Prolog

21.8K 366 7
                                    

"Ummi! Tolong Nuqman, ummi! Luqman ambil beg sekolah Nuqman!" rengeknya sambil menarik-narik hujung baju kurung umminya yang sedang berdiri di sisi pintu rumah. Dia sedang sibuk menyiapkan bekalan untuk pasangan kembar kesayangannya itu.

"Luqman sayang, jangan buat macam tu pada abang. Bagi balik beg dia. Bukan ke abah dah belikan beg sekolah yang sama untuk kamu berdua? Kenapa kamu nak juga pakai beg Nuqman tu? Hesy... budak ini!"

Luqman buat muka selamba. Sedikit pun teguran ummi tidak masuk ke dalam telinganya. Beg milik abangnya masih kemas dikelek di belakang badannya. Selesai menyarung stoking di kaki, dia senyum lagi. Tanpa menoleh ke belakang, cepat cepat kasut Pallas Jazz yang tersusun di sudut kanan pintu dicapai dan dipakainya.

"Ummi! Luqman pakai kasut Nuqman!"

"Luqman!"

"Alah, ummi juga cakap kasut kami berdua sama saja, kan? Saiz sama, brand pun sama. Tak kisahlah mana-mana pun Luqman pakai."

"Tapi kasut tu aku yang punya! Ummi letak kat situ untuk aku pakai!" Nuqman memberanikan dirinya untuk bersuara. Selalunya, dia hanya membiarkan semua harta bendanya jadi milik Luqman, tapi kali ini dia mahu berkeras. Suka atau tidak, kasut di kaki Luqman itu harus juga dipakainya ke sekolah sebab itu kasut dia! Bukannya Luqman!

"Ooo... ya ke? Tak ada nama pun? Lain kali... tulis nama dulu baru aku tak ambil. Faham?" balas Luqman sambil tersenyum mengejek. Sambil bersiul perlahan, dia mengikat tali kasutnya.

"Kalau aku tulis nama pun, kau ambil juga! Buku latihan aku, semua kau ambil. Kau padam, lepas tu kau tulis nama kau, kan?"

"Ada beza ke nama kau dengan nama aku? Aku padam huruf N, tukar pada L. Bukan susah pun. Jeng... jeng... jeng... terus jadi hak aku!

Luqman tertawa besar. Namun tawanya tidak lama bila kepalanya tiba-tiba disekeh perlahan. Dia mengaduh kesakitan sambil menggosok kepalanya yang sedikit berdenyut.

"Luqman buli abang lagi, ya! Hesy... kamu ni... apalah nak jadi! Akak pun ada juga kawan kembar tapi taklah seteruk kamu berdua ni. Pantang berjumpa mesti nak bergaduh. Agaknya kan ummi, waktu dalam peryt ummi pun mereka ni dah mula berebut barang. Hah... Luqman, tanggalkan kasut tu bagi pada Nuqman. Kamu nikan janganlah besar nanti isteri Nuqman pun kamu nak ambil, sudahlah," leter Nuha Aleesya.

"Tak nak!"

"Pulang semula!"

"Tak nak! Dah ada dekat kaki Luqman, Luqman punyalah!" Luqman berkeras.

"Kamu nampak ni? Nak kena?" Luqman sedikit ke belakang bila penumbuk Nuha benar-benar ditujukan ke arah mukanya.

"Ummi! Tengok kak long ni!"

"Hah... tau pula kamu takut ya. Dengan si Nuqman ni kamu berani sangat! Sudah tu Luqman, kita dah lewat ni. Cepat buka kasut tu. Bagi pada Nuqman."

Luqman tarik muka. Perlahan-lahan, dia tunduk untuk membuka kasut dan kemudian mengatur langkah malas-malas ke hadapan pinttu rumah teres dua tingkat itu.

Nuqman tersenyum kemenangan di sisi kakak sulung mereka, Nuha Aleesya. Luqman pula rasa sakit hati melihat wajah itu tersenyum mengejek ke arahnya. Tidak lama kemudian dia kembali tersenyum sendiri. Setibanya di hadapan pintu, perlahan-lahan dia tunduk di hadapan Nuqman sebelum mencapai kasut di hadapannya dan berlalu ke arah belakang rumah dengan dua pasang kasut di tangan kanan dan kirinya. Dari jauh, Nuqman kembali menjerit seperti tadi.

Nuqman menarik nafas panjang. Kenangan seperti itu acapkali menghantui harinya. Sampai bila dia harus membenarkan Luqman sesuka hati mengambil segala haknya? Sehingga ke hari ini pun, sekali sekala ada juga barang miliknya yang dijumpai di bilik adik kembarnya itu. Ahh... Luqman. Dari kecil hingga sekarang memang perampas! Tidak dapat cara baik, dia guna cara licik.

Dan pada hari ini, suka atau tidak hasrat hatinya mesti diluahkan juga pada kedua orang tuanya. Kalau dibuatnya kata-kata kak long jadi kenyataan, bukankah dah jadi kes haru nanti? Manalah tahu, tanpa dia sedar nama Mya Zara juga sudah lama sampai pada telinga Luqman. Takut pula seandainya dalam diam kembarnya itu turut menaruh hati pada gadis itu. Siapa tahu, kan?

Dengan status sebagai perampas yang tega, mungkin saja dalam diam Luqman boleh menyamar sebagai dirinya, lalu bertemu Mya Zara untuk memikat hati gadis comel itu. Lelaki kasanova, kaki perempuan macam Luqman bukan satu perkara mustahil untuk dia berbuat begitu. Bila memikirkan itu semua, hati Nuqman makin jadi tidak keruan.

Cakap saja, Nuqman! Abah dengan ummi tentu faham kenapa kau terpaksa buat begitu!

Nuqman angguk perlahan seakan-akan mengiakan kata hatinya. Walau apa pun terjadi, dia akan pastikan yang Mya Zara hanya akan jadi hak miliknya yang mutlak sebelum dirampas oleh 'muka fotostatnya'!

Kahwin GantiWhere stories live. Discover now