BAB 1

925 19 0
                                    

2015

SUASANA di rumah agam empat tingkat itu riuh-rendah apabila semua tetamu bertepuk tangan mendengar pengumuman tuan rumah tentang majlis pertunangan anak gadisnya pada minggu hadapan.

Serentak itu juga, kelihatan anak gadisnya yang anggun mengenakan kebaya Indonesia berona merah muda beriringan dengan jejaka pilihan hatinya bangun dan menyertai Dato' Rahim dan isterinya di hadapan.

Semakin gamat tepukan daripada tetamu yang menghadiri majlis hari lahir Ranita pada malam itu.

Apa yang jelas, riak bahagia sedang melata di wajah gadis itu. Apatah lagi jejaka idamannya juga turut berada di sisinya.

Nun jauh di satu sudut yang agak gelap, kelihatan seorang gadis lewat 20-an sedang duduk sambil berpeluk tubuh. Kakinya bersilang dan matanya difokuskan tepat ke arah Ranita dan Hezri. Senyuman mereka berdua ibarat pisau yang mencarik-carikkan setiap inci hatinya. Terus emosinya menggila, memberontak dan mengganas.

Nayla Tiana meneguk air oren di dalam gelas dengan sekali teguk sahaja. Tangannya terketar-ketar memegang gelas itu. Perasaan yang bercampur aduk dalam hatinya buat dadanya rasa ketat dan sendat.

Nayla bangun, menapak perlahan-lahan menuju ke arah Hezri dan Ranita yang sedang meraikan detik bahagia mereka. Cermin mata bingkai bulat dan besarnya dibetulkan. Nayla tepuk tangan sebaik sahaja dia berdiri tidak jauh daripada pasangan itu. Sambil itu, dia tayang muka mengejek.

Tindakan itu buat Ranita dan Hezri tersentak. Mereka saling berpandangan dan masing-masing tahu perkara yang sedang mereka fikirkan. Bagaimana Nayla boleh berada dalam majlis itu? Tiada sesiapa yang menjemputnya datang.

Nayla tahu mereka akan bereaksi begitu. Muka pucat mereka buat Nayla tersenyum senget. Tahu takut! Huh.

Mata Nayla dan mata Hezri bertentangan dan...

"Kau lelaki bodoh, penipu!" jerit Nayla sekuat hatinya.

Gema suaranya yang nyaring itu buat semua tetamu diam membisu. Pandangan mereka tertumpu ke arahnya. Nayla tak peduli! Apa nak jadi pun jadilah. Yang penting, dia nak Hezri tahu apa yang dia rasa.

"Haram ja..." Nayla tidak habiskan perkataan itu.

Dia menutup mulutnya dengan jari telunjuk dan jari hantu. Hisy, tak boleh berbahasa kesat di majlis orang. Nanti kena kecam.

"Dan kau... perempuan paling hina yang pernah aku kenal!" Kali ini, pandangannya tajam merenung Ranita.

Dia tidak rasa bersalah langsung. Memang Ranita berhak dihina begitu. Padan muka!

Hezri mendekati Nayla. "Nayla, please behave. Ini majlis kita orang. Tolong jangan rosakkan..."

"Rosakkan apa, hah?" Nayla menengking lantang.

Tengkingan itu buat Hezri mendecit perlahan. Rahangnya dilaga-lagakan sambil matanya liar memerhatikan reaksi tetamu yang sudah mula bergosip sesama sendiri. Hezri meraup muka dengan tapak tangan.

"Kau sakit hati?" sindir Nayla lagi.

"Habis tu, pernah tak dalam hidup kau terfikir betapa sakitnya hati aku bila kau..." Nayla terjeda seketika. Nafasnya dihela dalam-dalam dan dihembus kasar.

"Bila kau tipu aku macam orang bodoh? Kau buat aku macam aku tak ada perasaan, kau tahu tak?"

Hezri diam tidak terkutik. Kelu lidahnya untuk membidas kata-kata Nayla. Dia pandang Ranita. Gadis itu cuma buat muka menyampah. Tak suka dengan kehadiran Nayla di majlis mereka.

"Ranita Binti Dato' Rahim, kenapalah aku bodoh sangat percayakan manusia macam kau ni." Nayla buat-buat ketawa.

"Aku rasa kan, kawan yang makan kawan macam kau ni patut dicekik sampai mati dan lelaki yang tak reti nak setia macam kau patut dilanggar dengan lori tahi. Biar mati katak!"

