Cikgu dan Bekas Kekasih

865 2 0
                                    

KANTIN tempat aku berkerja merupakan salah satu sebab untuk bertemu dan bertanya khabar dengan cikgu-cikgu yang pernah mengajar dari tingkatan satu hingga tingkatan enam. Tiba-tiba perasaan rindu memenuhi ruang minda. Kotak memori dibuka satu persatu sekadar untuk mengimbau kenangan yang mengajar serba sedikit perihal kehidupan termasuk cinta.

Cikgu yang sporting ialah seorang cikgu yang bisa berkongsi suka-duka perasaan orang bercinta dan mendengar luahan hati para pelajar. Tidak kiralah sama ada cinta itu digolongkan dalam kategori cinta monyet apa-apa percintan sekalipun.

"Awak masih bermakwekan budak tu lagi ke?" Ruang masa seakan terhenti dan membawa aku ke juzuk yang lain. Soalan dari mulut Cikgu Zarina, guru bahasa Melayu tingkatan enam dulu, seperti telah menampar muka wajah ini.

"Eh dah lama dah tak bermakwekan dia cikgu. Sebelum masuk universiti lagi," tenang pula jawapan aku dan jelaslah ayat tadi hanya melebih-lebih. Sejujurnya aku ingatkan Cikgu Zarina telah mengetahui status perhubungan aku dengan bekas kekasih tingkatan enam tersebut.

"Kenapa?" Soalan yang ringkas, padu, menusuk kalbu dan berbahaya bagi bot-bot kecil.

Aku akhiri perbualan itu dengan sengihan tanpa jawapan. Aku panjatkan doa supaya Cikgu Zarina tidak bersangka buruk terhadapku yang naif serta tiada rupa.

Beberapa hari selepas peristiwa itu, hidup aku normal dan tiada apa-apa perubahan. Namun, pertanyaan Cikgu Daud sekali lagi menjadikan aku sedikit janggal. Cikgu Daud ialah suami kepada Cikgu Zarina dan mereka sememangnya mengambil tahu perihal perhubungan cinta anak didik mereka. Kiranya kisah percintaan aku dan bekas kekasih dahulu sememangnya masyhur juga kot. Kahkahkah

"Awak dah tak bermakwekan dia lagi ya?"
Aku angguk dan sengih.
"Macam mana perkara ni boleh berlaku ni?" Sambil ketawa dia berseloroh dan memberi kesan yang agak dalam. Tapi peduli apa aku, kisah lama.

Aku hormat Cikgu Daud atas sebab beliau merupakan guru yang menyedarkan pelajar dan mempersoalkan tentang pelbagai perkara. Manakala isterinya, Cikgu Zarina ialah seorang yang bersopan-santun serta lemah-lembut layanannya terhadap pelajar.

Aku masih ingat isu hangat yang dipersoalkan oleh Cikgu Daud ketika mengajar dengan gaya santai beliau iaitu kenduri kahwin.

"Kenduri kahwin elok dibuat secara meriah atau biasa-biasa saja?" Dengan gaya yang tenang dia bertanya. Lalu bunyi riuh menerjah atmosfera di dalam kelas ketika itu. Dia hanya tersenyum selepas melontarkan soalan selingan ketika mengajar bagi menghilangkan kebosanan subjek Geografi Alam Sekitar Fizikal.

Para pelajar riuh dengan buah fikiran masing-masing. Majoriti perempuan bersetuju dengan mengatakan ya kepada majlis kenduri besar-besaran dengan hujah ianya diadakan sekali seumur hidup. Manakala para pelajar lelaki tenang mengatakan tidak perlu membazir. Itu sahaja jawapan yang bermain di fikiran ketika itu.

"Baiklah, semua ada jawapan masing-masing. Saya tak nafikan kenduri itu perlu diadakan namun kita kena fikir yang berumahtangga bukanlah untuk sehari tetapi bermula selepas kenduri tersebut. Bermakna, awak semua yang bakal berkahwin ni perlu fikir tentang kewangan terutamanya lelaki sebagai ketua keluarga," jelas Cikgu daud panjang lebar.

Pelajar perempuan yang kebanyakannya pembaca novel cinta agung pada ketika tidak dapat menakwil hujah cikgu tersebut. Manakala pelajar lelaki tersengih-sengih sebagai menerima hujah Cikgu Daud seperti memihak kepada mereka.

"Jadi, berpada-padalah dalam hal kenduri nanti. Janganlah nak buat kenduri sehari sampai kena berhutang sampai mati. Duit bukan benda yang senang. Kamu lelaki janganlah malas belajar sebab nanti kamu yang akan tanggung keluarga," tambah Cikgu Daud. Pelajar lelaki serentak menundukkan pandangan ke lantai tanda terasa perasaan pedih yang mendalam.

"Pelajar perempuan jangan pula ikut sangat drama cinta dalam tv tu sampai berangan terlebih," sambil tergelak Cikgu Daud menuturkan ayatnya. Pelajar perempuan mengekek ketawa sambil berpandangan sesama sendiri.

Cikgu Zarina hanyalah guru tipikal biasa yang kadang-kadang sempat bergosip dengan pelajar perempuan serta bercerita perihal rumah tangganya bersama Cikgu Daud. Pernah dia menceritakan bahawa suaminya itu seorang yang tegas dan menekankan hal akademik anak-anak mereka. Perkara yang paling mengejutkan aku dan beberapa rakan yang lain adalah kisah tentang Cikgu Daud tidak membenarkan kewujudan televisyen di rumahnya kerana dia percaya media itu adalah pengganggu paling besar bagi seorang pelajar. Namum, Cikgu Daud bukanlah sekejam itu. Dia sempat memuatturun video-video kartun, movie dan juga rancangan komedi di sekolah untuk ditonton bersama-sama anaknya pada hari cuti. Hal yang sedemikian telah menambahkan lagi darjat hormat aku kepadanya, sekaligus dia menjadi contoh yang baik kepada pelajar yang tak baik seperti aku.

Pembancuh AirDonde viven las historias. Descúbrelo ahora