3. Hak Orang: Bahagian 1

92 1 0
                                    

Tanpa sedar, kita banyak ambil hak orang. Hak yang tidak melibatkan barangan yang boleh diangkut ke sana sini, namun hak lain seperti ruang, tanah, sempadan, dan sebagainya. Kita selalu ambil dan gunakan kerana kita tidak rasa yang kita mencuri hak tersebut, maklumlah kita tak ambil pun, kita guna sahaja.

Alah, macam pinjamlah.

Namun kita pinjam tanpa mendapat kebenaran selalunya.

Depan rumah kita ada tanah kosong. Tanah lebihan rezab bahu jalan, tanah kawasan lapang yang tidak digunakan atau tanah kawasan kolam tadahan, dan sebagainya yang menjadi milik pihak majlis atau tanah kerajaan.

Daripada terbiar baik kita usahakan, ya tak?

Maka kita pun 'usahakanlah' bina parking berbumbung untuk meletak kereta kita. Maklum sahaja zaman ini setiap keluarga atau rumah pasti ada dua hingga tiga buah kereta. Memandangkan kita dah besarkan rumah sehingga makan kawasan porch, maka hanya satu kereta dan sebuah motor sahaja yang muat, selebihnya kena parking tepi jalan. Dengan adanya tanah kosong terbiar tadi, maka kita pun binalah parking untuk kereta kita.

Daripada tanah membazir, baik juga kita gunakan. Tuhan tak suka pembaziran, kata kita.

Depan rumah kita ada rezab tanaman landskap dan laluan pejalan kaki lebih kurang sekangkang kera luasnya. Rumput di kawasan tu pun macam hidup segan mati tak mau, pokok yang ada pun asyik meluruhkan daun dan menyemakkan keadaan. Berbunga tidak berbuah pun tidak.

Jadi, baik kita usahakan.

Kita tanam sayur, kita tanam pokok buahan kita tanda kawasan agar orang tahu yang kawasan tu ada bertuan, lalu apabila sudah membuahkan hasil maka kita pun seronok. Ada yang kita makan sendiri, ada yang kita bagi jiran. Ada juga yang kita halau sebab cuba mencuri hasil sayur dan buah-buahan kita.

Baguslah, kita kongsi rezeki. Cuma jangan mencuri sahaja kata kita.

Itu cerita tanah.

Kita tinggal di rumah pangsa, flat, apartmen, kondo, dan sebagainya yang kebanyakannya kita berkongsi ruang. Berkongsi ruang lobi, ruang lif, ruang koridor, dan sebagainya lagi. Ruang-ruang tersebut bukanlah milik mutlak kita kerana kita membayar untuk harga rumah kita semata-mata. Selainnya adalah harta atau hak awam, yakni hak semua orang yang tinggal bersama-sama kita di bangunan tersebut.

Namun, maklum sahajalah, tinggal di rumah tinggi sebegini ruangnya terhad. Kita tiada tanah, kita tiada ruang besar yang disinari mentari untuk dijadikan ampaian. Kita tiada ruang yang banyak untuk meletakkan barangan seperti kasut, basikal, dan sebagainya. Kita juga kurang ruang untuk bercucuk tanam, sama ada sayuran, bunga-bungaan apatah lagi buah-buahan.

Jadi nak tak nak kita gunalah ruang koridor di depan rumah kita tu, ya tak? Daripada dibiarkan kosong begitu sahaja, maka baik kita gunakan.

Maka kita letaklah rak kasut, kita letaklah pasu yang bertanam bunga, pasu yang bertanam serai, pasu yang bertanam cili, pasu yang bertanam sawi, dan sebagainya. Mudah-mudahan apabila menjadi tanaman ni, dapatlah kita melihat kehijauan di samping dapat menuai rezeki dan dikongsi bersama jiran.

Di ruang tersebut juga kita letaklah ampaian yang beroda dan boleh dilipat tu. Kononnya apabila selesai guna, maka kita tolak dan lipat ampaian tu agar tidak mengganggu ruang. Niat tersebut hanya tinggal niat sahaja. Ini kerana ampaian tersebut sentiasa digunakan.

Maka ruang laluan jiran-jiran dah jadi kecil dan agak terbatas kerana dihalang oleh ampaian tadi. Orang-orang yang hendak berpindah masuk dan keluar pun jadi menyusahkan buat mereka kerana ruang yang sempit.

