"Tak sabar pulak nak tengok muka Tun. Mesti dia tak pernah jangka semua ni akan berlaku kat dia. Dahlah sarat mengandung, lepas tu kena culik pula. Memang malanglah nasib dia sebab berkahwin dengan Rul."

"Sesuailah dengan muka dia. I nak tengok macam mana reaksi Fazrul lepas dapat tahu bini kesayangan dia kena culik. Tak senang duduk agaknya dia nanti. I nak dia rasa menyesal sebab buang I. Apa yang I rasa ni memang sakit sangat. I tak akan maafkan dia dengan mudah. Perbuatan dia memang melampau."

"Rilekslah. You tengok I ni, tenang aje. Kalau nak ikutkan, I lagi terseksa tau sebab adik I mati angkara Rul tak guna tu. Sampai sekarang pun I akan ingat kejadian tu. Susah nak buang. Dendam I masih menebal sampai ke hari ni."

Rizal memasang tekad. Segala rancangannya selama ini, perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Andai kata dia dimasukkan ke dalam penjara sekalipun, dia tak peduli. Asalkan semua dendamnya pada Tengku Fazrul Shah terlaksana seperti yang dirancang. Hutang nyawa harus dibayar dengan nyawa juga.

"I tak boleh nak sabar, Zal. Sakit sangat hati I apabila Fazrul buat I macam ni. I pun ada perasaan juga walaupun I tak pernah sayangkan dia."

"Nak buat macam mana. Memang tu pilihan dia. Mesti dia akan agung-agungkan perempuan berlagak suci macam Tun tu. Meluat I tengok."

"You rasa Tun terima dia tak?"

"Entahlah. I pun dah lama tak jumpa Rul."

"Rasanya, dah terimalah tu. Sukalah dia sebab Fazrul tak jadi kahwin dengan I. Nanti kalau dia dah ada kat depan mata I, I nak ludah muka dia. You tengoklah apa I nak buat kat pompuan tu. Tunggu aje." Nauri mengetap gigi geram.

Rizal hanya tersengih memandang muka kelat Nauri. Dia tahu wanita itu berdendam dengan Fazliatun. Masing-masing punya misi yang sama.



TANGANNYA lincah saja membuka kabinet dapur. Apabila terpandang whiskas yang tinggal sedikit itu, dia mengeluh panjang.

"Alahai, dah nak habislah pulak. Kesian Koreng nak makan. Lupa pula nak kirim kat ayah semalam."

Fazliatun masih berdiri tegak di ruang dapur. Koreng yang masih mengiau itu dipandang lagi. Serba salah dia jadinya. Dalam keadaan sekarang ini, tak larat sungguh dia nak pergi ke kedai. Khuatir juga jika terjatuh atau tergelincir. Kalau dia tak berbadan dua, dia tak kisah sangat.

Apabila memandang muka Koreng, kasihan pula dia. Nampaknya, terpaksa jugalah dia turun untuk membeli whiskas.

"Jalan pelan-pelan ajelah. Janji sampai. Kau tunggu aku, ya! Kejap lagi aku bagi kau makan."

Fazliatun mencapai tudung di dalam bilik. Selepas Tengku Marzuki pulang selepas zohor tadi, dia terlelap pula sampailah ke waktu ini. Saat itu baru menginjak ke pukul 3.40 petang. Segera dia mengatur gerak dan mengunci rumah. Setelah itu, dia keluar lalu menuju ke pintu lif.

Sampai saja di bawah flat, dia melangkah perlahan-lahan ke kedai runcit yang

terletak di seberang jalan. Ketika sedang menunggu di simpang jalan, tiba-tiba datang sebuah van putih dari arah barat. Van itu berhenti betul-betul di hadapannya. Terkejut dia. Beberapa saat kemudian, pintu van dibuka dari dalam.

"Maaf dik, boleh abang tumpang tanya?" soal Darus lembut.

"Boleh."

"Adik tahu tak kat mana Pasar Raya Ong Tai Kim? Tak dapat pulak kami cari dari tadi."

