Bab 9

1.3K 24 0
                                    

"Jangan! Tolong jangan pukul, ayah cik! Sakit!"

Jebat berteriak dalam tidur. Dia sedang mengigau dengan tangan ditutup ke muka.

"Sakit!"

Jebat terjaga daripada tidur. Dia bangun dari perbaringan sambil meraba-raba badannya dengan tangan.

Tidak ada apa-apa yang cedera dan dia baru sedar yang sebenarnya dia tak berasa sakit pun! Jebat mengatur pernafasannya.

Suasana bilik begitu suram. Hanya cahaya lampu limpah dari luar rumah yang menerobos masuk ke dalam bilik tidur. Pintu laras di sudut tepi bilik terbuka luas. Angin yang bertiup perlahan sesekali membuatkan tirai bergerak. Jebat meraup wajahnya yang mula berpeluh.

Ya Allah... Aku mengigau lagi rupanya...

Jebat paling ke sisi. Mastura sedang lena dengan wajah menghadap ke arahnya. Mujurlah igauannya tidak mengganggu lena isterinya.

Jebat menghela nafas lega. Sejak dia meninggalkan vila itu, dia sudah lama tidak mengigau dan bermimpikan peristiwa silamnya.

Jebat membaca ayat Kursi seketika. Kemudian dia berbaring semula. Dia memejamkan mata. Berharap semoga tidurnya tidak terganggu lagi.

Tap!

Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi aneh di luar rumah. Perlahan-lahan Jebat membuka mata. Mungkin perasaannya sahaja, apatah lagi tidurnya tadi terganggu dan dia masih dalam keadaan mamai.

Tap!

Bunyi itu seperti derapan kaki yang menuruni tangga.

Jebat segera bangun dari perbaringan. Namun begitu, dia masih bergerak dengan berhati-hati supaya Mastura tidak terjaga. Dia tidak mahu tidur Mastura tergangggu dengan pergerakannya.

Jebat mencapai telefon pintar di atas meja. Sempat dia membelek skrin dan melihat jam yang menunjukkan pukul 2.30 pagi. Hatinya berdetak mungkin ada orang sudah menceroboh ke dalam rumah itu!

Jebat keluar ke balkoni. Dari tingkat dua vila itu, matanya melilau memerhati sekeliling kawasan rumah. Suasana malam di luar rumahnya itu tidak begitu sunyi.

Bunyi cengkerik kedengaran di sana sini. Sesekali berselang-seli dengan bunyi pungguk yang mungkin bertenggek di atas pepohon hutan berhampiran. Cuaca juga baik pada malam itu. Di langit bulan sedang mengambang penuh. Bintang-bintang di langit juga sedang cantik berkelipan.

Tidak ada sesiapa kelihatan di luar rumah. Namun Jebat rasa tidak sedap hati. Dia berasa seperti sedang diperhatikan.

Jebat masuk semula ke dalam bilik tapi kali ini dia mengatur langkah ke tingkat bawah. Suasana di tingkat bawah itu cerah kerana dia sengaja tidak menutup lampu.

Jebat berdiri seketika di kaki tangga, memasang telinga sambil memerhatikan segenap ruang tamu yang sunyi sepi.

Tidak ada bunyi apa-apa pergerakan. Setelah pasti tidak ada sesiapa di ruangan itu, barulah Jebat mengatur langkah ke pintu utama. Dia lihat pintu itu terkunci dalam keadaan baik. Tidak ada tanda-tanda diumpil atau dibuka dari luar. Setelah berpuas hati, Jebat kembali ke ruang tamu.

Dahulu, suasana di ruang ini tidaklah sepi begini. Setiap malam dia dan anak-anak buahnya akan berkumpul. Mereka akan berhibur dengan berjudi, minum arak dan pastilah ditemani perempuan-perempuan cantik.

Dan keesokan harinya, dia sendiri lupa apa yang berlaku pada malamnya kerana terlalu mabuk. Malahan, dia juga tidak begitu ingat nama perempuan yang pernah menemani tidurnya.

Jebat pejam mata dan menggeleng kepala.

Ya Allah... Betapa hinanya kehidupan dia ketika itu. Kalau Mastura tahu kisah silamnya yang sebegitu, entahkan mahu atau tidak Mastura menyebut namanya lagi.

JEBAT (Diadaptasi Dari Filem)Where stories live. Discover now