"Mana boleh beritahu. Tadi mama cakap adik bawah umur kan? Jadi, orang tua..." Najla tunjuk muka abahnya dengan ibu jari. Kemudian, beralih ke muka mamanya pula.

"Dan orang tua... pergi tanya anak dara yang dah besar panjang tu apa yang dia sorokkan daripada pengetahuan kita. Sebab kakak bukan jenis yang mudah jatuh cinta dan bukan jenis yang mudah nak suruh lelaki datang rumah. Dan, mama tak perasan ke Abang Riyad macam tiba-tiba aje muncul? Entah dari mana datangnya."

Encik Ahmad pandang isterinya. Mereka saling berpandangan seketika. Akal mereka cuba untuk memproses kata-kata Najla sebaik mungkin.

Encik Ahmad kebil-kebilkan matanya. Betul kata Najla. Hampir seratus peratus tepat. Nayla memang jenis yang susah jatuh cinta. Dan, kalau dah jatuh cinta dia akan setia selamanya.

Encik Ahmad dan isterinya melontar pandangan ke luar rumah. Mata mereka terus terpaku kepada Nayla yang masih berdiri di situ. Encik Ahmad garu-garu pipi kanannya.

Perbualan mereka tiga beranak buat tumpuannya pada drama di TV hilang bagai dipuput angin.

"BETUL ke tempat ni, bos? Macam tak ada apa-apa perkembangan aje..." Damu kerling bosnya di sebelah.

Dia menguap luas. Dah beratus kali dia menguap sepanjang lima jam terperap di dalam kereta bersama bosnya, Riyad. Damu tengok jam di pergelangan tangan. Pukul 3.00 pagi? Patutlah dia dah mengantuk tahap petala.

"Betullah ni, Damu. Datin tu cakap laki dia suka datang kelab ni. Kita tunggu ajelah," jawab Riyad, tenang.

Mereka sedang mengintip seseorang berstatus Dato'. Kes apa lagi kalau buka kes main kayu tiga? Biasalah, orang kaya yang ada segalanya. Dan, baru pagi tadi mereka dapat kerja itu. Datin itu cuma nak mereka ambil gambar sahaja sebagai bukti.

"Datin tu pun satu hal jugak. Dah tahu laki dia suka datang sini kenapa dia tak datang siasat sendiri aje? Tak payahlah kita jadi burung hantu kat sini," rungut Damu.

Tahulah orang kaya, tapi perlu ke nak upah orang siasat tentang kecurangan suami sendiri? Dia tak faham kenapa orang kaya suka sangat buka pekung di dada sendiri. Haisy! Damu mengeluh deras.

"Habis tu, orang yang buat bisnes macam kita ni nak buat kerja apa? Siapa yang nak beri kita duit kalau semua kerja dia orang buat sendiri? Kau nak makan pasir?" Suara Riyad sedikit keras.

Damu memang banyak cakap. Suka merungut! Macamlah itu kali pertama mereka buat kerja itu. Dah banyak kali kut.

"Tak adalah nak makan pasir, bos. Tapi, dah pukul 3.00 pagi ni. Saya mengantuklah." Damu menguap lagi.

Dia bersandar pada kerusi. Rokok dalam poket jaket dikeluarkan. Ubat nak hilangkan rasa kantuk yang semakin menyeksakan.

Damu hulurkan sebatang rokok kepada Riyad. Terus Riyad kepitkan ke mulutnya.

"Kau sabar sikit boleh tak? Lagi cepat kita dapat bukti yang Dato' tu curang, lagi cepat kita dapat duit. Kau tak nak duit ke?" Riyad hembus asap rokok yang disedut tadi. Segar semula matanya.

Dia pun mengantuk juga. Tapi, kalau dia pun macam Damu, macam mana kerja mereka nak selesai. Kena tahan cabaran!

"Siapa tak nak duit, bos. Mestilah saya nak!" Mata Damu bersinar-sinar bila sebut pasal duit.

"Tahu pun! Telefon kau bateri penuh, kan?"

"Beres bos. Saya dah caj penuh-penuh."

Riyad sekadar mengangguk. Kemudian, dia pandang pintu kelab malam yang tidak sunyi dengan pengunjung yang keluar dan masuk. Menunggu kemunculan Dato' Fuad dengan skandalnya.

Seketika kemudian, tumpuannya terganggu dengan bunyi telefon. Riyad ambil telefon pintarnya yang berada di dalam poket seluar. Riyad kerut-kerutkan keningnya melihat nama si pemanggil. Budak selekeh...

Riyad tekapkan telefon di telinga dan...

"Assalamualaikum. Hoi, gila! Kau buat apa pukul 3.00 pagi tak tidur-tidur lagi? Dah, pergi tidur. Esok kalau kau lambat, kau pergi ofis sendiri!"

Riyad terus putuskan talian tanpa mendengar suara si pemanggil. Huh, menyusahkan orang! Padan muka kena marah, getus Riyad dalam hati.

"Siapa tu, bos?" soal Damu.

Dia buat muka pelik. Tak faham kenapa Riyad perlu marah sampai macam itu sekali.

"Girlfriend aku," balas Riyad.

Nadanya mendatar. Macam orang tak ada perasaan.

Damu ketawa terbahak-bahak mendengar jawapan itu. Kelakar kut. Mana ada orang cakap dengan girlfriend garang macam itu. Kakaka...

"Tahulah girlfriend olok-olok aje, tapi cakaplah baik-baik, bos. Kesian Cik Nayla tu," kata Damu dalam ketawa yang masih bersisa.

Dia tahu siapa yang Riyad maksudkan. Sepanjang tiga tahun mengenali Riyad, dia tahu Riyad tak pernah ada teman wanita melainkan teman wanita olok-oloknya, Nayla. Mungkin sebab itu Riyad langsung tak reti nak layan kerenah orang perempuan.

"Eh, kau tak payah nak bercik-cik sangatlah. Kalau bukan kerana bayaran dia mahal, jangan harap aku nak jadi boyfriend dia. Dahlah gila, sewel. Lepas tu, cerewet macam mak nenek. Dia suruh aku potong rambut, kau tahu tak?" Riyad ketap bibir.

Geram bila teringatkan Nayla Tiana. Dan, dia rasa macam tumbuk muka Damu yang beria-ia mentertawakannya. Apa yang lawak sangat?

"Potong ajelah bos. Yang penting, duit tebal," provok Damu lagi. Sengaja.

Dia tahu Riyad sayang sangat dengan rambutnya. Kononnya, imej itu sesuai dengan pekerjaannya. Ceh, kenyataan tak boleh blah!

Riyad angkat tangan nak tumbuk muka Damu betul-betul.

Damu mengelak ke kiri dan ketika itulah dia terpandang kelibat seorang lelaki yang sedang berpeluk pinggang dengan seorang gadis muda. Mereka baru keluar dari kelab malam itu.

"Bos, bos! Tu..." Bibir Damu muncung ke arah Dato' Fuad yang riang bergelak ketawa dengan kekasih gelapnya.

Damu teguk liur melihat gadis itu. Fuh, seksi!

"Kau tak payahlah nak bernafsu sangat, sewel! Ambik gambar dia orang cepat!" Riyad tepuk kepala Damu yang ralit memandang skandal Dato' Fuad.

Damu angguk sambil tersengih. Telefonnya cepat-cepat dihalakan ke arah mereka. 

PLOT CINTA TAK JADIWhere stories live. Discover now