sendiri, siapakah yang mengeluarkan aku sebagai bayi dari perut ibuku? Siapakah yang memelihara hidupku dan memberi makan kepadaku? Semuanya itu pasti ada yang membuat dan mengaturnya, dan sudah tentu bukan Daqyanus. Juga tidak sesekali patung-patung tak bernyawa itu."

Teman-teman Tamlikha lalu berhenti minum dan makan.

"Duhai Miksalmina, dalam hati aku sekarang terasa sesuatu seperti yang ada di dalam hatimu itu. Daqyanus hanya seorang penguasa yang zalim, bukan tuhan. Malahan patung-patung itu hanyalah ukiran dari tukang ukir Rom. Gila andai mahu disembah berhala ciptaan manusia sendiri. Oleh kerana itu, baiklah engkau tunjukkan jalan keluar bagi kita semua," luah Tamlikha.

"Aku juga," kedengaran sahabat lain memberi pandangan.

Kemudian Tamlikha berkata, "Ya, kami semua, Miksalmina."

"Sahabat-sahabatku, baik aku mahupun kalian tidak menemukan akal selain harus lari meninggalkan raja yang zalim itu. Kita pergi dan cari Maharaja Pencipta Langit dan Bumi yang sebenar."

Mereka merancang. Dalam masa perbincangan mereka, Miksalmina bercerita suatu peristiwa di medan seksaan penganut agama Nasrani.

"Aku berada di sana, di lokasi Adonia di saat-saat orang itu diangkat oleh satu alat, agak tinggi di udara. Aku melihat wajahnya tenang walaupun pancaran mentari terasa agak perit yang dapat aku rasakan sendiri. Dia berada di tiang salib. Aku cukup kasihan ... ."

DI SEBALIK HIJABWhere stories live. Discover now