Bab 3 + Bab 4

10.3K 230 21
                                    

3

Rumahnya dijilat api besar. Keriuhan suara orang terpekik terlolong membingitkan suasana. Isi dalam rumah habis terbakar. Satu persatu wajah orang-orang kesayangannya muncul ditubir mata. Mula-mula sekali, wajah ibunya, diganti dengan wajah Mak Nah, orang gajinya, seterusnya, Bang Man, pemandu peribadi keluarga, lagi wajah Pak Tam, tukang kebunnya, dan akhir sekali wajah Razak, ayahnya. Masing-masing sedang meraung kesakitan. Muka mereka melecur, badan mereka terbakar. Di depan matanya, satu persatu insan yang disayanginya tumbang dalam kesakitan yang tidak terperi.

"Papa!" Jo menjerit seraya tersedar. Badannya sakit-sakit, kakinya kejang, tangannya lenguh dan dia sedang terbaring di atas katil. Dia memandang siling lalu ditebarkan pandangannya ke sekeliling. Segalanya serba putih.

Kret! bunyi pintu bilik ditolak. Dia mengerling sekilas. Ada seorang wanita dengan rambut diikat tocang, memakai uniform serba putih, nurse agaknya.

"Eh, encik dah sedar?" kata perempuan itu sedikit terkejut. Lalu, ditekannya interkom memanggil seseorang di luar. Tidak lama kemudian, masuk dua orang lelaki memakai jaket kulit berwarna hitam, mengenakan kaca mata hitam dan menyarung glove di tangan.

Jo mengerutkan dahi. 'Siapa mereka?' Getus hati kecilnya. Tidak semena-mena perempuan berpakaian serba putih tadi memegang tangannya. Dikerlingnya ke arah wanita itu, namun dia hanya tersenyum. Sinis senyumannya. Wanita itu mendekati telinganya, lalu dibisik sesuatu,

"Ini dendam, dendam." Sejurus selepas perempuan itu mengucapkan kata-kata itu, diangkatnya pisau yang sedari tadi disorok di belakang badannya tinggi melepasi kepala, lalu dihayun laju tepat ke arah perut Jo. Zup!

***

Zariqa memandang lelaki di hadapannya dengan pandangan yang serius. Padanya, kata-kata lelaki ini ada sesuatu yangtidak kena. Setiap kali lelaki ini menyatakan sesuatu, riak wajahnya berubah-ubah, seolah-olah ada menyorokkan sesuatu. Puas ditanya soalan itu ini, jawapan lelaki itu masih sama.

"Khidir, one last question. Awak betul-betul tak tahu menahu macam mana lelaki Jepun tu boleh mati?" tanya Zariqa.

"Ye puan.."

"Tuan, please."

"Ya tuan. Dah berapa kali saya cakap, saya tak tau tuan, tak tau!" Khidir seperti hilang sabar. Entah kali ni dah berapa kali Zariqa bertanya soalan yang sama.

Zariqa hanya mengangguk. Matanya dapat menangkap sesuatu. Setiap kali Khidir menjawab pertanyaannya, dia tidak pernah bertentang mata dengannya. Kelakuan ini diperhatikan saja, dan dicatit sebagai laporan lanjut.

"Baiklah Khidir. This time, saya beri awak peluang. Awak boleh balik." Kata Zariqa tegas. "Ismail, show him the door."

Khidir lega kerana dia tidak ditangkap. Dia takut benar kalau-kalau dimasukkan ke dalam lokap. Dia tidak mahu semua itu terjadi.

"Oh ya Khidir.." Zariqa berjeda. Khidir menoleh ke belakang.

'Apa lagi dia ni nak?' bisik Khidir dalam hati.

"..saya cuma nak ingatkan, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua!" kata Zariqa. Sinis.

Walaupun terkejut, Khidir cepat-cepat mengawal riak wajahnya. Dia hanya mengangguk. Lalu, langkahnya dipercepatkan. Kalau boleh, lebih cepat dia keluar, lebih selamat dirinya. Dia tidak mahu tertangkap bodoh.

-----

Pintu bilik Dato Ehsan terbuka. Dato Ehsan sedikit terkejut, tapi diendahkan saja. Dia tahu mesti ada hal mustahak sehingga lelaki itu berani menerjah sebegitu rupa. Dia berlagak tenang. Dihadapannya kini berdiri Khidir, lelaki yang dianggapnya sebagai budak hingusan.

ROS - sebuah novel Naufal AzizeWhere stories live. Discover now