Teroka Bintang

277 2 3
                                    

Bayangkan, penceritaan kisah ini dibantu oleh sebuah kamera. Kamera ini halimunan dan tidak wujud di mata watak utama kisah ini. Ianya hanya wujud di dalam kotak fikiran kita untuk mewujudkan sedikit percikan imaginasi.

Baiklah, kita fokuskan kamera kita ke sebuah padang lapang di sebuah desa terpencil, tempat para penggembala melepaskan ternakan mereka untuk meragut rumput. Kamera kita tadi mula mengesan kelibat seorang lelaki di pinggir padang itu. Fokus kamera mula terarah kepada lelaki itu dan mengunci kedudukannya agar tidak terlepas daripada merakam segala gerak-gerinya.

Ceritanya bermula (Aksi!)

Lelaki itu sederhana tingginya dan berambut keriting. Dia berdiri di tepi keretanya memerhatikan persekitaran. Sesekali dia menoleh ke arah bunyi rumput dilibas bayu malam. Gusar kehadiran tanpa temannya pada malam itu kurang disenangi oleh 'pemastautin' padang itu.

Setelah yakin dengan keadaan sekitar, dia mengorak langkah ke tengah padang dan duduk beralaskan rumput yang tidak kelihatan warna hijaunya dek ditelan kegelapan malam.

Dia mengibas-ngibas tepi seluarnya, terasa seluarnya akan sesuatu. Mungkin perasaannya saja, gumam lelaki itu sendirian. Dia sayangkan seluar berwarna perang itu. Seluar pemberian seorang yang istimewa.

Pandangan matanya menjengah langit. Bintang-bintang malam ini tidak bergemerlapan seperti selalu. Awan tebal meliputi langit, melindungi baki-baki cahaya yang cuba mencapai bumi.

Memerhatikan bintang atau nama lainnya 'stargazing' merupakan hobi lelaki itu bersamanya isterinya, meskipun mereka tidak pernah menghafal atau mengkaji nama-nama buruj atau bintang yang terhampar di seluruh dataran alam tidak bertiang itu.

Isterinya akan mengheretnya untuk berkunjung ke sini hampir setiap hujung minggu. Tidak dia merungut lantaran dia turut menikmati pengalaman merenung bintang-bintang di langit. Sambil memerhatikan langit, mereka akan berbual mengenai apa yang terjadi sepanjang minggu. Dia bekerja pada waktu malam, manakala isterinya hanya akan tamat syif ketika senja. Bagi mereka, aktiviti memerhatikan bintang itulah saat-saat keemasan untuk meluangkan masa bersama setelah saban hari dipisahkan dek kekangan tugasan.

Lelaki itu menyeluk saku, mengeluarkan sekeping foto.

Namun imej yang terpapar di foto itu tidak berapa jelas. Ah, betapa cemburunya kegelapan malam pada kita!

Fokus kamera ditambah. Mod malam juga dipasang untuk membantu penceritaan kita. Kelihatan seorang wanita tersenyum manis dalam foto itu.

Bersambung...(Aksi!)

Lelaki itu memerhatikan foto dalam pegangannya. Senyuman wanita itu mampu menawarkan duka yang bertandang dalam setiap empunya hati yang memandangnya. Malangnya itu mustahil untuk terjadi lagi. Selamanya. Wanita itu sudah pergi, menghadap Ilahi. Barangkali sedang menunggu lelaki itu di pintu syurga untuk berpimpin tangan menuju alam yang kekal nikmatnya. 'Stargazing' selepas ini hanya aka nada dia seorang diri, bukan berdua seperti sedia ada sebelum ini. Cahaya bintang tidak akan melimpahi pemilik wajah mulus dalam foto itu lagi.

Air mata mula mengalir perlahan-lahan di pipi lelaki itu dan membasahi jambang nipisnya. Tidak dihiraukannya hingus yang meleleh daripada hidungnya. Tangisannya memecahkan keheningan padang lapang. Sayup-sayup, kedengaran suara bintang-bintang turut menangis, hiba melihat keadaan lelaki itu yang mengerekot didakap kesedihan.

Fokus kamera mula meninggi. Semakin lama semakin kecil kelihatan susuk tubuh lelaki itu lalu meninggalkannya merapap ditelap kesunyian malam.

Ahasveros Asraf


RomantikaHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin