Lima tahun yang lalu...
Suasana tengah hari di Hospital Tengku Ampuan Najihah kedengaran agak riuh-rendah dengan suara para pelawat yang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan kepada pesakit yang datang melawat. Namun, secara tiba-tiba suasana bertukar menjadi huru-hara apabila mereka dikejutkan dengan bunyi loceng kebakaran. Para petugas hospital turut bingung dengan apa yang sedang berlaku.
Masing-masing mula gelisah. Ada yang berlari mencari pintu keluar, ada yang pergi mendapatkan ahli keluarga mereka, dan ada yang terus berjalan tanpa arah sambil bertanya tentang apa yang sedang berlaku kepada setiap orang yang ditemui. Bahkan, ada juga yang hanya diam terpinga-pinga tanpa melakukan apa-apa. Tidak terkecuali para petugas keselamatan, mereka bergegas mengenal pasti punca loceng kebakaran berbunyi dan memeriksa sama ada terdapat kebakaran atau tidak.
"Sebenarnya apa yang terjadi?" soal Hawwin seraya berjalan menghampiri Zef dan seorang pengawal keselamatan yang berusia 50-an.
"Kenapa loceng berbunyi? Ada kebakaran ke?" soalnya lagi, ingin tahu.
"Pak cik, apa yang terjadi?" tanya Zef kepada lelaki separuh umur itu pula.
"Pak cik pun belum pasti. Pihak keselamatan tengah semak sekarang ni apa punca loceng berbunyi. Jangan panik, doktor," balas pak cik tersebut, cuba menenangkan mereka berdua.
Dahi Hawwin berkerut kerana pelik mendengar jawapan itu.
"Tak ada kebakaran, kan?" tanya Zef, cemas.
"Rasanya tak ada. Mungkin ada orang yang sengaja tekan loceng kebakaran," duga pak cik tersebut.
"Tapi kenapa?" soal Zef, hairan.
_______________________
"Perhatian! Perhatian! Semua orang diminta berkumpul di lobi. Sila bertenang dan mematuhi arahan kakitangan keselamatan serta petugas hospital. Sila berkumpul di lobi hospital segera. Bantu pesakit, warga emas, dan kanak-kanak jika perlu. Kerjasama semua pihak amat dihargai. Terima kasih."
Pengumuman melalui pembesar suara kedengaran jelas, menarik perhatian semua orang yang masih berada di dalam bangunan Hospital Tengku Ampuan Najihah tersebut.
"Doktor Aini! Apa dah jadi ni? Kenapa semua orang disuruh berkumpul di lobi? Ada emergency apa? Kebakaran ke?" tanya Nurni, ingin tahu.
Aini yang sedang bercakap dengan beberapa orang jururawat langsung menoleh ke arah empunya suara. Lantas kedua-dua bahunya dijongketkan bagi mengisyaratkan bahawa dirinya pun tidak tahu, sebelum dia membalas dengan selamba.
"Entahlah, Nurni. Akak pun tak tahu."
"Eh! Tadi aku nampak kereta polis dengan kereta bomba dekat tempat parkir. Mungkin juga ada kebakaran," celah Hairel tiba-tiba.
Tumpuan semua orang teralih pada sosok dirinya yang muncul entah dari mana.
"Tunggu! Pihak hospital dah pastikan. Tak ada pun kebakaran," ujar Aini setelah berbicara dengan pihak hospital melalui telefon pintarnya.
"Maksudnya ada orang yang sengaja tekan alarm tanpa sebab? Ish... Orang ni memang menyusahkan. Tak ada kerja langsung! Dia ingat benda ni boleh buat main-main ke?" marah Hairel sambil menggenggam penumbuk dan menumbuk tapak tangannya yang sebelah lagi.
"Ada seorang budak perempuan tu. Dia yang tekan loceng. Pihak hospital dah jumpa dia. Ada, tengah sembunyi dalam bilik stor petugas kebersihan," beritahu Aini tanpa menoleh ke arah mereka. Jari-jemarinya lincah menaip pesanan di dalam kumpulan WhatsApp para petugas hospital.
