"Kenapa diam saja? Awak tak suka saya, ya?

 Kalau begitu tak apalah, saya pergi. Orang tak suka kenapa kita hendak mengharap." Gadis itu memusingkan tubuh kemudian mula mengatur langkah. Merajuk. Buat malu aje berlaku jujur.

"Hei... Jangan pergi, saya pun suka awaklah! Awak cantik dan..."

"Dan apa?" Gadis yang sudah hendak pergi itu berpaling semula. Naklah dengar sampai habis. Orang memuji tu... Rugi kalau tak tahu sampai akhir. Bukan selalu lelaki pujaan hendak puji dengan ikhlas.

"Dan... awak sek... errr... seksi sekali," sambung Azfar Khairi, jujur.

Langsung si gadis berpaling dan pergi dengan laju.

"Gatal!" marahnya sepatah.

"Hei, tunggulah! Saya pun benar-benar suka awaklah!"

Khairi pecut langkah mengejar si gadis. Boleh tahan si cantik seksi itu pecut kakinya. Jauh juga untuk dihambat. Buk! Tubuhnya tersadai di tengah jalan. Boleh pula tiba-tiba kakinya terpeleot. Aduh! Malang sekali.

Dia tersedar. Eh... Di atas lantai rupa-rupanya, bukan di atas jalan. Huh, jatuh katil! Mimpi lagi. Mimpikan orang sama seperti semalam!

Muka disapu dengan tangan beberapa kali.

 Baru sedar yang hari sudah cerah. Mata memandang muka jam bulat di dinding.

"Oh my God... Kesiangan lagi!"

Bergegas Khairi bangun, masuk ke bilik air, mandi dan bersiap. Semalam lewat tak mengapa, jadual kerja tidak padat. Hari ini haru! Ada mesyuarat waktu pagi. Bos-bos besar, pengarah-pengarah semua turun. Mahu kena sambal cili padi dia sekejap lagi.

Mimpi perempuan cantik punya pasallah ni. Dua malam mimpikan orang yang sama, dua hari juga pergi kerja lambat. Kalau jumpa perempuan ni harus dia tempeleng sekali dua. Entah perempuan manalah yang datang dalam mimpi menggoda dia. Hantu ke apa? Atau kiriman orang-orang yang dengkikan dia? Maklumlah, karier tengah meningkat, maka ramailah yang mula memasang hasad.

Kereta yang dipandu sudah sampai ke petak parkir yang dilabel khas dengan nombor plat keretanya. Namun keretanya tidak boleh masuk ke situ. Sebuah Honda Jazz merah berkilat sudah tersadai mengisi petaknya.

"Shit! Si bangang mana yang buta dan tak tahu baca?! Bawa kereta pandai, nak simpan bengap. Menyusahkan orang!" rengusnya. Sudahlah dia hendak cepat, ada pula yang teringin petak parkirnya. Ke ada orang yang perasan diri ketua pengurus lalu parkir kereta di kawasannya?

 Ping! Ping! Ping! Piiinnnggg! Bertalu-talu dia menekan hon kereta. Namun caranya tidak membuahkan hasil. Tidak nampak bayang seorang manusia pun yang datang.

Cinta Paling AgungWhere stories live. Discover now