BAB 8

283 15 0
                                    

NAYLA melangkah laju-laju menuju ke arah lif. Sambil itu, mulutnya terherot-herot menyumpah Riyad. Jahat! Gila! Miring! Dia pun tak faham macam mana dia boleh terfikir nak wujudkan perjanjian itu dengan Riyad.

Pintu lif terbuka dan dia cepat-cepat meloloskan diri. Dia tekan nombor 15 dan ketika itulah dia nampak sesuatu di wajahnya melalui dinding lif. Erk!

Nayla terpuntang. Dia nampak ada garis berwarna hitam dari ekor mata sampai pelipis kanannya. Terus dia ketap bibir. Itu mesti gara-gara brek mengejut Riyad tadi. Patutlah beria-ia sangat Riyad ketawa tadi. Nampak tak perangai kurang adabnya? Cis!

Nayla mencari tisu di dalam beg tangan. Mahu cepat-cepat hilangkan celak itu. Dan, waktu itu jugalah ada dua orang manusia masuk ke dalam lif. Dan, dua orang itu adalah makhluk yang tak ingin dia jumpa.

Siapa lagi kalau bukan Hezri dan Ranita. Huwargh!

Nayla tutup dahi sebelah kanannya dengan tapak tangan. Tak sempat nak buat apa-apa.

"Hai, Nayla." Ranita menegurnya.

Nayla cuma sengih nampak gigi. Jujur sengihannya nampak dibuat-buat. Tak ikhlas, okey! Haruslah begitu.

Sempat pula dia melirik ke lengan Ranita yang memaut lengan Hezri erat. Ceh, macamlah ada orang nak bawa kekasihnya lari. Nayla mencemik tanpa sedar.

"You sihat ke?" Hezri pula menyoal.

Lemak merdu suaranya macam selalu. Dia pandang Nayla yang beria-ia menutup dahinya. Serta-merta kening Hezri bertaut.

"Kalau tak sihat takkanlah I boleh terpacak kat sini. Dah tentulah I terbongkang kat hospital. Dan, kalau dah terpacak kat depan mata you, dah sah-sahlah I sihat lagi. You tak payahlah risau sangat. Doktor cakap I sihat untuk 50 tahun lagi sebab hati I tak busuk macam hati orang lain," jawab Nayla, sarkastik.

Mohon terasa!

Dia jeling Ranita berdas-das. Geram plus menyampah! Geram sebab Ranita merampas Hezri daripadanya dan tanpa segan silu pula menunjuk-nunjuk di depannya. Kalaulah membunuh orang itu tak menyalahi undang-undang, dia dah gilis mereka dengan lori Indah Water.

Ranita ketawa mendengar sindiran Nayla. Dia tak bodoh. Jadi, dia cuma berlagak tenang walaupun hatinya terbakar dengan perlian itu. Masih tak boleh terima kenyataan rupanya.

"You tak sihat ke?" Hezri nampak macam tak terkesan dengan sindiran Nayla.

Dia agak risau melihat Nayla asyik memegang dahinya. Tak sihat ke?

Nayla sekadar mendengus. Malas nak layan!

"You, semalam Cindy call I. Dia tanya bila kita nak pergi fitting baju untuk majlis kahwin kita. Dia beritahu yang dia tak sabar nak tunjuk design baju pengantin tu pada kita," kata Ranita tiba-tiba.

Dan tujuannya cuma satu. Mahu Nayla dengar dengan jelas dan mahu Nayla tahu yang Hezri adalah miliknya yang mutlak.

Nayla tersentak. Dia boleh dengar dengan jelas setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Ranita. Tak ada satu pun yang terlepas. Siapa kata dia tak sentap? Luluh jiwanya, tapi dia sedaya upaya berlagak setenang yang mampu.

"Nita, kita boleh bincang hal ni lain kali, kan?" Hezri menoleh ke arah gadis yang sudah hampir sebulan menjadi tunangnya.

Bukan apa, dia tak mahu Nayla tersinggung. Tak sesuai kut nak bincang hal peribadi di depan Nayla. Nayla pernah jadi insan istimewa dalam hidupnya. Ada rasa tak senang dalam hatinya setiap kali melihat wajah sugul Nayla.

"Kenapa pulak? You dah ludah takkan you nak jilat balik?" Ranita buat muncung itik.

Muka tak puas hati sebab dia boleh nampak Hezri masih ambil berat tentang Nayla. Dia cemburu!

PLOT CINTA TAK JADIWhere stories live. Discover now