PROLOG & BAB 1

14.6K 284 1
                                    

PROLOG

"E-BAH! (PEREMPUAN SIAL!)"

Serentak dengan jerkahan itu, tubuh Dian terbanting jauh dan menghempap jalan tar yang keras. Menyeringai dia menerima habuan atas tindakan drastiknya tadi. Tulang-temulangnya bagaikan patah satu per satu. Dari kejauhan pula telinganya dapat mendengar dengan jelas satu suara yang menjerit-jerit memanggil namanya.

"Jahanam kau! Apa kau nak buat, hah???"

Mendengar tengkingan itu, Dian cuba mengangkat kembali tubuhnya. Bibirnya diketap kuat, cuba melawan rasa sakit yang mencucuk-cucuk. Baru sahaja dia menengadah, rahangnya terlebih dahulu menjadi mangsa. Direngkuh cukup kasar sehingga mukanya terangkat sendiri.

"You want to play rough with me, huh?"

Semerta Dian dapat merasakan anak matanya membuntang luas. Setiap inci tubuhnya kaku dan keras. Muncung pistol yang melekat betul-betul di atas dahinya benar-benar merenjatkan seluruh nadinya. Nafasnya terasa terhenti di celah kerongkong. Air matanya mula bertakung di birai mata, menanti saat sahaja untuk dirembeskan.

"Dian!!! Dian!!!" Lagi suara itu berkumandang kuat, menyeru namanya berulang kali dengan cukup terdesak. Perlahan-lahan Dian menggerakkan bebola mata ke arah lelaki itu yang sedang meronta-ronta dan memekik-mekik sambilcuba menahan diri daripada terus terseret pergi.

Bibir Dian terketar-ketar. Dia mahu memanggil nama lelaki itu. Dia mahu memohon untuk diselamatkan. Dia mahu terlepas daripada semua ini!

"Dian!!!"

Jeritan terakhir itu mengiringi tubuh sasa lelaki tersebut yang akhirnya melurut ke bawah, terkulai layu bersama sepasang mata yang semakin lama semakin terkatup.

Dian terlopong buat seketika sebelum terasa belakangnya dihentak kuat. Pejam celik, pejam celik matanya cuba menahan rasa ingin hanyut. Ya, hanyut dalam kegelapan yang semakin mencengkam dan meninggalkan seorang Dian Damia dalam kengerian yang mungkin baru sahaja bermula.

*****

BAB 1

"BETUL ke Dian nak pergi sendiri ni? Tak boleh ke tunggu akak dan abang ada masa dulu, kemudian kita pergi sama-sama?"

"Ala, akak ni! Macamlah Dian tak pernah pergi mana-mana sendirian berhad."

"Yalah, tapi..."

"Kak Liza...." Lengan kakak angkatnya dipaut mesra. "Dian pergi ni demi kerja Dian, tau. Sambil...jalan-jalan, shopping-shopping of course..."

"Eh, budak ni! Orang cakap serius, dia main-main pula."

Terburai tawa dari bibir mungil Dian Damia. Penuh kemanjaan dia memeluk Kak Liza seerat mungkin dan berbisik. "Dian pergi dulu, kakak kesayanganku."

Usai menyudahkan kata, Dian meloloskan diri daripada rangkulan dan menyambar beg sandang North Face 45L miliknya yang tersadai di lantai.Kemudian dia berlari-lari anak ke eskalator yang menuju ke arah Platform 2, platform yang menempatkan keretapi Senandung Langkawi. Tangan kanannya diangkat tinggi, melambai-lambai tanpa berpaling ke belakang.

"Isy, budak ni, Bukannya nak bye-bye betul-betul. Asyik main-main aje," omel Liza.

"Biarlah dia tu. Macamlah awak tak kenal si Dian tu," balas Azmi, suaminya yang sedari tadi menjadi pemerhati setia untuk adegannya dan Liza.

"Tapi dia tu asyik main-main sangat, naik risau saya jadinya..." suara Liza sedikit berbaur kegusaran. Entahlah, kali ini agak sukar baginya untuk melepaskan Dian pergi. Intiusinya seakan-akan dapat menebak sesuatu yang tidak enak, tidak kena dan bagaikan bakal merembat siapa Dian Damia yang sebenarnya.

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now