Pengemis Berdoa

24 1 0
                                    

"Cik Kitt oi, buat apa tu?" Sedari tadi dia perhatikan sahaja gerak geri Kitt. Entah apa yang dilihatnya pun tidak tahu. Nampak gayanya, kaki lima ini syurga mereka untuk hari ini. Dapat juga dialaskan perut untuk sehari dua.

"Eh, ada rupanya Cik Yam kita ni. Ingatkan sudah pindah. Biasa lah Yam, kita ini hidup merempat. Cari makan pun kena minta belas ihsan dari yang lain." Sisa temulang yang dibuang oleh makhluk dua kaki di tepi jalan itu disambarnya cepat-cepat. Kalau tidak mesti melepas nanti.

"Eh awak ni tanya kita, yang awak tu buat apa dekat sini?" soal Kitt.

"Ada lagi ni ha, puji-pujian untuk Tuhan aku tidak mati lagi. Baru terlepas daripada kurungan. Ya lah apa boleh buat, kita ini tidak ada akal kan Kitt, yang ada akal itu buat kita ini macam makhluk buangan saja lah. Nak komplen bukan mereka faham bahasa kita." Malas mereka berlawan dengan makhluk berakal ini. Mesti akan kalah. Sebab? Apalagi kalau bukan sebab banyak tipu helah. Bedebah!

"Saya pun lapar juga Kitt. Bila sudah tersesat dalam bandar ini mana hendak dijumpa kegemaran saya. Semua lantai bersimen, bertar. Tanah sekangkang kera pun susah nak jumpa." Sejak terlepas daripada kurungan dan berada di sini, mata Yam sudah berpinar. Ditambah bahang mentari yang menegak atas kepala sekarang. Berapa lama dia melilau mencari satu dua lauk tapi langsung tidak terjengah. Bukan kata makanan, tanah pun tidak kelihatan.

"Apa boleh buat Cik Yam. Syukur darjat kita Tuhan angkat. Syurga terjamin untuk kita. Biarlah kita sakit sekarang ini, jangan sakit kemudian hari." Bukannya tidak faham apa yang Yam katakan itu. Dia juga alami yang sama. Baru sahaja dua minggu lepas dia kehilangan anak sulungnya dek dibuat mainan baling-baling makhluk dua kaki itu. Nak dikata tidak bertamadun, hidupnya dalam ibu kota. Tetapi bodohnya serupa hidup dalam hutan belantara. Jakun! Entah dari tamadun mana pun tidak tahu lah.

"Eh, alang-alang awak ada ini, jom lah kita makan sama-sama. Hari ini nampaknya rezeki kita melimpah di kaki lima." ajak Kitt kepada Yam. Lega. Gerai

kecil nasi berlauk si Seman buka hari ini. Pelanggan pun banyak. Dapat nasi, ikan dan air kosong pun jadilah.

Hidup kita ini kadang-kadang todak akan dapat puaskan hati semua. Sedang yang berakal pun terkadang jadi bodoh. Apalagi yang cuma dihantar Tuhan buat penyeri alam fana. Yang beria-ia ingin jadi khalifah makin lupa daratan, yang takut tidak mampu jadi khalifah terbaik akhirnya dipergunakan. Ya, tidak semua. Memang tidak semuanya begitu. Tetapi, kerana yang berakal ada juga yang masih letaknya di lutut, maka yang tidak berakal jugalah jadi mangsanya. Dunia.. dunia..

Sekarang ini, kalau yang lemah memang akan teruslah kekal lemah. Tetapi kalau yang mewah sibuk mengampu untuk terus bermewah. Lagi rugi kalau hidup mewah akal masih letak di lutut. Khalifah konon, bumi yang dipinjamkan ini pun tidak pandai dijaga. Inilah jadinya bila mana darjat dirasakan terlalu mulia sampaikan alam yang patut dikongsi dibuat macam harta sendiri.

*****

"Hei, syuh syuhhh! Aku dah kata jangan cari makan dekat sini. Jangan ganggu pelanggan aku lah, sial! Aku katuk jugak seekor-seekor nanti." Terkejut dijerkah terus lintang pukang Kitt dan Yam lari. Tapi tidak pergi jauh. Mereka tahu Tuhan sudah bukakan rezeki untuk mereka di situ hari ini.

"Bang, sudahlah. Saya yang panggil depa ni. Kasihan tengok dari tadi asyik legar-legar cari makan."

"Ah! Dik, lain kali kalau nak makan dekat sini jangan jadi baik hati sangat. Bedebah ni bukan boleh diajar. Otak ada, akal tak ada. Tiap-tiap hari menyusahkan abang. Ni kejap lagi ada lah tu dua tiga ketul tahi dia lepaskan. Adik nak makan, adik makan saja. Jangan bagi pada dua ekor tu makan. Habis lari pelanggan abang. Busuk gerai ini nanti." Terus seekor-seekor dihambatnya lagi. Kali ini dengan sudip kuali dari dapur pula.

"Meow meow meoww" Yam mengekor dibelakang Kitt.

"Sabarlah ya, sayang. Sini, teman adik makan. Kesian adik makan sorang-sorang hari ini.". Dipanggilnya semula Kitt dan Yam. Dia tahu mereka cuma menyorok sahaja, bukannya lari dari situ.

"Sedangkan gelandangan yang sebangsa kami pun diusir apatah lagi hampa ni. Kalaulah aku boleh bawa hampa balik, aku tak lalu lihat hampa dok bersusah-susah lagu ni. Tiap-tiap hari kena tahan maki begini lagi dan lagi. Hampa ni mulia, Tuhan dah janji syurga. Tapi apa boleh buat, kondo aku tak bagi bawa masuk makhluk macam hampa ni." Ditabur sedikit butir-butir nasi lebihan untuk Yam dan tulang ikan untuk Kitt.

"Tak apa, hampa dua tunggu ja tang sini. Aku akan datang tiap-tiap hari. Pukul lima petang hampa tunggu aku tang sini na? Boleh hampa dua teman aku makan lagi. Persetankan kata-kata abang tu. Mungkin dia buta siapa hat yang tiap hari tiap masa doakan untuk dia. Janji tau, tiap-tiap hari pukul lima. Aku tunggu hampa dua tang sini."

*****

"Kitt, aku bukannya benci mereka. Aku cuma sakit hati. Buat kaum kita ini macam kami bukan penghuni bumi. Kau pun rasa juga kan? Kenapalah tak ramai yang macam adik ni?"

"Aku faham, Yam. Aku pun sama. Mentang-mentang mereka khalifah, kita ini dibuat macam abdi."

"Semoga Tuhan merahmatimu, dik. Semoga kaummu bisa buka mata, dunia ini bukan milik kaummu sahaja. Semoga Tuhan pelihara kamu daripada sifat bongkak dan sombong dengan keistimewaan dunia ini. Aminnn.." Mereka berdoa sama-sama. Semoga esok akan ada ramai lagi yang seperti adik ini.

*****

"Aminnn.. Okay sayang, adik dah habis makan dah. Esok kita jumpa lagi naa? Janji dengan adik tau. Semoga Tuhan pelihara hidup hampa dari bajingan yang selalu rasakan darjat mereka sudah cukup agung. Doakan untuk adik juga ya, terima kasih! Esok kita jumpa lagi, sejahtera." Terus sosok tubuh itu beredar.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 31, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Himpunan Cerita-cerita PendekWhere stories live. Discover now