BAB 2 - Bhgn. 1

98 7 0
                                    


Andai inginkan bahagia setahun, semailah benih. Andai inginkan bahagia sepuluh tahun, tanamlah pokok, dan andai inginkan kebahagiaan seratus tahun, maka didiklah manusia. – Pepatah Cina

**********

Aku dilahirkan di Honolulu, Hawai, tahun 1974. Tidak lama kemudian, keluarga berpindah ke selatan California dan menetap di tepi pantai. Kehidupan hippie dominan di kala itu di beberapa tempat. Jadi aku terbiasa hidup di lokasi kotor dengan budaya pelik-pelik. Hidup yang mulanya kelihatan bahagia berakhir dengan penceraian ibu dan ayah, ketika itu usia aku empat tahun. Kemudian ayah kembali ke Hawai.

Walaupun banyak pengalaman hidup dalam suasana sukar di sisi California yang sesak, budaya yang diamalkan nyata merosakkan. Ibu kuat minum alkohol dan mengambil dadah. Akhirnya ibu turut menjadi pengedar dadah. Aku masih ingat ibu pernah membawa aku sehingga merentas Mexico. Apabila aku sudah besar baru aku tahu, ibu mengambil bekalan dadah di Mexico.

Ketika berusia tujuh tahun, aku sering ditinggalkan oleh ibu keseorangan. Justeru aku seringkali tidur dalam ketakutan, dengan semua lampu terbuka dan tv terpasang. Ia untuk menghambat rasa takut itu. Dalam suatu tempoh masa, ibu mulai keluar dengan seorang lelaki. Mereka sering bergaduh di rumah, maka aku terbiasa dengan situasi kasar dan herdikan.

Ayah pula jarang menjenguk aku dari Hawai. Namun pada suatu hari, ayah datang ke California dan ingin membawa aku ke kediamannya di Hawai. Tetapi ibu tidak benarkan, jadi mereka bertengkar berebutkan aku. Pistol menjadi senjata. Pendek cerita, ayah aku ditahan polis.

Lebih kurang dua minggu selepas ayah masuk lokap, ibu secara tergesa-gesa berkemas dan kami terbang ke Hawai. Di sana ada rumah atuk sebelah ibu.

"Kali ini kita mulakan hidup baharu. Ibu akan bekerja tekun untuk besarkan kamu, Abel. Kamu jangan risau. Kita akan menetap di situ dan tidak akan kembali ke sini lagi," itu janji ibu kepada aku.

Ya, untuk beberapa ketika kehidupan di sekitar tanah Amerika Syarikat di Pasifik itu berjalan lebih baik daripada California. Namun tabiat minum arak sehingga mabuk teruk diulang kembali oleh ibu.

Lebih kurang dua tahun kemudian, perangai ibu semakin memburuk. Ibu mulai terlibat dengan gangster tempatan. Entah apa kes, pada suatu ketika, geng lawan dapat menangkap ibu, lalu dibelasah teruk. Atau mungkin juga pihak yang mencari ibu di California mengetahui ibu menetap di Hawai.

Aku teringat ibu tergesa-gesa menaiki kapal terbang ke Hawai dahulu.

"Ibu tak bayar duit dadah?" Monolog aku.

Sudah tabiat kumpulan samseng, balas dendam adalah sifir kekuatan.

"Abel, kita kena bertindak membalas perbuatan dia orang memukul ibu kamu. Ini rancangan kita. Kau buat tipu muslihat dengan mereka dan bawa ke lokasi yang ditetapkan," rancang ketua gangster sebelah ibu.

Apa-apa hal pun aku bersetuju. Tambahan pula memang hidup aku turut terlibat sama dengan kumpulan gangster Hawai ini. Pelan berjalan lancar. Budak kecil menjadi taruhan nyawa, yakni aku.

Aksi aku menjadi, dan berlaku pergaduhan besar di antara dua kumpulan gangster. Buat pertama kali dalam hidup, aku mendengar dan menyaksi pergaduhan hidup-mati. Kumpulan yang membelasah ibu memang dibelasah cukup-cukup. Ada juga kematian. Namun pihak polis gagal mengesan orang-orang yang terlibat. Tambahan pula apa polis kisah, suatu pergaduhan dua kumpulan gangster. Kes senyap sahaja.

