Bab 15

2.2K 40 12
                                    

ATAS permintaan mama, Amyza masak asam pedas daging tetel. Bersungguh-sungguh dia di dapur sejak pagi. Mama hendak tolong dia melarang, disuruhnya mama berehat supaya petang nanti dapat mengulit Hanna puas-puas. Ketawa mama, tapi dia ikut saja kata menantunya. Dah datang untuk bercuti dan main-main dengan cucu kan, maka betullah arahan Amyza. Mama sangat senang dengan Amyza, pandai ambil hati. Entah apa yang Khairi tak puas hati tak tahulah.

Bertambah-tambah abah menambah nasi tengah hari ini. Meleleh-leleh peluhnya makan asam pedas. Mama pun sama. Tersenyum Amyza lihat. Puas hati yang amat. Letih sikit tak apa asalkan dapat melihat kedua-dua orang tuanya gembira. Khairi tidak dapat balik makan bersama dengan alasan dia ada lunch date. Entah betul, entah tidak. Orang dah ketagih makanan Sunda, mana nak makan asam pedas tetel dah.

"Mama rasa asam pedas Myza lagi sedap dari dulu. Banyak improvementnya."

"Ya ke mama? Myza rasa sama aje? Mama lama tak makan kut. Itu yang rasa sedap."

"Ya... Lagi sedap."

"Betul cakap mama tu, Myza. Abah pun kata makin sedap. Tengoklah buktinya, bertambah-tambah abah. Kalau kat KL mahu kena tarik pinggan dah. Jururawat peribadi abah mana kasi makan lebih-lebih."

Mama ketawa. Amyza pun.

"Mama nak abah hidup selagi mama hidup. Sebab tu mama jaga makanan abah. Kat sini tak apalah, sekali-sekala nak rasa air tangan menantu. Balik nanti kita pantang habis-habisan."

Ketawa lagi.

Mama hirup kuah asam pedas. Perlahan-lahan dia telan. "Sedapnya..."

Mama senyum kepada Amyza.

"Macam manalah Khairi kata dia dah jemu. Myza tahu ke kenapa?"

Amyza berubah air muka. Pagi tadi Khairi sudah beri amaran jangan cerita yang bukan-bukan kepada mama dan abahnya. Dia tak punya hak untuk bercerita.

"Entahlah, mama. Elok mama dan abah tanya Abang Khairi sendiri. Myza tak berani cakap lebih-lebih sebab bukan dari pihak Myza."

"Dia ada perempuan lain?"

Mama memerangkap Amyza.

Abah cuma berdiam menjadi pemerhati.

Ni yang buat Amyza lemah semangat. Di hadapan mama dan abah, dirasakan dirinya amat kasihan. Sebak tak tentu hala. Amyza kesat air mata yang mula menitis di pipi. Tidak dapat sembunyikan lagi walang dalam hati.

"Siapa Myza? Orang sini?" desak mama lagi.

Amyza sekadar boleh mengangguk.

"Tengok abah... Mama dah rasa dah! Patutlah hati ni tak sedap, asyik teringat dia orang kat sini. Rupa-rupanya ada benda tak baik dah berlaku."

Malamnya, berlakulah perang besar antara mama dan anak lelakinya. Pung pang pung pang dia orang berperang. Abah lebih kepada menjadi pemerhati. Sekali-sekala saja menyampuk bagi membela mama.

Seperti biasa, Amyza tetap salah di mata Khairi. Itulah juga diberitahu kepada mama dan abah berkali-kali sehingga mama naik jemu mendengar. Mungkin juga sedikit sebanyak mama percaya akan alasan Khairi. Cuma mama tak boleh terima bakal pengganti Amyza.

"Ri pilih orang sini, jangan balik KL lagi. Mama tak ada anak bernama Khairi dah selepas itu."

"Mama... Dia baik mama, jauh beza daripada Myza."

"Khairi!" jerit abah.

"Hormat sikit kepada isteri yang kamu nikah. Orang yang kamu puji tu belum apa-apa lagi dengan kamu tahu?"

Abah benar-benar marah. Dia jarang menengking anak-anak. Sesekali buat, mesti kerana hatinya tersentuh sangat.

Khairi terkedu.

"Mama... Kemas barang. Esok kita balik KL!" arah abah dengan tegas. Sepatutnya dia orang akan tinggal sini beberapa hari lagi.

Mama ikut saja arahan abah tanpa sebarang bantahan. Mama pun sama, geram dengan perangai Khairi yang banyak benar perubahannya. Kena sindrom siri empat kut. Biasanya lelaki yang umur menjangkau empat puluhan, mula buat perangai. Life begins at forty. Masa inilah dia orang punya segala dan nak buat segala untuk diri sendiri. Kegatalan pun berganda-ganda pada umur ini.

"Puas hati?"

Lepas mama dan abah balik aje, Khairi terus jerkah Amyza. Matanya terbelalak merah. Nampak sangat darjah kemarahan menjulang tinggi.

"Eik... Myza yang salah ke?"

Amyza sebenarnya kecut juga tapi digagahkan mulut menjawab. Dia kan jenis tak suka pendam-pendam perasaan. Lebih suka luahkan. Tak kesahlah nampak bebal sekalipun. Itu yang Khairi tak puas hati kut. Amyza ni seperti isteri kurang ajar. Mungkin selera Khairi sekarang beralih kepada perempuan yang lemah lembut dan akur saja dengan cakap dia.

"Ya. Mulut tu tak tahu jaga! Memang patutlah kita berpisah!"

"Abang?"

"Hah? Kenapa? Dah tak nak cerai pula?"

"Abang sedar tak? Baru aje mama cakap semalam yang dia tak mengaku abang anak jika abang kahwin juga dengan betina tu?"

"Dewi! Bukan betina! Dah tolol sangat ke sehingga tak ingat? Dan pasal mama, I don't care! Lambat laun dia akan maafkan juga. Mama saya, saya lagi tahu. You tu shut up! Jangan cakap yang bukan-bukan. Mulut asyik nak melalak sana sini! Belajarlah jadi orang perempuan baik-baik, isteri yang baik. Ini tidak, sikit-sikit hendak melawan! Bosan tau tak? Bosan! Jangan ingat mama dan abah akan sayang kamu selamanya. Kalau perangai tak berubah, nanti satu dunia tak suka kamu!" herdik Khairi dengan suara yang lantang. Bergema bunyi satu rumah banglo ni. Guna volume paling tinggi. Harus sakit tekak selepas ini.

Tiba-tiba si kecil Hanna muncul dari tingkat atas. Dia meluru ke arah Amyza dan memeluk mama dan menangis semahu-mahunya. Amyza turut sama menangis. Hati ibunya tidak tahan melihat kesedihan si anak.

Khairi merengus marah lalu keluar rumah. Pergi cari buah hati yang dia cinta musim ini...

Você leu todos os capítulos publicados.

⏰ Última atualização: Aug 05, 2016 ⏰

Adicione esta história à sua Biblioteca e seja notificado quando novos capítulos chegarem!

Cinta Paling AgungOnde histórias criam vida. Descubra agora