BAB 4

423 17 0
                                    

"SYARIKAT Sapu-Sapu Sdn Bhd. Semua kerja kami sapu asalkan bayarannya berbaloi." Ecah membaca kad yang dipegangnya untuk ke sekian kalinya.

Macam pelik saja nama syarikat itu.

"Nayla, kau yakin ke dia orang boleh ambik job kau ni?" Ecah rasa tak yakin langsung.

Pagi tadi, Nayla beritahu tentang pelannya yang mahu membalas balik apa yang dilakukan oleh Hezri terhadapnya. Tapi, masalahnya ialah calon yang dipilih oleh Nayla untuk menjayakan rancangan itu baginya tidak berkelayakan dan tidak meyakinkan. Zero!

"Aku yakinlah, Cah. Kau janganlah macam-macam pulak. Aku dah drive sampai depan pejabat dia orang ni tau." Nayla berpaling ke arah Ecah sekilas.

Kemudian, dia memerhatikan persekitaran kawasan itu. Tempat itu agak jauh dari jalan besar, tapi masih ada premis-premis penting seperti bank, pejabat-pejabat kecil, salun kecantikan dan pusat tuisyen. Dan mengikut alamat yang tertera dalam kad itu, Syarikat Sapu-Sapu Sdn Bhd terletak di tingkat dua bangunan itu.

"Tapi, kan beb, aku rasa macam pelan kau ni takkan menjadilah. Sekurang-kurangnya kau kena upah model ke, pelakon ke. Pelakon yang tak berapa meletup pun okey. Daripada kau pilih dia orang ni. Entah siapa-siapa entah," protes Ecah lagi.

Jujur, dia rasa rancangan gila Nayla akan jadi lebih gila.

"Weh, kau ni banyak cakaplah, Cah. Kau tengoklah apa yang tertulis tu. Dia orang sapu apa saja jenis kerja. Hah, aku yakinlah dia orang boleh. Kalau aku upah model atau pelakon, boleh bankrap aku tau? Kalau kau nak tahu bos syarikat ni memang muka model tau. Ada pakej."

Bulat mata Nayla merenung Ecah yang duduk di kerusi penumpang. Banyak cakap pula Ecah ni. Nayla masih ingat lagi raut wajah lelaki yang dipanggil bos itu. Mukanya agak serius, tapi kacak. Sebab itulah, tercernanya pelan itu sebelum dia melelapkan mata semalam.

"Huh, muka modellah sangat." Ecah juihkan bibir.

"Habis tu, kau datang sini pun kau kena bayar jugak. Alang-alang nak melabur baik kau pastikan pelan kau betul-betul akan menjadi, betul tak?"

Ecah masih mempertikai rancangan Nayla. Dia risau kalau rancangan Nayla tak menjadi. Buat rugi saja.

Nayla mengeluh perlahan sebelum merengus sebal. Dia merampas kad yang dipegang oleh Ecah.

"Buang masa aje aku bertengkar dengan kau tau. Aku takkan tarik balik rancangan aku, faham? Dah, aku nak keluar. Kalau kau tak nak ikut aku, kau tunggu aje dalam kereta."

Nayla capai beg tangan dan pintu kereta dibuka. Dia dah buat keputusan nekad. Ranita dan Hezri memang patut diajar. Dua hari lepas, dia terserempak dengan mereka berdua di kafe dan dia akan terus mengalami masalah itu selagi dia bekerja di situ. Sindiran dan perlian Ranita terngiang-ngiang di telinganya.

Kata Ranita, Hezri sudah buat satu pilihan yang tepat sebab lelaki macam Hezri cuma layak untuk perempuan sepertinya. Yang sempurna dan ada segala-galanya. Kata Ranita lagi, dia nampak sangat menyedihkan dan dia yakin takkan ada lelaki yang sukakannya. Isy, memang dasar mulut puaka! Nayla bukan tak nak membidas, tapi dia dah bosan. Dia dah malas nak bertengkar. Penat!

Hezri pula cuma diam. Langsung tidak bersuara seolah-olah mengiakan kata-kata berunsur penghinaan yang dilemparkan oleh Ranita. Walhal, ketika bercinta dulu mereka bahagia kut! Jadi, hari itu dia sanggup datang ke Syarikat Sapu-Sapu Sdn Bhd demi misi dan visinya. Dia nak buktikan masih ada lelaki yang sudi untuk mencintainya selain Hezri. Walaupun itu cuma satu penipuan. Tapi, ada dia kisah? Bukannya mangkuk dua orang itu tahu pun. Yang penting, dia nak tunjukkan kepada mereka yang dia juga masih laku keras macam pisang goreng cheese.

PLOT CINTA TAK JADIWhere stories live. Discover now