Bab 2

4.4K 74 0
                                    

Noramyza memandang tubuhnya di cermin besar. Rupa sama sahaja seperti dahulu. Tak banyak beza dari zaman anak dara. Sebelum kahwin sembilan tahun dahulu, begini juga wajah dan tubuh badannya. Tidak gemuk, tidak kurus keding, masih menggiurkan dan masih seksi. Tak tipu punya. Berani cakap sebab berat badannya sama sahaja. Tidak pernah melantun-lantun jarum penimbang. Dia beruntung punya metabolisme tubuh yang aktif dan mengawal daripada terlebih berat. Walaupun sudah punya anak, tetap maintain. Masih meletop.

Dia memusing-musing pula tubuhnya ke kiri dan ke kanan macam model. Gaun kembang separuh lutut turut sama bergoyang mengikut pergerakan tuan pemakai. Suka sahaja dia memakai pakaian separuh- separuh begini. Baju tanpa lengan, seluar separuh lutut, skirt, ini semua pakaian dia sedari kecil sehinggalah menjadi mama orang. Kulitnya yang putih melepak itu sudah biasa terdedah sana sini. Seksi dan seksa juga ada. Dia tidak mewah dengan baju kurung apatah lagi abaya atau jubah. Tidak biasa berpakaian tutup-tutup semua ni. Panas! Bukannya nak nikah atau pergi masjid. Ibu dan abahnya tidak pernah menegur atau menyuruhnya menutup aurat. Suaminya apatah lagi, dari dahulu belikan dia baju-baju seksi.

Suaminya sasau-sasau, jatuh cinta tahap tak hengat hingga ajak nikah cepat-cepat pun kerana tak tahan dengan kecantikan dan keseksiannya. Serius betul. Berkali-kali Azfar Khairi mengaku yang dia terpikat kepada Amyza kerana kecantikannya. Di mata Azfar Khairi, Amyza sangat sempurna, manis dan seksi.

Masa Azfar Khairi memikat, dia memang anak dara meletop. Ramai yang tergila-gilakan dia tetapi yang menjadi pilihan tentulah suaminya yang tinggi kacak lagi berharta. Masa itu suaminya bekerja sebagai pengurus besar di syarikat antarabangsa. Poket penuh you. Dengan rumah dan kereta mewah sudah tersedia. Anak dara mana yang menolak tuah?

Sebab itu apabila Azfar Khairi gila ajak dating, dia tak nak buang masa dan terus cadang kahwin. Suruh pergi jumpa ayah ibunya cepat-cepat. Buang masa bercinta lama-lama. Takut tak jadi aje. Dahlah Azfar Khairi tu hot stuff, lambat-lambat melepas nanti.

Tambahan pula dia pun jatuh cinta bagai nak rak kepada lelaki itu. Jadi buat apa tunggu lama-lama. Suka sama suka, kan?


Sembilan tahun enam bulan terdahulu.

"Saya suka awak. Suka sangat-sangat."

Wah... Rasa hendak pitam Azfar Khairi. Apa tidaknya, terkejut sangat apabila gadis cantik berambut lurus, bermata bulat menawan, bibir mongel merah bak delima merekah, pipi yang gebu berlesung pipit yang cantik menawan, tiba-tiba datang merapat dan mengaku sukakan dia. Baru kali kedua jumpa kut. Jadinya dia kehilangan kata-kata. Membisu sementara. Bukan tak suka, malah teramatlah suka. Dia sudah jatuh cinta sejak pandangan pertama lagi. Dengan perempuan lain dia boleh elak, tapi yang ini gila dia nak tolak. Perfect, weh... Seperti bidadari seksi. Bikin luruh segala iman di dada. Wait... Wait...Wait, berimankah dia?

"Saya suka awak!"

Gadis itu berkata lagi. Kali ini dengan lebih kuat. Sekali lagi dia tergamam dan terpaku. Seperti patung bernyawa.

Cinta Paling AgungWhere stories live. Discover now