Lelaki itu membetulkan cap Adidas sebelum sambung berjalan. Jam di pergelangan dikelih. Hampir pukul 3 petang. Ini bermakna, hampir 3 jam dia mengikuti jejak langkah sasarannya. Butir-butir peluh kian membasahi lantai dahinya, lalu dilapkan kering menggunakan tisu kecil. Diraupnya tisu itu ke belakang telinga dan di celah-celah dagu dan leher tanpa disedari sasarannya menghilang dengan sebuah kenderaan saat dia berperang dengan mandian peluh tadi.

'Celaka! Ptuiih!' Bentak beliau. Sekumur liur diludah ke bumi. Lelaki itu kemudiannya duduk menyandar di sebatang pokok hiasan yang ditanam oleh pihak Majlis. Cap Adidas ditanggal lalu disarungkan ke lutut. Rambungnya yang sedikit kerinting dilurut ke belakang, menumpahkan butir-butir peluh halus bercampur bintik-bintik kelumumur luruh memutih bagaikan salji.

Direnungkan nasibnya sendiri. Beliau sebenarnya telah tekad untuk tutup kedai, berhenti menjadi P.I dan pulang ke kampung mengusahakan tanaman lada tinggalan arwah bapanya. Tambahan pula, Lydia anak Penghulu Mail sudah acapkali merungut tentang tahap keseriusan beliau untuk masuk meminang. Namun tawaran yang bukan kecil-kecil anak yang diterimanya 3 hari lalu membuatkan nekad membulatnya kembali kempis.

**********

'Adam & Co. P.I Agency right? And U umm Adam?' Tegur wanita itu. Adam memerhati sosok di hadapannya. Anggaran umur 30-an. Ada class tersendiri. Tas tangan Birkin bewarna merah jambu erat dipegang. Kaca mata hitam besar yang tidak diketahui olehnya jenama apa rapat melekat atas rongga hidung wanita tersebut.

'HELLO. MR. ADAM RIGHT?'

Adam terkesima. 'Err.. yes ma'am. I'm Adam. And welcome to my office. It's a pleasure to help u,' Adam berbasa-basi.

Wanita itu memandang sekeliling agensi itu. Kelihatan agak usang dengan satu set sofa fake leather lama yang telah kusam, terkoyak pada bahagian penyandar kepala, dipadankan pula dengan sebuah televisyen kecil, yang hanya sesuai diletak di rumah kongsi buruh binaan Indonesia.

'I don't know jika kawan I tu menipu atau tersilap info tentang reputasi U, tapi kalau I tengok tempat u macam sarang penagihan macam ni, I tak yakin dengan U. Serius,' tegas wanita itu. 'Oh, by the way, call me Datin Maziah, and i'm not your ma'am.'

Adam terasa terpukul dengan sindiran Datin Maziah yang menggigit-gigit halus cuping telinganya. Dia mengeluarkan sebuah buku testimoni yang dibuat khas untuk meyakinkan setiap kliennya. 15 kes. 13 kes berjaya diselesaikan. 1 kes gagal. 1 kes lagi tidak dapat diteruskan kerana kliennya menolak untuk beliau meneruskan siasatan. Dengan kebergantungan penuh beliau terhadap buku testimoni,  Adam sebenarnya silap kerana lokek untuk setidaknya mengupah seorang interior designer untuk dekorasi agensinya itu, sekurang-kurangnya untuk menimbulkan perasaan kagum, sekaligus meningkatkan reputasinya.

Datin Maziah membelek helaian demi helaian buku tersebut. Hampir semua kes berkaitan dengan perasaan cemburu dalam rumahtangga, sama seperti beliau.

'Ok. Quite impressive untuk seorang P.I or kutu berahak like U. How much is your cost, Adam?' sekali lagi Datin Maziah menghamburkan kata-kata cacian terhadap Adam. Merah padam muka Adam.

'I don't really know, Datin. Minggu lepas ada klien bayar RM20k jerrr sebab tak mampu bayar I lebih,' saja dia menekankan perkataan 'jerrr' dengan niat untuk menyakiti hati Datin Maziah. Mana mungkin P.I cabuk sepertinya memperoleh bayaran sebanyak itu. Paling banyak beliau peroleh hanyalah RM8000. Itupun beliau rasa gembira seolah dapat masuk surga tanpa hisab.

Datin Maziah mendengus. Birkinnya dibuka, dan sepucuk sampul coklat yang kelihatan gemuk berisi dikeluarkan.

'I'm gonna pay U RM30k as long as U can solve masalah I dalam masa err... lets say 2 minggu. Dalam sampul ni ada RM15k. Pendahuluan. Separuh lagi I bayar once kerja U selesai,'

Adam tersenyum simpul. Umpannya mengena. Wajah Lydia bermain-main di mata.

*********

Dan sudah 3 hari berlalu. Adam merengus sendirian. Sasarannya sangat licik, seolah-olah mengetahui yang dirinya sedang diekori. Apa yang lebih menyedihkan, maklumat yang diberi oleh Datin Maziah berhubung maklumat suaminya sangatlah terhad.

Adam menyeluk poket belakang seluar jeansnya. Buku 555 berwarna hijau dikeluarkan. Maklumat tentang sasarannya diteliti.

Nama : Dato' Adri Gabriel Abdullah.

Umur : 34 tahun.

Pekerjaan : Ahli perniagaan.

Terselit di buku 555 itu ialah sekeping gambar berukuran pasport memaparkan wajah Dato Adri. Adam menyimpan kembali buku kecil itu sebelum melangkah mencari surau berdekatan untuk menunaikan fardhu Zohor yang kian menginjak usia.

SasaranWhere stories live. Discover now