"Oh, kat depan jalan raya sana tu. Jauhlah juga. Saya nak tunjuk pun susah. Cuba abang cari aje. Tak pun tanya dengan orang kat sana tu. Saya nak pergi kedai runcit dulu ni. Maaf, ya!"

"Nanti dulu, dik!"

"Kenapa, bang?"

"Adik tolonglah kami. Tunjukkan kat mana pasar raya tu. Boleh tak?"

"Erm..."

Serba salah pula Fazliatun. Perlukah dia membantu mereka? Dia pun tidak mengenali tiga orang lelaki itu. Entah orang baik, entah orang jahat. Manusia zaman sekarang ini bukan boleh percaya sangat. Kadang-kadang nampak alim, tetapi perangai mengalahkan iblis. Dia perlu berhati-hati.

"Saya boleh tunjukkan. Tapi abang kena hantar saya kat sini semula."

"Eh, mestilah kami hantar. Lepas kami tahu kat mana pasar raya tu, kami hantar adik ke tempat ni. Kami janji!"

Fazliatun seakan sudah dipukau. Dia menurut saja kata Darus. Tanpa ada rasa takut, dia terus menaiki van itu lalu duduk di sebelah Sood. Langsung tak menyimpan rasa curiga dan bimbang.

"Abang jalan aje terus. Nanti kat depan sana tu ada satu simpang ke kiri. Abang ikut aje jalan tu!" arah Fazliatun kemudiannya.

Apabila sudah sampai ke simpang itu, mereka mengikuti arahan Fazliatun. Namun apabila sampai ke jalan raya, kereta itu menuju ke jalan lain pula. Fazliatun terkejut. Berubah air mukanya.

"Kenapa abang ikut jalan ni? Nak pergi Ong Tai Kim bukan ikut sini. Abang dah silap jalan ni," ucap Fazliatun sedikit cemas.

"Kau diam. Jangan banyak cakap!" Suara Darus kedengaran tegas.

"Abang nak bawa saya pergi mana ni?"

"Bisinglah kau ni. Tutup mulut dia Sood. Bingitlah telinga aku dengar."

Sood pantas mencapai sapu tangan lalu menutup mulut Fazliatun dan diikatnya kuat-kuat. Tangan perempuan itu juga diikat dengan tali.

Meronta-ronta Fazliatun apabila diperlakukan sedemikian rupa. Kalau tidak mengenangkan anak di dalam kandungannya, sudah lama dia melawan. Siapakah mereka ini sebenarnya? Kenapa dia diculik begini? Cemas muka Fazliatun memikirkan berbagai-bagai andaian buruk yang akan berlaku pada dirinya.

Darus tersenyum. Dia segera mendail nombor Rizal untuk mengkhabarkan berita baik itu.

"Hello, bos! Kami dah berjaya culik dia."

"Bagus. Sekarang ni kita jumpa kat tempat tadi," balas Rizal.

"Okey, bos!" Talian dimatikan.

"Kita pergi semula ke tempat tadi!" arahnya kepada Ghani.

Van yang dipandu, meluncur laju menuju ke destinasi. Masing-masing gembira kerana tugas itu dapat dilakukan tanpa sebarang gangguan. Mudah juga menjalankan kerja itu. Tak perlu berkeras dan memaksa. Hanya dengan cara selembut itu, mereka dapat memperdayakan mangsa tanpa dicurigai oleh sesiapa.

"Duduk diam-diam ya, sayang! Jangan bimbang, kami tak akan apa-apakan kau. Kami hanya ikut perintah aje," ujar Darus sambil menoleh ke belakang.

Fazliatun hanya diam. Seolah-olah pasrah menerima ujian ini. Tak guna dia nak melawan. Sudah pasti dia akan kalah. Kuat mana sangatlah tenaga yang dia ada jika nak dibandingkan dengan tenaga tiga orang lelaki.

Isteri SementaraWhere stories live. Discover now