*****

"WELCOME to Thailand, Dian Damia. Finally, you're here."

Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi gajah ini, hati Dian bergelojak dengan rasa teruja. Kalau tidak bersemangat, takkanlah dia beriya-iya benar mengambil kursus pendek Bahasa Thai sebelum datang ke sini. Dan juga menaiki kereta api yang mengambil masa hingga dua belas jam untuk tiba. Yalah, katanya mahu ada feeling backpack bagai, takkanlah mahu menggunakan kapal terbang, desis hati kecilnya sendiri.

Sepasang matanya tertancap pada papan tanda Hat Yai Junction yang tergantung. Teringat Dian pada kata-kata seorang sahabatnya. Stesen keretapi Hat Yai tidak digelar sebagai Hat Yai Station kerana stesen ini merupakan tempat pertemuan dan pertukaran keretapi ke banyak tempat. Dari sini orang ramai boleh ke Yala, Bangkok, Thung Song dan juga Butterworth. Dan kerana itu ianya digelar sebagai 'Junction'.

Kemudian Dian mengalihkan pula pandangan pada potret King Bhumibol Adulyadej dan Queen Sirikit yang lebih besar daripada manusia sebenar, dihiasi indah dengan kalungan bunga kuning yang biasanya digunakan dalam upacara keagamaanBuddha dan Hindu. Terbit secalit rasa kagum dalam hatinya. Rakyat Thailand benar-benar menyanjungi raja mereka. Dan Dian pasti, keluar sahaja dia daripada stesen ini, pasti dia akan sentiasa disambut dengan potret raja dan permaisuri tersebut.

"Okey, first thing first, cari SIM card dulu," ucap Dian perlahan. Ya, tidak mahulah dia menggunakan international roaming yang memang terkenal mahalnya. Lebih baik rembat sahaja SIM card yang cuma berharga THB10 atau RM1 di Seven Eleven. Jimat dan tidak membazirkan wang.

Setelah beberapa minit merayau di Bandar Hat Yai yang klasik, Dian mengambil keputusan untuk pergi mendaftarkan diri di hotel yang telah terlebih dahulu ditempah. Lagipun, rancangannya hari ini hanyalah berehat-rehat sahaja sebelum memulakan hari menjelajah bumi asing ini di kemudian hari. Tenaga harus disimpan, kalau tidak dia juga yang semput nanti. Dan pastinya sia-sia sahaja segala rancangannya.

*****

"KHOP KHUN KA (Terima kasih)."

Beberapa keping not Baht dihulurkan pada pemandu tuk-tuk yang baru sahaja menghantarnya ke The Weenee. Sambil memerhatikan tuk-tuk yang memaparkan iklan Red Bull itu berlalu pergi, selendang bermotif bunga yang melilit kepalanya dibetulkan. Kemudian cermin mata hitam yang tersangkut elok di atas hidungnya dijatuhkan perlahan, lantas menampakkan sepasang matanya yang hitam pekat. Nafasnya dihela panjang, menikmati pemandangan dalam taman yang mengelilingi hotel butik pilihannya kali ini.

Kala memalingkan tubuh, lobi sederhana besar dikelilingi dengan kolam kecil yang menempatkan ikan koi menyambut ketibaannya. Hotel ini tidaklah terlalu besar, tetapi menepati citarasanya. Tidak terlampau dekat dengan hiruk-pikuk Bandar Hat Yai, dan tidak juga terlalu jauh. Just nice, kata orang putih. Ya, boleh sahaja kalau dia memilih Centara atau Lee Garden Plaza yang terletak betul-betul di tengah kesibukan Bandar Hat Yai.Tetapi bukanlah itu pilihannya kerana dia ke sini mahu mendapatkan ketenangan, bukannya mahu menadah telinga mendengar bunyi hingar-bingar sebuah bandar.

Lagipun dengan seni bina moden yang disertakan sedikit unsur-unsur Thai, dikelilingi pula dengan pohon-pohon menghijau, The Weenee betul-betul membuatkan dirinya terasa berada di dalam hutan. Tempat yang mungkin dapat menghadiahkannya dengan idea-idea dan mood yang sangat diperlukan kala ini.

"Sawaddi ka (Helo)."

Satu suara menyapa lembut, membuatkan Dian terpempan seketika. Dia menoleh. Di hadapannya, seorang gadis manis berpakaian tradisional Thailand sedang menunduk hormat dengan kedua-dua belah telapak tangan dirapatkan ke dada. Dian kenal akan gerak laku tersebut. Itulah yang digelar sebagai 'wai' oleh masyarakat setempat. Ianya merupakan suatu adat budaya bagi penduduk Thailand sebagai tanda menghormati orang lain.

Tanpa membuang masa, Dian turut melakukan perkara yang sama demi rasa hormatnya terhadap tuan rumah. "Sawaddi ka."

Gadis penyambut tetamu itu membalas sapaannya dengan senyuman lebar.

"Holiday, miss?" tegur gadis itu dengan suara yang kedengaran mesra. Sebelah tangannya menggamit seorang lelaki yang sedang berjalan mendekati mereka.

Dian turut melarikan pandangan ke arah lelaki tersebut yang dia kira bekerja sebagai bell boy. "I wish...but nope, I'm here for work."

Kepala si gadis penyambut tetamu terangguk-angguk mendengarkan jawapan Dian.

"Yin dee dawn rap (Selamat datang)." Lelaki yang difikirkan sebagai bell boy tadi tiba-tiba menegur. Tangannya pantas sahaja mengambil bagasi milik Dian dan sama-sama membuntuti langkah Dian yang kini sudah menghampiri meja kaunter.

"Khop khun ka." Sempat Dian berterima kasih pada bell boy tersebut sebelum dia kembali menghadap wajah staff di kaunter pendaftaran hotel.

"Sawaddi ka. I would like to check in."


CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now