1. Cabaran 3 Pagi Bahagian 1 - Terowong Lama

449 11 0
                                        

Assalamualaikum. Nama aku Amir. Aku ini boleh dikatakan orang yang gila-gila. Hobi aku kalau aku tak kerja memang merayap mencari bangunan tinggal bersama "sahabat-sahabat dunia akhirat" aku, Man dan Hakim. Kami akan memuat naik video-video penjelajahan kami di Youtube untuk tatapan viewers yang hanya tunggu masa saja untuk kami mati atau kena rasuk disebabkan kerja gila ini.

Beberapa hari lepas, aku ada mendapat email daripada salah seorang penonton setia channel kami supaya menjelajah suatu terowong lama di Pantai Timur pada pukul 3 pagi. Man dan Hakim bukan main seronok sebab mereka kata itu mungkin akan menjadi pengalaman baru bagi kami kerana selama ini kami hanya pergi ke bangunan-bangunan lama sekitar Barat Semenanjung. Itu pun hanya pada waktu siang kerana semua orang tahu bangunan lama kebanyakan strukturnya tidak kukuh dan agak berbahaya apabila malam kerana kami hanya berbekalkan lampu suluh yang mengehadkan penglihatan kami. Lama aku termenung memikirkannya sebelum mengambil kata putus untuk bersetuju memandangkan ini mungkin boleh menambah view dan subscribers untuk channel kami.

Pada hari Jumaat, kami bergerak ke Pantai Timur berpandukan koordinat GPS yang dilampirkan di dalam email tersebut. Hakim memandu kereta Myvi sambil bersiul gembira kerana sudah lama sebenarnya kami tidak ke Pantai Timur disebabkan kesibukan kerja masing-masing. Berdebar-debar hati aku memikirkan apa yang bakal kami lalui sebentar lagi. Man pula terlena di tempat duduk belakang. Memang itu hobinya sejak zaman degree. Waktu kuliah tak pernah tak tidur. Kami sempat berhenti rehat di R&R sebelum meneruskan perjalanan kami. Pejam celik pejam, sudah tengah malam. Mata aku pula fokus memandang sistem GPS kami tatkala kami semakin hampir dengan lokasi yang dituju. Kami melalui kawasan hutan yang gelap dan menyeramkan.

"Dah dekat ke, Mir?" soal Hakim.

"Dah. Dekat depan tu nanti ada jalan mati. Kat hujung jalan tu lah budak Kid tu kata ada terowong. Lagi setengah jam pukul 3. Elok sangatlah weii. Bolehlah lepak," jawabku sambil pandangan mataku masih fokus di skrin sistem GPS.

Akhirnya, kami tiba juga di lokasi. Kami keluar dari kereta. Masing-masing mengeliat keletihan. Man yang sememangnya 80% tidur sepanjang jalan masih berpisat-pisat melihat persekitaran. Kami mengeluarkan kamera GoPro masing-masing dan memasang lampu suluh untuk melihat. Terowong itu benar-benar berada di hadapan kami sekarang ini. Kedengaran Hakim menelan air liur.

"Woah, tak nampak hujung kut. Dalam terowong ni," komen Man yang menyuluh ke dalam terowong.

Aku melihat jam. Dah pukul 3 pagi. So, let the show begins.

Aku memulakan mukadimah untuk video kami, "Assalamualaikum dan hai korang! Ok, hari ini, aku, Man dan Hakim akan buat something yang tak pernah kitorang cuba sebelum ini iaitu masuk terowong tinggal pada pukul 3 pagi. Kami berada di hadapan sebuah terowong lama kat satu negeri aku tak nak sebut yang menurut cerita kononnya keras sebab ada orang mati kat sini.Kenapa 3 pagi? Sebab orang cakaplah, pukul 3 pagi waktu "benda-benda" tu keluar. Jom kita masuk!"

Biarpun aku tahu kami kalau diikutkan gilanya nak cari hantu tapi masih aku menggunakan perkataan-perkataan berlapik sebab kalau boleh aku tak nak jumpa pun. Biarlah kami masuk dan keluar terowong ini dengan selamat. Amin... Lagipun ilmu agama tak berapa tinggi, kalau jadi apa-apa susah juga. Kami bertiga memulakan langkah memasuki terowong itu. Sambil-sambil itu, aku, Man dan Hakim bergilir-bergilir bercerita di depan kamera masing-masing untuk video kami nanti. Kadang-kala kami hampir tersadung terlanggar konkrit atau kayu di sepanjang jalan di dalam terowong tersebut.

"Kalau korang boleh nampak, terowong ni agak luas dan kat dinding terowong memang berlumut dan boleh nampak serangga berlambak kat sini," celoteh Man yang berada di belakang sekali.

Sudah sejam kami berjalan. Masih tidak nampak penghujung terowong. Aku yang berada di hadapan sekali mula mengeluh sebab kalau boleh aku nak juga tengok apa yang ada di penghujungnnya malam ini. Sekurang-kurangnya, rasa berbaloi jalan kaki sejauh ini.

"Nak jalan lagi ke, Mir? Penat weii... Tidur dalam terowonglah Man tu kalau kita ni jalan lagi ni." Hakim mula merungut. Jarak aku agak jauh disebabkan Hakim memperlahankan langkahnya akibat kepenatan. Man lagilah nun jauh di belakang.

"Kita jalan lagi lima minit. Tak nampak juga hujung kita patah balik." Aku masih tidak mahu mengalah. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke kepala. Betul ke peribahasa aku ni? Lantaklah.

Tiba-tiba, mataku ternampak sesuatu. Aku berkerut memandang objek yang seakan-akan bayang yang semakin lama semakin jelas. Langkah yang tadinya gagah berjalan tidak semena-mena kaku. Aku terkedu. Di hadapan aku sekarang ini ada suatu lembaga serba putih dengan rambut mengerbang menutupi wajahnya! Kelihatan ia seakan-akan terapung kerana aku tak nampak langsung kakinya di lantai. Aku tanpa berlengah menoleh ke belakang lalu terus membuka langkah seribu.

"Man!!! Hakim!!! Larilah!!! Ada benda kat belakang kita!!! Lari!!" Aku terpekik terlolong menyuruh kawan aku dua orang tu lari. Memang aku lari tak pandang belakang meninggalkan Man dan Hakim menuju ke jalan masuk terowong. Mereka yang kebingungan turut mula berlari ibarat sekarang ini kami masuk lari pecut pula. Aku memecut lagi diikuti oleh Man dan Hakim apabila nampak laluan masuk kami tadi. Alhamdulillah...

Kini, masing-masing terbaring. Man pula menangis macam perempuan. Buat malu sungguh mamat ni. Siap kau aku upload scene kau nangis nanti.

"Aku nampak weii! Aku nampak! Aku sempat toleh tadi." Man seolah-olah meracau sambil tangan masih kemas memegang kamera dengan  monopod.

"Benda tu ke? Aku memang time Amir suruh lari memang tak tengok belakang dah," ujar Hakim. Aku mencebik melihat riak muka Hakim yang nampak bersyukur sangat tu. Aku melihat ke dalam terowong. Kosong. Alhamdulillah, sebab aku tak larat dah nak lari. Setelah keadaan agak reda,kami memandang satu sama lain. Masing-masing tersengih seakan-akan mengejek satu sama lain.

"Malam ni kita kena tidur dalam kereta ni." Aku mematikan mood saling mengejek kami.

"Haish! This is b******t betul. Siallah!" Man membentak. Aku hanya tergelak kecil.

"Redha ajalah, Man. Kita juga yang volunteer buat benda bodoh ni." Hakim pasrah sambil tergelak.

"Okay, guys! So, as you can see the truth has been revealed. Terowong ni memang berhantu. Lepas ni, kitorang akan tidur dalam kereta sebab memang tak ada siapa antara kitorang yang aku rasa cukup berani nak drive pagi-pagi buta dalam hutan ni. Adios and assalamualaikum!" Lalu video dimatikan.


Seram KotDonde viven las historias. Descúbrelo ahora