Api

130 3 0
                                    

"Haih, sampai bila bahang panas ni akan kekal? Aku dah tak boleh tahan dah. Dah dekat sebulan dah cuaca panas macam ni. Kau tengok ni Meran, habis gugur rambut-rambut dibuatnya." Jat lambai-lambaikan dahannya yang makin penuh dengan dedaun kering.

"Nak buat macam mana Jat, memang tiap-tiap tahun bila masuk saja bulan Julai panas dia lain macam. Bukan kau saja yang rasa."

Saling berpandangan sesama mereka. Masing-masing setuju dengan apa yang diluah. Makin hari tanah makin kering, mula tunjuk tanda-tanda rekah. Walaupun angin sendalu sering menyapa, masih lagi belum cukup meredakan bahang matahari yang tak bisa dihalang.

"Aku bukan apa, kita ni dah tua memang lah boleh tahan. Kita tahu apa nak dibuat bila jadi keadaan macam ni. Masalahnya aku kesian dekat pewaris-pewaris kita. Baru saja nak mula pasakkan kaki dah tumbang. Pengsan. Sampaikan ada yang mati lagi." Mata terisi dengan kesayuan melihat anak-anak pokok yang baru separuh jalan terpaksa rebah lebih awal. Tanah-tanah yang kering dan merekah buatkan mereka tak mampu mencengkam dengan baik.

"Apa lah agaknya nasib tempat ini suatu hari nanti. Makin lama makin kurang penghuninya. Aku rasa kita berdua lah yang paling tua sekarang dalam kelompok ini." Jat hanya mampu mengeluh. Nak tolong pun kudrat sudah tak sama seperti dahulu. Sekarang semua sudah panggil dia Tok Meran. Macam itu jugalah nasib Jat. Dua taiko tua yang masih mampu bertahan.

"Kadang-kadang aku sendiri tak faham kenapa perlu ada musim itu, musim ini. Menyusahkan! Dan aku paling tak faham kenapa perlu ada kemarau? Aku berzikir, meratib tiap-tiap hari kat Tuhan, ini yang dia balas pada kita." Meran pegang bahu Jat, mengoncang sekuat-kuat hatinya.

"Hoi, tolol! Yang kau goncang-goncang aku kenapa? Aku bukan tuhan! Kau nampak kepala aku ni. Kau rasa Tuhan tu macam aku ke? Botak tengah macam ni sampai aku kau goncang-goncang. Sakit tahu!" Biarpun sedari tadi Meran hanya buka telinga mendengar dan melayan keluhan rakannya itu, tapi kali ini dia mula rimas.

"Hahaha! Ampunkan patik Tok Jat. Patik tidak sengaja buat begitu sampai habis gugur rambut Tok tu."

"Jangan menyusahkan aku. Kita sudah lah susah, jangan nak tambahkan masalah pulak. Kalau aku mati tadi macam mana? Kau tu bukannya pandai nak jaga budak-budak kita. Cuma tahu nak buli saja." Sesekali perlakuan Jat menaikkan angin Meran. Walaupun sudah beberapa kali ditegur tetap saja sama perangainya.

Mereka kembali senyap, berpandangan satu sama lain. Inilah kehidupan mereka sekarang. Makin hari makin suram tanpa ada pewaris-pewaris yang dapat hidup lama. Kemarau ini sememangnya buatkan mereka terasa keperitannya.

Kali ini angin bertiup lebih kuat. Habis semua dedaun kering disapunya.

"Aku rindu nak mandi bersama-sama. Aku rindu nak lihat air hujan jatuh jadi embun. Dah nak dekat sebulan tak mandi rasa melekit-lekit satu badan. Tak selesa lah Meran." Kulit-kulit pokok nampak terlalu kering. Pedih melayan sinaran matahari yang membahang. "Aku tahu kita sudah tua, tapi apa salahnya kan aku mahu bergaya? Tapi kalau melekit-lekit macam ni nak bergaya pun jadi malu."

"Ya aku faham. Aku pun sama macam kau. Tapi nak buat macam mana lagi? Ini Tuhan yang tentukan. Kun Fa Yakun! Kita cuma mampu berdoa saja Jat."

"Ah, berdoa konon! Aku sudah tiap-tiap hari berdoa minta diturunkan hujan. Tidak juga turun-turun. Tiap kali selepas meratib aku akan berdoa semoga kita akan panjang umur dan dimurahkan rezeki, kau tahu?" Jat tinggikan suaranya. Tersentak anak-anak pokok yang lain dalam resah bahang panas yang entah bila akan berakhir. Semua mata tertumpu pada mereka. Walaupun matahari sudah jatuh separa dari bumi. Namun, bahangnya tak pernah susut walau seinci. Sama juga dengan suaranya Jat. Sudah makin meninggi.

"Ya, aku tahu. Bukannya aku tak nampak. Setiap hari kau berdoa kuat-kuat seolah mahu menunjuk. Aku rasa sebab itu tak makbul doa kau tu. Bongkak!" Meran sendiri sudah naik lemas, sudah masak dengan perangai Jat. Kalau tak menunjuk bukan Jat namanya.

"Astaghfirullah!"

Angin kencang menerpa membawa bau asap dari seberang. Penglihatan mereka sudah semakin kabur. Anak-anak pokok mula ketakutan.

"Jaaaaat!" terbeliak.

"Meraaan, api!"

Himpunan Cerita-cerita PendekWhere stories live. Discover now