Pada suatu malam di bulan Ogos 1983, ibu minum dan mabuk bersama dua orang Samoa. Aku tercium bahaya. Tetapi aku tidak berani berbuat apa-apa kerana badan kedua-dua lelaki itu besar. Berlalu malam sehingga dinihari, lantas aku terlena.

Akhirnya mayat ibu dijumpai di paya tidak berapa jauh dari rumah.

Aku tetap terasa kehilangan ibu. Walaupun perangai ibu kerap tidak baik, tapi dia sayangkan aku. Aku tahu itu. Namun di sebalik peristiwa sedih itu, ia memberi kekuatan kepada aku. Kekuatan untuk terus hidup dalam kepayahan yang dijangkakan.

Lebih kurang 20 jam kemudian di waktu pagi, aku mengayuh basikal menuju ke rumah rakan rapat ibu. Pihak polis masih lakukan penyiasatan di sekitar paya. Rakan ibu itu juga sedang disoal oleh polis. Sebaik melihat aku, dia bergerak memeluk aku.

"Abel, tak kisah jika kamu ingin menangis," dia memberi nasihat tatkala duduk di atas sebuah sofa.

Aku menyembam muka di pahanya, teresak-esak kecil, kemudian menangis. Ya, aku menangis buat pertama kali semenjak mayat ibu ditemui dan setelah polis bertanya aku macam-macam.

Untuk kali keduanya aku menangis mengenang ibu dan keadaan kematiannya ialah hampir lapan belas tahun kemudian, di waktu aku menulis kisah ini. Aku ulang, aku tetap sayangkan ibu aku.

Tatkala tangisan beransur menjadi esakan panjang beralas paha rakan ibu, dalam hati kecil aku, doa kepada Tuhan agar ibu tetap selamat di mana jua. Namun aku tertanya-tanya, "Di manakah ibu sekarang? Rohnya?"

Aku pernah mendengar semasa di California, orang hippie berbicara soal roh. Dia orang percaya akan roh itu ada, tapi budaya apa pula yang diamalkan?

Ketika aku mula menulis kisah ibu, baru aku melihat semula budaya itu. Budaya hippie berakar umbi daripada budaya "Beatnik" 1950-an yang menyebarkan ideologi-ideologi spiritual dan intellektual kepada masyarakat pada masa itu. Budaya itu diperjuangkan oleh kebanyakan remaja dan belia negara-negara Barat pada era itu, dan timbul disebabkan oleh pemberontakan politik, sosial, dan spiritual yang melanda Amerika Syarikat pada pertengahan hingga penghujung dekad 1960-an.

Budaya hippie mula hilang dari masyarakat umum pada 1970-an, setelah Perang Vietnam berakhir, diikuti oleh budaya disko dan punk di negara Barat. Namun, walaupun dianggap budaya lapuk, kepercayaan-kepercayaan hippie seperti seks bebas, hak-hak sivil individual, protes terhadap ketidakadilan, gaya hidup bebas dan alternatif, muzik rock dan fesyen-fesyen yang lebih bebas dan menarik mula berleluasa di seluruh dunia.

Hingga sekarang - di waktu aku menulis kisah ini - terutamanya di negara Barat, liberalisme yang bermula pada era hippie diterapkan ke dalam masyarakat umum. Justeru ramai yang memperingati perjuangan hippie untuk kebebasan sosial dan politik semasa zaman kegemilangan generasi hippie pada dekad 1960-an.

Ayah tidak dapat dihubungi, entah apa kisah pun aku tidak pasti. Namun ada seseorang cuba menghubungi pak cik aku di San Diego. Dapat! Jadi sehari kemudian, pak cik aku terbang ke Hawai. Beberapa hari berikutnya, ayah aku datang juga. Syukur! Jadi dapatlah aku habiskan masa beberapa hari bersama ayah.

Lega sedikit bersama ayah. Paling tidak pun aku belajar melupai tragedi malang yang menimpa ibu. Aku ingatkan ayah atau pak cik akan membawa aku pulang ke California atau San Diego, tapi sangkaan aku meleset. Aku ditinggalkan bersama rakan rapat ibu. Sebenarnya rakan ibu itulah yang berjaya memujuk hati aku agar belajar melupai apa yang terjadi.    

DI SEBALIK HIJABWhere stories live. Discover now