BAB 2 & BAB 3

7.5K 252 1
                                    

BAB 2

"HUWAA!!! Mana idea ni?!" Dian menjerit sambil menekup muka. Setelah menggumam buat seketika, dia kembali menjatuhkan tangannya. Bebola matanya ditalakan kembali pada monitor skrin komputer riba. Dan buat kesekian kalinya, dia mengeluh. Kepalanya sudah pening-pening lalat, sudah nampak bintang...tetapi monitor pada skrin itu tetap hanya menampakkan satu patah perkataan sahaja.

-Bab 1-

Ya, hanya perkataan itu! Perkataan yang menggambarkan betapa dia sebagai seorang novelis kini sedang dalam kekeringan idea, atau dalam istilah betulnya digelar sebagai writer's block. WB. Dua patah perkataan yang amat digeruni oleh mereka yang sama profesion dengannya. Dan kini dia, Dian Damia sedang berjuang dengan keadaan yang sangat menggerunkan itu.

Sebelum ini, yakin benar dia bahawa kedatangannya ke The Weenee yang tenang ini bakal menitipkan berduyun-duyun idea buatnya. Namun ternyata dia tersilap dalam membuat perhitungan. Bukan sahaja dia tidak mendapat sebarang idea, malahan moodnya juga hilang. Mahu berjalan-jalan ke bandar, tidak pula ada hati. Lagipun dia sudah merancang mahu memulakan penjelajahan di bumi Thailand Selatan ini pada keesokan hari. Fikirnya, dia mahu menggunakan hari ini untuk merencana deraf novel. Tetapi...deraf apanya kalau idea pun tidak nampak batang hidungnya?

"Habislah...habislah aku. Kalau tak dapat meet dateline ni, confirm Encik Raz tu akan membebel bagai nak rak," rungut Dian perlahan. Mindanya mula menerawang pada wajah Encik Razlan, editor 'kesayangan'nya yang tidak akan pernah berputus asa dalam mencari dan menghubunginya selagi dia tidak menyiapkan manuskrip novel keempat yang perlu disudahkan dalam masa tiga bulan lagi.

Perlahan-lahan Dian bangkit dari duduknya dan menghampiri birai beranda. Anak matanya ditebarkan pada kolam renang yang terletak cuma beberapa meter jauhnya dari bilik. Kedua-dua belah tangannya diangkat ke atas, menggeliat meregangkan mana-mana urat yang mulai kebas.

Bush!Bunyi air yang bergema mematikan gerak tangan Dian. Semerta matanya membulat melihat pemandangan di hadapan mata. Tidak jauh dari kedudukannya berdiri, dia dapat melihat dengan jelas susuk sasa belakang tubuh seorang lelaki yang sedikit demi sedikit melangkah keluar dari kolam renang. Terserlah urat-urat jantan, lengkap dengan lengan berotot yang benar-benar menonjolkan kegagahan seorang lelaki. Dian menelan air liur. Adegan ini cuma pernah dilihat di dalam televisyen, bukan di dalam realiti. Dan...sungguh jantungnya mahu tercabut!

Seakan terasa diperhatikan, lelaki tersebut menoleh sedikit ke belakang. Dian tersentak sebelum cepat-cepat menunduk dan membongkokkan tubuh, bersembunyi di sebalik birai beranda.

"Fuh...." Dian mengelap dahi yang seperti berpeluh. Berdegup kencang jantungnya. Takut juga tertangkap mengintai lelaki mandi.

'Isy, memalukan saja kamu ni, Dian', gerutu hati Dian.

'Tapi bukannya aku sengaja pun. Dah dia duk tayang body kat situ, siapa suruh?' Kali ini suara hati yang lain pula membangkang.

Matanya dikerling ke belakang, mahu memastikan kalau-kalau lelaki itu masih memerhati. Setelah mematikan keadaan selamat, Dian mula merangkak ke arah komputer ribanya, mengebasnya dan pantas masuk ke dalam bilik. Pintu luncur ditutup rapat-rapat.

*****

PINTU yang sudah tertutup rapat itu diperhati melalui ekor mata. Hujung bibirnya membentuk senyuman kecil. Entah kenapa, hatinya tercuit dengan tingkah gadis yang baru sahaja tergopoh-gapah melarikan diri ke dalam bilik. Sudah mengintai, mahu lari pula, ya? Siaplah awak, cik bilik sebelah.

*******

BAB 3

'EH, MAMAT tu kenapa?' desis hati Dian. Melalui hujung mata, dia memerhatikan lelaki yang sedari tadi asyik sahaja merenungnya. Sejak dia menapak masuk ke dalam Maroc De' Nest Home sehinggalah ke saat-saat dia selesai menghirup kuah tom yang kung pesanannya tadi, melahap Maroc Salad yang pedas itu, meminum air sejuknya hingga ke titisan terakhir dan tersadai kekenyangan. Tetapi...tetap juga lelaki aneh itu melahapnya dengan panahan mata yang tajam. Apa tidak ada kerja lain yang lebih munasabah ke? Nak juga tengok muka comot aku ni?

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now