Tapi, tak perlu nak kecoh sangat, kan? Bukannya setiap hari orang berpindah masuk dan keluar.

Kita peniaga. Kita ada kedai yang kita sewa untuk menjalankan perniagaan. Maka di ruang kaki lima di depan kedai tu kita bukalah meja dan kerusi untuk bolehkan orang duduk di luar, atau kita letak rak-rak bagi mempamerkan barangan jualan kita.

Yalah, kalau semua barangan di dalam, pelanggan tak nampak pula apa jualan kita, ya tak? Maklumlah cermin kedai gelap, orang nak tengok apa yang ada di dalam kena jenguk-jenguk mengintai sambil tekup mata di cermin gelap tu. Maka kita letaklah barangan di luar bersama banner, bunting, poster, dan sebagainya.

Ruang kaki lima kedai tadi daripada lima kaki luasnya tinggallah satu hingga dua kaki sahaja. Tak pun dah habis terus dan orang tak dapat nak lalu-lalang lagi akibat kerusi meja yang diletakkan penuh di situ.

Tak mengapalah, orang boleh keluar dan berjalan melalui parking atau di jalan sana.

Kesian juga kepada OKU yang menggunakan kerusi roda atau ibu-ibu yang gigih menolak stroller anak tu. Terpaksa menggagahkan diri lalu di ruangan sempit di antara meja dan kerusi yang memenuhi ruangan kaki lima tersebut.

Mulalah terganggu pelanggan-pelanggan yang sedang makan tu. Nak kena bangun, tolak kerusi, adjust meja demi nak bagi laluan kat OKU dan juga si ibu yang berstroller tadi.

Mujur pelanggan semua baik-baik belaka.

Itu adalah kisah biasa di bumi bertuah ini.

Padahal semua ruang tadi sama ada tanah lebihan, ruang koridor, dan juga ruang kaki lima kedai bukanlah milik kita. Bukanlah hak kita secara mutlak mentang-mentang ia di depan rumah kita atau di depan kedai kita. Ia milik awam dan milik pihak majlis.

Jadi apabila ia hak orang, adalah perlu untuk kita meminta izin dan kebenaran bagi menggunakan ruang tersebut. Kita sendiri tak suka orang menggunakan ruang kita sesuka hati. Pasti kita tak suka lihat orang bina sesuatu di atas tanah kita, kita tak suka orang parking di depan rumah kita walaupun itu bukan tanah kita.

Apatah lagi kalau hak kita sendiri.

Tidak salah untuk kita memohon kebenaran daripada yang empunya hak. Tanah di depan rumah kita tu boleh sahaja kita buat surat hantar kepada majlis dan minta kebenaran menggunakannya. Paling tidak pihak majlis akan menolak atau memberikan kebenaran bersyarat ataupun disewakan dengan kos paling minimum kepada anda.

Ruang koridor di depan apartmen kita tu pun milik bersama. Tidak salah rasanya kalau kita berbincang dengan semua jiran yang terlibat menggunakan ruang tersebut dan juga memohon kebenaran daripada pihak pengurusan apartmen. Semestinya mereka membenarkan dan mungkin dengan bersyarat.

Itu adalah lebih baik daripada menggunakannya seolah-olah ia hak mutlak kita.

Namun apabila pihak majlis hantar notis untuk kita memohon kebenaran rasmi, maka kita melenting. Pihak majlis ni nak kaut untunglah, nak tindas rakyatlah, dan sebagainya kata kita.

Kata kita, benda kecil sahaja tu. Benda terbiar, tidak digunakan lalu kita gunakanlah. Apa salahnya, kan? Ruang koridor depan rumah tu memanglah berkongsi, namun dah adat berjiran, apa salahnya semua jiran bertimbang rasa, kata kita. Ruang depan kedai tu kita dah sewa, kita dah bayar lesen perniagaan, maka apa salahnya kita gunakan?

Lagipun, paling penting kita dah bayar cukai pintu, kita dah bayar cukai tanah, kita dah bayar cukai pendapatan, kita tambah lagi dengan membayar GST. Cukuplah tu. Ini negara kita, ini tanah kita, dan kita berhak menggunakannya, kata kita lagi.

Oh, begitukah?

Untunglah.

(TEASER) Untunglah Malaysia Masih Aman - Khairul AbdullahWhere stories live. Discover now