Bab 11

11.8K 215 6
                                    

Datin Zahrah sudah selesai makan tengahari. Hari ini Mak Yah masak menu nasi tomato. Berselera dia makan walaupun mereka hanya makan bertiga dengan Pak Mat. Sesekali Datin Zahra mengeluh panjang. Rasa sunyi duduk di rumah besar itu.

Nuha Aleesya menguruskan perniagaan mereka di Kuala Lumpur. Zara dan Luqman pula walaupun dekat, hampir 3 minggu mereka tak balik. Luqman sibuk dengan projek akhirnya, Zara pula dengan aktiviti kampus. Nuqman? Hmmm... entah ke mana menghilangnya.

Perlahan-lahan Datin Zahrah membuka album lama yang tersimpan kemas di laci paling bawah rak televisyen itu. Dia membelek satu-satu gambar anak-anaknya sewaktu mereka kecil.

Luqman Hakim dan Nuqman Hakim. Kelahiran kembar itu sememangnya memeriahkan lagi keluarga mereka yang sewaktu itu hanya menetap di rumah teres setingkat. Lama kelamaan, rezeki mereka semakin bertambah. Semakin banyak peluang perniagaan terbuka buat syarikat kecil mereka sehinggalah sekarang walaupun setelah pemergian suaminya yang tercinta.

Sejak kecil, Luqman dan Nuqman memang tak serupa kembar yang lain. Asal berjumpa, mesti bergaduh. Luqman memang suka rampas barang di tangan Nuqman walaupun benda yang sama jenis, sama warna di beli. Hatta, barang sekecil coklat duit emas 50 sen itu pun hendak dirampasnya. Seperti selalu, Nuqman si abang hanya akan menangis bila barangnya di rampas.

Tapi keadaan itu tidak berlarutan lama. Sejak mereka masuk darjah satu, Nuqman sudah tahu mengelakkan diri. Buktinya, dia bukan sahaja tidak mahu sekelas dengan Luqman malah minta di tukarkan ke sekolah lain! Waktu sekolah menengah pula, Luqman di MRSM Muar manakala Nuqman di Sekolah Alam Shah. Sesudah SPM, Nuqman terus mahu menetap di KL dengan menerima tawaran di UM manakala Luqman di UTM, Johor.

Setiap kali cuti sekolah mahupun cuti semester universiti, mereka bergilir-gilir balik. Kalau Luqman balik, Nuqman tidak. Pendek kata, seboleh-bolehnya mereka mahu mengelak dari bertemu muka. Sebab itulah, hampir tiada gambar mereka berdua yang di rakam bersama.
Tapi, bukan itu yang merisaukan hati tuanya. Yang merisaukannya adalah, Luqman dan Nuqman masing-masing tidak pernah mengaku yang masing-masing mempunyai kembar yang seiras seolah-olah mereka lahir pada hari dan tahun yang berlainan. Entah sampai bila mereka akan berkeadaan begitu, dia sendiri tidak tahu.

Walau bagaimanapun, keseirasan wajah mereka berdua memang sudah banyak menyelamatkan maruah keluarga mereka. Luqman Hakim memang sedikit nakal berbanding abangnya. Tapi dia seorang anak yang sangat patuh dan sayangkan keluarga. Sebab itulah bila diminta oleh Nuha untuk mengahwini Mya Zara di saat-saat akhir majlis pernikahan ingin dilangsungkan, dia hanya menurut.

Datin Zahrah mengeluh lagi. Perlahan-lahan mulutnya menyebut nama Luqman Hakim. Rindu rasanya pada anak bongsunya itu...

***************************************

Luqman terbatuk-batuk tiba-tiba sedang dia khusyuk membaca majalah Ujang keluaran terkini. Zakri di sebelahnya menepuk-nepuk perlahan belakang badannya.

"Bro, kau pehal tengah sengih-sengih baca 'Ujang' tiba-tiba batuk? Kau kena seru dengan ummi kut! Bukan kau lama tak balik bro?"

"Aku busy buat lab la. Bakteria E.coli aku tak nak hidup. Risau kut!" Balas Luqman sambil mengurut-urut perlahan tekaknya. Ummi rindu kat aku ke? Kesian ummi. Mesti sunyi. Perempuan tu pun tak balik juga ke?

Sekilas Luqman hanya memandang kosong ke arah student yang lalu lalang di hadapannya. Rata-rata berjalan membawa sesuatu yang jarang-jarang dia nampak. Kalau bukan coklat, bunga. Ada lori coklat terbalik agaknya dalam UTM pagi tadi.

Kahwin GantiWhere stories live. Discover now