Bab 10

1K 19 0
                                    

LEWAT Khairi pulang ke rumah. Tiap-tiap malam juga begitu. Persis orang bujang trang tang tang layaknya. Mentang-mentang nak kahwin baru, lupa ada isteri lama dan anak tercongok di rumah.

Malam ini Amyza tunggu Khairi. Masuk saja rumah, Khairi terpandang rupa Amyza yang garang macam singa betina hendak menyerang mangsa. Dengan tangan bercekak pinggang dan mata bulat besar.

"Eloklah sambut suami dengan gaya macam ni," perli Khairi. Sakit hati tengok cara Amyza.

"Malam-malam buta baru jumpa jalan balik? Dah lepas rindu kat betina tu?"

Amyza balas dengan serangan pedas. Lantang.

"Dah," jawab Khairi sepatah tanpa rasa bersalah.

"Bahagialah, ya... Jumpa pucuk muda."

"Saya dah beritahu keluarga dia tentang awak dan Hanna."

"Owh... Dia orang boleh terimalah yang abang ni dah ada keluarga? Sanggup ke terima menantu second-hand?"

Suara perli Amyza meninggi semula. Terbakar dada, weh. Khairi tak menjaga hati dia langsung.

Khairi mengeluh kasar.

"Awak nak apa sebenarnya? Abang penatlah..." rengusnya.

Bising saja kerjanya. Suami balik bukan hendak diberi air ke apa. Jangankan air kopi Blue Mountain, setitis air masak pun tak ada. Yang dia tahu menyerang.

"Saya nak apa? Bagus! Memang saya tunggu abang tanya soalan tu. Dan saya bagi pilihan untuk abang!"

Amyza mula beri kata dua. Masa ni terbayang muka Muna di dalam belon dengan mulut kepoh memberi cadangan. "Pertama, kamu harus beri dia pilihan sama ada kamu dan Hanna atau perempuan tu." Lepas itu belon pun segera menghilang.

"Ha... Pilih apa sangat?"

"Pilihlah! Saya dan Hanna atau betina tu?"

Khairi semakin bengang diprovokasi. Dah suruh buat pilihan pula dah!

"Abang kan dah bagi tahu yang abang nak nikah dengan Dewi sama ada Myza setuju atau tak. Abang mampu kahwin empat. Ini baru dualah, Myza."

"Jadi, abang memang berkeras nak kahwin jugalah dengan betina tu?"

"Myza!" jerit Khairi berang.

"Abang bagi amaran jangan sekali-kali gelar Dewi sebagai betina. Dia bukan betina! Dia perempuan yang suci, bersih dan beriman. Dia buat abang nak jadi lelaki yang lebih baik!"

"Owh! Abang kata Myza ni tak baiklah?"

Tangan Myza naik ke pinggang semula dengan mata yang terbelalak.

Khairi jeda seketika. Tarik nafas panjang kemudian dilepaskan perlahan-lahan.

"Myza, tolonglah... Abang tak nak gaduh! Cukup kalau abang katakan yang abang ni mampu kahwin lagi. Siapapun tak boleh halang abang..." ujar Khairi dengan suara yang sudah kendur. Tidak meninggi seperti tadi.

"Yalah... CEO Prasarana Khazanah International mestilah mampu nak kahwin lagi," perli Amyza, pedas.

Dia semakin kesal dan marah. Wajah putihnya bertambah merah.

"Betullah orang cakap... Ujian seorang isteri adalah apabila suaminya tiada apa-apa... Tapi ujian seorang suami adalah apabila dia berjaya dan memiliki segala-galanya. Abang lupa janji-janji abang kepada Myza. Abang memang dah lupa!" rintih Amyza. Suaranya yang tadi garang sudah bertukar ton sedih.

"Come onlah Myza, tak payahlah berdrama sangat. Bosanlah! Jodoh maut semuanya ketentuan Allah. Terima ajelah yang kamu terpaksa berkongsi suami."

Zaaasss...

Berderau lagi darah Amyza. Berkongsi suami? Amyza yang cantik seksi ini kena berkongsi suami? Owh... Tidak! Bukan Noramyza namanya jika kena kongsi lelaki dengan perempuan lain. Malam ini Khairi peluk dia, malam esok peluk bini nombor duanya.

Owh... No... No... No!

"Soalan terakhir..."

Status hati tahap bernanah, mulut masih mahu bersoal bagai.

"Whatever..." balas Khairi dengan lagak sombongnya.

"Abang masih sayangkan Myza atau tak?"

Soalan ini Amyza betul-betul ikhlas tanya si suami. Dan dia mengharapkan jawapan ikhlas yang lahir dari lubuk hati Khairi. Seperti janji-janji Khairi pada malam pertama mereka.

Khairi mencebik.

"Boleh tak jangan tanya benda macam tu? Macam nak muntah darahlah dengar!" tengkingnya.

Amboi, Khairi... Menyampah benar kepada Amyza.

"Jawab."

Amyza masih cekal, masih mengharap kejujuran Khairi walau hati sudah koyak rabak. Harapannya tipis, tapi dia nak juga mendengar sesuatu yang dia suka demi rumah tangga mereka. Demi Hanna juga.

"Abang hormat sebab Myza yang lahirkan Hanna."

"Jawab ajelah!"

Dalam sebak, Amyza cuba untuk kuat dan ego.

"Tak! Abang memang dah tak ada apa-apa perasaan lagi kepada Myza! Awak sendiri tahu kan macam mana hubungan kita sejak setahun dua ini? Awak asyik buat kerja awak sendiri. Awak dah berubah banyak. Awak selalu asyik dengan hal awak, dengan kawan-kawan awak sehingga abang terbiar. Abang sunyi. Perasaan abang dah beralih kepada Dewi. Perasaan kepada awak dah tak wujud lagi. Puas hati?"

Amyza bungkam. Tak berkedip matanya yang bulat itu. Tidak sangka itu jawapan yang keluar dari mulut si suami yang telah sembilan tahun hidup bersamanya. Panjang lebar jawapan Khairi.

Kesimpulannya, apa yang berlaku sehingga Khairi tak ada perasaan lagi kepada dia, adalah salah dia. Salah Amyza. Salah dia seorang. Khairi tak salah. Khairi ialah mangsa. Dia menjadi lelaki yang kesepian apabila tidak dipedulikan oleh si isteri. Semuanya salah Amyza!

"Baik! Itu saja yang Myza nak dengar. Kita cerai!"

Khairi buat muka tak terkesan apa-apa. Dia biasa-biasa saja. Sikit tak pamer wajah terperanjat. Sikit pun dia tak kesah!

"Cuti sekolah Hanna nanti kami nak balik KL..."

"K..." jawab Khairi ringkas.

Baliklah! Dia peduli apa?

"Balik terus!"

"K..."

Khairi berlalu meninggalkan Amyza di ruang tengah rumah.

Amyza menghela nafas dan terduduk di sofa. Remuknya hati seremuk-remuknya. Perempuan mudah jatuh cinta apabila lelaki mengucapkan kata sayang. Tetapi sekali dia ada perempuan lain, kita seperti sampah yang tidak berharga langsung!

Cinta Paling AgungWhere stories live. Discover now