Nayla tarik nafas lagi. Tercungap-cungap dek teriakan kuasa kudanya tadi. Saat itu, suasana senyap lagi sepi. Kata-katanya tadi buat semua orang terkebil-kebil. Ah, biarlah! Memang Hezri dengan Ranita layak dilempar ke dalam lombong tahi.

Hezri rasa lain macam apabila pandangan Dato' Rahim dan Datin Laili mencerun ke arahnya. Tanda tidak suka dengan amukan Nayla. Cepat-cepat Hezri memegang lengan Nayla.

Tapi, sepantas kilat Nayla menepis. Kasar!

"Don't touch me, idiot!"

"Nayla, kawal diri you. You tak malu ke buat macam ni?"

Hezri masih cuba memegang bahu Nayla, tapi gadis itu menghalang. Maka, berlakulah pergelutan antara mereka.

"I said let go of my hand and don't you dare touching me... again!" Nayla menjerit lagi dan serentak itu...

Pang! Satu tamparan hinggap di pipi tanpa sengaja. Nayla ternganga. Dia menutup mulut dengan tapak tangan.

Suasana sepi lagi. Tiada sesiapa bersuara. Mungkin semua orang tidak menjangkakan adegan tamparan itu akan berlaku.

"Hezri, you okey ke?" Ranita cepat-cepat mendapatkan Hezri yang tertunduk dek tamparan itu.

Kalut dia membelek pipi kanan Hezri. Memang jelas ada kesan tapak tangan. Merah!

"Nayla, apa yang kau buat ni? Apa yang kau nak buktikan? Aku tak jemput kau datang dan aku nak kau keluar dari rumah aku sekarang jugak." Ranita bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.

Ini soal maruah. Nayla dah melampau. Ranita tak rasa apa yang berlaku antara mereka bertiga adalah kesalahannya. Nayla yang tak reti jaga kekasih sendiri. Sebab itu Hezri jatuh dalam genggamannya.

Nayla tarik nafas lagi. Dalam-dalam dan dihembuskan perlahan. Mahu menenangkan hatinya yang semakin membengkak. Melihat Ranita yang beria-ia mengusap pipi Hezri buat dia rasa meluat.

"Okey, aku minta maaf sebab aku tertampar bakal tunang merangkap bekas teman lelaki aku yang kau rampas diam-diam. Tapi, aku ada satu soalan untuk kau, Nita. Apa yang patut aku buat bila kawan yang aku percaya tiba-tiba nak bertunang dengan teman lelaki yang sudah lima tahun bercinta dengan aku? Ketawa? Menangis? Atau... kau nak aku bunuh diri? Kau tahu pasal aku dengan Hezri, tapi kau..."

Nayla tidak meneruskan kata-katanya. Dia rasa sakit hati. Sakit mahu mengakui bahawa cintanya dikhianati oleh dua manusia yang paling dia percaya dan sayang.

"Nayla, I minta maaf. I dah lama nak beritahu you pasal hubungan I dengan Nita, tapi I tak sanggup nak lukakan hati you," luah Hezri perlahan.

Redup matanya merenung Nayla, memohon supaya gadis itu faham tentang situasinya. Dia tidak berniat mahu menipu Nayla. Tapi, soal hati tidak boleh dipaksa-paksa.

Dah lama? Nayla tak sanggup nak dengar apa-apa lagi. Setiap perkataan yang meluncur dari mulut Hezri dan Ranita macam bom atom yang menghancurkan hatinya. Perkataan 'dah lama' itu buat dia sedar yang mereka berdua sudah lama menyulam cinta dan sudah lama mereka menikam belakangnya.

Kenapalah dia tidak perasan? Bodohnya dia! Dia dapat tahu tentang majlis itu pun daripada Ecah, kawan sepejabatnya.

Nayla tersentak apabila bahunya disauk oleh dua orang lelaki. Seorang di sebelah kiri dan seorang di sebelah kanan. Nayla terpinga-pinga dengan tindakan mereka.

"Sila keluar dari sini dan ini arahan Dato'." Salah seorang daripada mereka memberikan arahan.

"Lepaslah!" Nayla meronta-ronta mahu melepaskan diri.

Tapi, apalah sangat kudratnya. Sekelip mata sahaja tubuhnya diangkat untuk dibawa keluar. Nayla menjerit sambil menyumpah Hezri dan Ranita semahu-mahunya.

"Kau orang takkan bahagia. Kalau kau orang kahwin pun kau orang takkan dapat anak. Hezri, aku doakan kau mati pucuk!" 

PLOT CINTA TAK JADIWhere stories live. Discover now