prolog

5.1K 158 14
                                    


    "Menyorok, Elisha! Menyorok cepat dalam stor ni! Shyuu, duduk diam-diam dalam ni....." Ayu membuat isyarat senyap pada Elisha. Elisha mengangguk faham.

Bulat mata Ayu memandang anak tirinya Elisha dalam nada suara yang separuh kuat. Lengan gadis remaja itu di tarik masuk ke dalam bilik stor di tingkat atas, agar penceroboh yang cuba masuk ke dalam rumahnya tidak dapat mengapa-apakan anak tirinya.

Pintu bilik stor yang menempatkan anak tirinya itu terus ditutup rapat, namun dalam keadaan perlahan. Justeru itu sempat matanya melirik jam yang tergantung di dinding. Hampir ke pukul 9.00 malam. Ayu menyeka air matanya yang mula mengalir deras. Saat ini dia benar-benar buntu! Pada siapa untuknya meminta bantuan disaat suaminya bekerja di luar kawasan. Sedangkan ada manusia yang tidak diundang mula berlegar-legar di dalam rumahnya.

Dalam pada itu kakinya menapak perlahan menuju ke setiap bilik. Cuba untuk mencari kelibat penceroboh yang telah memecahkan cermin tingkap bilik Elisha lalu menceroboh ke bilik Elisha. Mujur Elisha sempat melarikan diri sejurus ternampak kelibat penceroboh yang cuba untuk menyelinap masuk ke dalam bilik tidurnya. Sepantas itu juga dia berlari keluar dan masuk ke dalam bilik tidur ibu tirinya. Kebetulan Ayu baru sahaja selesai mandi. Terperanjat Ayu apabila melihat Elisha terkocoh-kocoh masuk ke dalam biliknya.

Dalam pada itu sekilas itu juga Ayu teringatkan pisau di dapur. Semuanya demi untuk melindungi dirinya sendiri dan juga anak tirinya itu. Tetapi untuk menuju ke dapur terasa jauh baginya kerana terletak di tingkat bawah sedangkan dia perlu melindungi Elisha. Ketika di dalam biliknya tadi, dia dapat melihat ketakutan yang terpamer pada wajah Elisha. Ya, Elisha benar-benar dalam ketakutan! Saat ini hatinya mula berbolak balik. Sama ada ingin turun ke tingkat bawah untuk mengambil pisau di dapur ataupun tetap berdiri dan menyorok di tingkat atas bersama dengan Elisha.

Jantungnya mula berdegup laju. Ayu terasa dadanya mulai sempit dan terasa sukar untuknya bernafas dalam situasi genting ini!

"Kenapa sekarang?!" Gerutunya dalam hati.

Terasa bagaikan tidak cukup untuknya bernafas. Dia cuba untuk bertenang. Kemudian menarik nafas sedalam-dalamnya dengan perlahan, lalu dihembus melalui mulutnya. Cara begitu dilakukannya berulang kali. Agar dadanya yang terasa sesak itu dapat di neutralkan. Lantas dengan kekuatan yang masih berbaki, Ayu terus berlari anak sambil menuruni anak tangga. Cuba untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa kepada si penceroboh itu. Saat dia berlari menuju ke arah dapur, hampir sahaja dia hendak terjatuh di atas lantai kerana terpijakkan sesuatu cecair likat yang berada di atas lantai tersebut.

Dia berhenti seketika. Cuba untuk memastikan apakah cecair likat yang hampir membuatnya terjatuh di dalam suasana samar itu. Kemudian dia terus mencuit cecair itu dengan hujung jari telunjuknya lalu menghidunya....

"Darah.....?!"

Ayu benar-benar terkejut. Rupa-rupanya cecair di lantai itu adalah darah! Ayu meraba-raba celahan pehanya. Kering. Ayu menarik nafas lega. Mujur itu bukan darahnya. Lalu perutnya di usap penuh emosi. Tanda syukur pada Ilahi. Kandungannya yang baru masuk ke 16 minggu  tetap utuh di dalam rahimnya.

"Darah siapa ni?" Ayu mula menebak. Saat ini fikirannya mula celaru. Darah siapakah itu? Adakah darah si penceroboh itu?

