Part 5

2.2K 51 1
                                    

"CIK ALEESA boleh isi borang ni dulu. Sekejap lagi I panggil masuk dalam jumpa bos," tutur gadis bertudung litup dengan senyuman manis.

Aku membalas senyumannya. Tangan menyambut borang yang dihulurkan gadis itu. Jemariku lincah mengisi segala butiran kerja yang diperlukan.

Borang sudah lengkap diisi. Kepala mula memikirkan tentang bos yang dimaksudkan gadis itu tadi. Tidak pula disebut nama bos yang bakal ditemuinya sekejap lagi.

Mengikut maklumat yang sampai kepadaku, lelaki itu hanya sesekali berminat untuk bertemu calon pekerja. Itupun jika jawatan yang bakal disandang cukup penting untuk syarikat.

Setakat jawatan yang cuba kuminta, tentunya tak perlu bertemu dengan lelaki itu. Administration executive. Tak penting untuk bos besar sepertinya bertemu denganku.

Terlorek senyum sinis di bibir. Mungkin hari ini aku belum lagi dapat bertemu dengan musuhku. Jika punya kesempatan sekalipun mungkin hanya dari jauh.

Jawatan yang bakal disandang tidak membuatkan aku dapat dekat dengan bos besar sepertinya itu. Tidak mengapa. Aku punya banyak masa untuk mencapai matlamatku.

Kalau bukan hari ini, esok masih ada. Jika bukan bulan ini, bulan depan mungkin peluang akan tiba. Jika tidak tahun ini, tahun depan aku takkan putus asa. Yang penting hutang darah akan dibayar dengan darah!

"Cik Aleesa!"

Terkebil-kebil seketika kala suara gadis bertudung litup agak lantang menerpa gegendang telinga. Aku tersenyum plastik menutup malu.

Terlalu asyik melayan masa depan yang tidak pasti hingga tidak sedar akan kehadiran gadis itu di hadapanku. Gadis itu tersenyum tawar.

"Encik Khaliq panggil Cik Aleesa masuk," beritahu gadis itu senada.

Aku memandang gadis itu lama. Salah dengar ke? Nama yang menerpa ke gegendang telingaku itu sudah kuhafal beribu kali. Tak mungkin salah dengar.

Untuk apa lelaki itu sendiri yang mahu bertemu denganku? Apa kepentingan aku di matanya? Jawatan yang bakal kusandang tidak bernilai pun di mata bos besar sepertinya. Pelik!

Ada rasa yang tidak enak merusuh dada. Seperti aku sendiri melangkah masuk ke dalam perangkap yang disediakan lelaki itu. Tak mungkin.

"Cik Aleesa!"

"Oh, I'm... sor... ry," tuturku agak gugup. Terlalu banyak persoalan dan prasangka yang bermain di fikiran hinggakan kakiku masih statik di tempat yang sama.

"Encik Khaliq tunggu Cik Aleesa. Ikut I," ucap gadis itu tegas seperti takut dimarahi bosnya.

Aku membuntuti langkah gadis itu menuju ke bilik bos besar. Setiap langkahku diasak debaran menggila. Tangan terkepal sendiri mencari kekuatan untuk berdepan dengan musuh yang tak pernah lekang dari fikiranku setahun lamanya.

Langkah terhenti betul-betul di hadapan pintu bilik lelaki itu. Khaliq Hafiy Bin Hisbullah!

Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba membuang debaran yang semakin menggila. Debaran yang hampir menggoyahkan tekadku.

Dinding kaca yang gelap tidak memberikan aku sebarang ruang untuk mengintip situasi di dalam bilik itu sebelum melangkah masuk.

Aku memaksa diri untuk mengetuk pintu. Belum sempat tanganku mencecah pintu, suara garau dari dalam menghentikan tingkahku.

"Masuk."

Suara itu walau kedengaran perlahan tetap tegas nadanya. Nada yang mampu membuatkan sesiapa yang mendengar menurut tanpa bantahan.

Dan aku tidak terkecuali. Tombol pintu kupulas lalu aku memaksa kaki melangkah masuk bertemu empat mata dengan lelaki itu.

PILU TanpamuWhere stories live. Discover now