Ayu mula fikirkan yang bukan-bukan saat ini. Fikirannya mula mengundang emosi ketakutan. Dia mula terfikirkan kandungannya dan juga suaminya. Saat ini juga pelbagai andaian dan telahan yang mula berlegar dikotak fikirannya. Bagaimana boleh ada darah di atas lantai di ruangan ini?  Sedangkan sebelum ini, tidak ada setitik darah pun di atas lantai itu setengah jam yang lalu, sebelum dia pergi ke bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas untuk mandi.

Justeru itu tanpa berlengah, Ayu terus menuju ke dapur. Suis lampu yang terletak di bersebelahan dengan peti ais terus ditekan. Suasana di dapur mulai terang- benderang.  Lantas laci kabinet dibuka. Sebaik laci dibuka, Ayu benar- benar terkejut!

"Ya Allah! Mana kesemua pisau-pisau ni?! Bukan ke semuanya aku letak dekat sini?!"

Matanya melingas mencari pisau di dalam laci kabinet. Dalam pada itu Ayu terus memaksa dirinya mencari pisau di serata ceruk dapur. Sudah sehabis daya dia cuba mencari kesemua pisau di dapurnya, namun tidak berhasil.

"Hmmm....." Ayu mengeluh berat.

Dia mula terduduk di atas lantai dapur dek kerana kepenatan mencari pisau di dapur. Dia cuba mencari sedikit ruang untuknya bernafas. Kepalanya mula terasa pening akibat dari keletihan dan ketakutan yang melampau. Dia tahu, dia kini sedang berhadapan dengan risiko. Risiko mengalami tumpah darah ataupun keguguran! Semenjak mengetahui dirinya hamil, dia selalu mengalami pening kepala dan terasa cepat keletihan. Sangkaannya, situasi seperti itu berkemungkinan alahan biasa ketika hamil ataupun pembawakan budak. Namun menurut doktor yang merawatnya, Ayu mengalami kekurangan hemoglobin dalam darah.  Walaupun itu satu perkara biasa bagi ibu-ibu hamil, tetapi ia tidak boleh dipandang mudah.

Tiba-tiba dia terdengar sesuatu. Dia mula memicing telinganya. Kedengaran seperti bunyi tapak kaki seseorang sedang berjalan ke arah dapur. Perlahan-lahan derapan tapak kaki itu menuju ke dapur. Ayu dapat merasakan penceroboh itu kini menyasarkan dirinya pula.

Gulp!

Ayu menelan liur. Ya, derapan tapak kaki itu memang sedang menuju ke arahnya! Dia cuba mengesot ke belakang. Perlahan-lahan dia mengundur ke belakang betul-betul bersebelahan tepi kabinet dapur dan akhirnya tersandar terus ke dinding. Kini tiada arah untuk dia mengundur lagi. Ruang ditepi kabinet itu sememangnya cukup-cukup untuk tubuhnya menyorok dari penceroboh itu. Batang tubuhnya mulai mengeletar tanpa dapat ditahan lagi. Dalam pada itu mulutnya ditutup dengan kedua-dua tangannya dan peluh mula mengalir dan membasah didahinya.

Derapan tapak kaki itu kini semakin hampir. Nafasnya kian sesak saat derapan tapak kaki itu semakin menghampiri. Tiba-tiba....

"Cari pisau ni ke?" Penceroboh itu bersuara sambil tersenyum sinis memandangnya.

Penceroboh itu menunjukkan pisau yang dipegangnya itu ke arah Ayu. Mata Ayu mula tertumpu pada bilah pisau yang tajam itu. Bilah pisau itu dipenuhi dengan darah!

Kemudian mata Ayu teralih semula ke wajah penceroboh itu. Buntang matanya saat memandang si penceroboh itu! Ayu terkedu! Tergamam saat melihat wajah si penceroboh yang dimaksudkan Elisha itu. Sungguh tidak disangka.....

"Kau?!!!!"

- Sambung........

Hsil nukilan:suhana mat lazim

EllishaWhere stories live. Discover now